Friday, September 28, 2012

Tuah Rasyidah berlatih di telefon


RASYIDAH melalui cabaran yang hebat sebelum berjaya mengalunkan lagu dendangan Julie Sudiro, Lambaian Kanda yang membantu dirinya muncul juara Bintang Klasik 2012.


WALAUPUN umur mereka masih muda, namun tidak boleh disangkal bakat nyanyian yang wujud dalam diri mereka. Kesemua 12 peserta yang bertanding di pentas akhir Bintang Klasik 2012 sememangnya hebat.
Ternyata umur bukan halangan untuk anak-anak muda ini menunjukkan bakat mereka menyampaikan lagu-lagu malar segar dengan baik. Beberapa hari lepas telah berlangsungnya acara final bagi program realiti nyanyian Bintang Klasik 2012 yang bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Setelah melalui beberapa peringkat, Rasyidah Abd. Rahim telah dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2012 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000. Selain wang tunai, Rasyidah juga memenangi pakej pelancongan ke Pulau Langkawi, Kedah serta piala pusingan, sijil dan piala iringan.
“Saya tidak sangka akan menang kerana sejujurnya semua peserta terlalu hebat. Tidak pernah saya terfikir saya layak menjadi juara. Saya tidak kisah tempat ke berapa pun yang diperoleh kerana saya akan ambil ia sebagai pengalaman,” tutur pelajar tahun ketiga ijazah sarjana muda Sains BioKesihatan dari Universiti Malaysia ini.
Walaupun belum bersedia untuk meneruskan karier sebagai seorang penyanyi, namun Rasyidah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan yang membuatkan dirinya mendapat markah penuh dari juri awam.
Ditebak soalan mengenai persiapan dirinya, cerita Rasyidah lagi, setiap hari dia akan berlatih menerusi panggilan telefon bersama bapanya.
“Setiap hari saya akan berlatih bersama ayah yang berada di Kluang, Johor dan saya pula di Kuala Lumpur. Saya akan menelefon ayah dan berlatih selama 45 minit setiap hari.

RASYIDAH (tengah) diapit Irsa (kiri) dan Noor Atiqah pada final Bintang Klasik 2012.


“Dari situ, ayah akan memberi komen tentang apa yang perlu diperbaiki. Ini kerana ayah saya seorang pensyarah muzik di salah sebuah maktab perguruan di Johor,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Tambahnya, pertama kali menerima lagu yang dipopularkan Julie Sudiro yang berjudul Lambaian Kanda, dia seolah-olah seperti hilang semangat kerana memang lagu ini tidak pernah didengari apatah lagi mengetahui lirik dan alunan muziknya.
“Saya cuba mencarinya di internet, dan di medium lain namun tidak ditemui. Setelah puas berusaha untuk mencari, akhirnya saya terpaksa dapatkan cakera padat (CD) lagu dari pihak RTM sendiri.
“Sejujurnya, ini merupakan lagu yang paling mencabar sepanjang saya menyanyi sejak berumur lima tahun lagi. Namun, setelah selesai semuanya, saya sendiri tidak menyangka bahawa saya dapat menyampaikan lagu ini dengan elok,” bicaranya.
Begitu juga perasaan naib johan Bintang Klasik 2012, Irsa Sahabuddin, 26, serta pemenang tempat ketiga, Noor Atiqah Ahmad, 21, yang tidak menyangka sama sekali mereka akan menang.
Sebagai pemenang tempat kedua, Irsa menerima wang tunai RM7,000, televisyen LCD 42 inci, sebuah piala iringan serta sijil.
Sementara pemenang tempat ketiga pula, membawa pulang wang tunai berupa RM5,000, sebuah iPad, piala iringan dan juga sijil.
Peserta yang tidak berjaya juga menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM1,500 serta sijil dan piala iringan setiap seorang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: