Sunday, September 30, 2012

Pelajar cemerlang UniMAP amal minum herba Cina


HUI LING (berdiri tiga dari kiri) bergambar bersama beberapa graduan cemerlang selepas Istiadat Konvokesyen Ke-7 UniMAP di Kangar semalam.


KANGAR - Amalan meminum herba Cina merupakan rahsia seorang pelajar, Chong Hui Ling mampu memberi tumpuan kepada pelajaran dan dipilih antara graduan cemerlang pada Istiadat Konvokesyen ke-7, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini semalam.
Menurut Hui Ling, 23, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, sejak kecil lagi dia diajar oleh ibunya meminum herba tersebut sebelum mengulang kaji pembelajaran di rumah dan sekolah.
Anak kepada peniaga ikan dari Alor Setar itu berkata, sepanjang menuntut di UniMAP, ibunya sering menghantar minuman tersebut ke asramanya.
"Selepas meminumnya, saya jadi lebih bersemangat dan mudah memberi tumpuan terutama ketika menjawab kertas peperiksaan.
"Selain itu, amalan membuat jadual ulang kaji, belajar seorang diri dan kerap bertanya kepada pensyarah banyak membantu saya cemerlang dalam pelajaran," katanya yang menerima anugerah Pelajaran Emas Diraja daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat konvokesyen itu.
Hui Ling yang kini bekerja dalam bidang pengurusan di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang turut menerima RM5,000, sijil penghargaan daripada Majlis Raja-Raja dan UniMAP serta pingat.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,830 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: