Saturday, September 29, 2012

Promosi pelancongan tiga dalam satu


PEMANDUAN pacuan empat roda 4x4 di sekitar Kuala Selangor menjanjikan cabaran yang bukan sedikit.


PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk mempromosikan produk mahupun destinasi pelancongan di negara kita. Tanpa acara besar-besaran yang menelan belanja tinggi sekali pun, promosi tersebut boleh dilakukan contohnya melalui aktiviti memandu kenderaan pacuan empat roda.
Lebih menjimatkan jika setiap program yang diadakan digabungkan untuk beberapa tujuan.
Justeru langkah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengadakan program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan Pacuan Empat Roda (4x4), program amal bekas pekerja dan promosi pelancongan di sekitar daerah Kuala Selangor antara yang menarik perhatian.
Program Kursus Asas Pemanduan 4x4 yang diadakan itu melibatkan 24 peserta daripada pelbagai jabatan antaranya Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan sembilan jabatan lain.
Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan.
Antara lain program itu diadakan bagi membekalkan pengetahuan asas pemanduan pacuan empat roda kepada para petugas jabatan kerajaan, memberi sumbangan kepada pesara MDKS serta mempromosikan lokasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.
"Kursus ini berjalan lancar dan diharap para peserta program dapat memanfaatkan ilmu pemanduan pacuan empat roda di jabatan masing-masing," kata Noraini.

PARA peserta program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan pacuan empat roda 4x4, program amal dan promosi pelancongan anjuran MDKS.


Menurutnya, acara seumpama itu juga diharap dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan sokongan pihak penaja.
Sesi latihan pemanduan 4x4 itu turut diisi dengan pengetahuan mengenai teknik-teknik pemanduan asas termasuk teknik winching, melalui jambatan, menukar tayar dan teknik pemanduan malam.
Program Prihatin Bersamamu
Jurulatih kursus tersebut, Wan Othman Wan Salleh daripada One Ten Adventure Sports berkata, sebahagian peserta kursus itu didedahkan cara yang betul tentang pengendalian kenderaan pacuan empat roda.
"Ia supaya mereka mengenali fungsi kenderaan yang dipandu, tidak merasa ragu-ragu dan dapat mengawal kenderaan dengan baik dalam apa keadaan sekali pun termasuk ketika melalui lereng bukit," ujar Wan Othman.
Selain itu, katanya, dalam teknik pemanduan malam, para peserta diajar untuk memantau penglihatan dan pergerakan di kawasan hutan yang gelap, di samping menerapkan elemen disiplin serta kerjasama dalam kumpulan.
Dalam program Prihatin Bersamamu MDKS pula, sebanyak 13 jentera pacuan empat roda berkonvoi menuju ke rumah kediaman 10 pesara MDKS.

PESERTA kursus pemanduan pacuan empat roda 4x4 turut singgah di perkampungan Orang Asli.


Bekas pesara itu dipilih untuk menerima sedikit sumbangan sebagai menghargai bakti mereka sepanjang berkhidmat di beberapa jabatan di MDKS.
Pada kunjungan itu, mereka menerima hamper barangan keperluan dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,000 yang disumbangkan syarikat Naza Quest Sdn. Bhd.
Kelip-kelip Kampung Kuantan
Sementara itu, program terakhir adalah promosi destinasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.
Lokasi yang dipilih ialah kelip-kelip Kampung Kuantan. Para peserta, pegawai dan wakil media berpeluang melihat kelip-kelip yang menjadi keistimewaan dan produk signatur kawasan Kuala Selangor itu.
Menariknya, sepanjang program itu berlangsung, sebuah jenama baharu bagi jentera 4x4 keluaran Chevrolet iaitu Chevrolet Colorado telah digunakan bagi tujuan pandu uji.
Jentera itu merupakan pacuan empat roda di bawah kategori trak pikap yang sesuai untuk pelbagai fungsi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: