|
DI sebalik kemunculan banyak band baharu, Sofazr merupakan antara band popular yang masih lagi mampu bertahan lama serta terus utuh dengan enam orang ahli tanpa bertukar ganti sehingga sekarang.
Salah seorang anggota Sofazr, Zarimi Zahari atau Zimi berkata, mereka mengakui tidak boleh leka dengan kedudukan sekarang dan perlu lebih bekerja keras memandangkan persaingan yang semakin sengit.
"Bukan mudah untuk menjadi salah sebuah band yang mampu bertahan dalam tempoh yang lama. Namun, kami tetap gembira apabila lagu-lagu yang dinyanyikan Sofazr masih diterima pendengar.
"Kalau diikutkan kami masih belum puas lagi dan mahu pergi lebih jauh lagi dalam industri ini dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan agar Sofazr terus diminati ramai," ujarnya sewaktu menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, bagi mengukuhkan lagi nama Sofazr, mereka mengambil langkah menghasilkan sebuah filem berjudul Sofazr The Movie: Jiwa Kacau menerusi kolaborasi dua syarikat iaitu Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. dan Global Record.
Apa yang menariknya tentang filem yang mula ditayangkan di pawagam bermula 27 September, Zimi memberitahu semua ahli kumpulan Sofazr terbabit dan memegang watak utama dalam filem berkenaan.
"Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa tiba-tiba kami berlakon filem sedangkan nama Sofazr sudah bertapak kukuh dalam bidang nyanyian. Bagi kami tidak salah kalau ingin mencuba sesuatu yang baharu.
"Setelah berada di persada hiburan selama 10 tahun dan melahirkan enam buah album, kami rasa sudah tiba masanya Sofazr tampil dengan sebuah produk lain. Akhirnya kami memilih untuk berlakon filem bagi mengikut jejak beberapa band popular," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem Sofazr The Movie: Jiwa Kacau, Amir Mahiyiddin atau Aremeer selaku vokalis utama memberitahu ia bukanlah filem yang memaparkan kisah perjalanan Sofazr hingga menjadi sebuah band yang dikenali.
Sebaliknya, ia merupakan sebuah filem bergenre komedi ringan mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang tiba-tiba menjadi gila dan terpaksa menjalani rawatan di wad sakit mental setelah tersalah memakan ubat.
"Bukan mudah buat kami untuk memainkan watak sebagai orang gila memandangkan ini pengalaman kali pertama ahli Sofazr berlakon, kecuali saya yang sudah pernah berlakon sebelum ini.
"Namun, bergandingan dengan beberapa pelakon lain terutama pelawak yang bertaraf senior seperti Apek dan Yassin memang banyak membantu kami, biarpun pada awalnya kami rasa agak gementar dan gugup," ujarnya.
Mengenai harapan terhadap filem sulung mereka itu, Aremeer berharap agar ia dapat diterima ramai dan sambutan yang diperoleh menerusi kutipan tiket tidak akan mengecewakan.
Selain Aremeer dan Zimi, Sofazr turut dianggotai Wan Syah Baharin Niktah (Syah), Wan Shah Baharom Niktah (One), Ahmad Fairouz Mohammad (Fairuz) dan Rodie Jamun (Rodie).
KRU Music
Ketika ditanya sama ada filem Sofazr The Movie: Jiwa Kacau bakal membuka langkah buat ahli Sofazr berkecimpung dalam dunia lakonan, Aremeer menyatakan mereka tiada halangan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang menerima tawaran.
Bagaimanapun, perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu sesama ahli kumpulan agar ia tidak menjejaskan fokus mereka terhadap nyanyian apabila masing-masing sudah sibuk berlakon.
"Sebenarnya saya berharap kalau ada sebarang tawaran berlakon yang diterima, biarlah ia membabitkan semua ahli Sofazr. Malah, kami tidak kisah walaupun bayaran yang diterima agak kecil.
"Apa pun keutamaan masih lagi dalam nyanyian kerana ia merupakan bidang yang telah menaikkan nama kami dalam industri hiburan di negara ini. Mengenai lakonan pula, semuanya terpulang kepada rezeki," ujarnya yang pernah berlakon beberapa drama dan telefilem.
Berkenaan dengan projek terbaharu Sofazr setelah berakhirnya program Versus, Aremeer memberitahu mereka bakal tampil dengan sebuah album baharu pada hujung tahun ini.
Jelasnya, berbanding dengan enam buah album yang pernah dihasilkan, kali ini mereka bakal menjalinkan kolaborasi dengan KRU Music dan kini sedang menunggu masa untuk proses rakaman.
"Dalam album baharu tersebut terdapat lapan buah lagu yang dimuatkan, termasuk empat buah lagu yang dihasilkan kami sendiri. Empat buah lagu lagi merupakan lagu ciptaan KRU termasuk Pencinta Terbaik yang juga merupakan lagu tema filem Cinta Kura-Kura," ujarnya.
Leez peminat Sofazr
Sementara itu, bagi Rosliza Rosli atau lebih sinonim dengan Leez (AF4), berlakon filem sememangnya bukan asing buat dirinya kerana pernah tampil dengan dua filem sebelum ini iaitu Momok The Movie dan Pulau Asmara.
Namun begitu, dia menerima tawaran berlakon filem Sofazr The Movie: Jiwa Kacau kerana menganggap ia sesuatu yang istimewa apabila berpeluang bergandingan dengan band popular seperti Sofazr.
"Secara jujur saya memang salah seorang peminat kumpulan Sofazr dan kagum dengan kejayaan mereka dalam bidang nyanyian. Jadi, peluang yang diperoleh ini sudah tentu saya tidak boleh lepaskan.
"Walaupun ia merupakan sebuah filem genre komedi ringan, tetapi saya tidak membawakan watak komedi. Sebaliknya, karakter saya lebih menjurus kepada seorang wanita yang bertudung, lemah lembut dan penyayang," ujarnya.
Akui Leez, pada mulanya memang agak sukar untuk dia menghayati watak yang dibawakannya, termasuk mencari keserasian dengan Aremeer memandangkan wataknya itu banyak membabitkannya dengan penyanyi tersebut.
"Ini merupakan kali pertama kami bekerjasama dan sudah tentu terpaksa mengambil masa yang agak lama. Namun, pengarah memberi kebebasan kepada kami membawakan watak masing-masing dengan cara tersendiri menerusi perbincangan yang dilakukan," jelasnya.
Mengenai perjalanan kariernya pula, Leez berkata dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Tiara dan sedang dalam proses merakamkan single terbaharunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: