RUANGAN ini sering memberi laluan kepada
isteri-isteri mencurahkan isi hati angkara perbuatan suami yang
menghiris hati mereka, teraniaya diceraikan tanpa nafkah dan hutang
keliling pinggang, mangsa poligami dan tak kurang diceraikan tanpa rela
setelah bertemu kekasih baru.
''Apa yang ingin saya luah berbeza. Saya kecewa apabila wanita baik
para isteri, ibu-ibu mahupun nenek-nenek mencemuh gadis-gadis yang belum
berkahwin dan memberi pelbagai gelaran kepada mereka,'' ujar Norfifah
dalam e-melnya.
''Biasanya kami dituduh memilih kerana tak kahwin-kahwin, kami
dikatakan mengejar lelaki berpangkat sahaja. Sebenarnya tuduhan itu
tidak benar, sebaliknya lelaki zaman inilah yang suka memilih. Hanya
kerana ramai wanita yang berpangkat untuk dijadikan isteri, tak kiralah
untuk kali kedua ataupun bermadu.
''Mungkin ramai yang tidak setuju dengan pandangan saya ini, tetapi
inilah kenyataannya! Sudah tiga kali saya bercinta tetapi sayangnya saya
cuma calon isteri kedua sahaja. Contohnya teman lelaki saya Haz, masih
bujang, ketika menjalin cinta dengan saya dia sudah ada kekasih lain.
Akhirnya dia bertunang dengan gadis yang lebih berpangkat daripada
keluarga orang senang di bandar besar.
''Bila cerita Has kahwin terbongkar, dia masih berbohong kononnya
dipaksa kahwin oleh keluarganya, gadis itu pilihan ibunya, sedangkan
tidak. Gadis itu memang kekasihnya dan dia telah membandingkan pangkat
dan gaji saya dengan gadis tersebut.
''Setelah berkahwin, Haz masih mahu mengambil saya jadi isteri kedua.
Siapa nak terima? Saya bukan terdesak nak berkahwin sampai tak menilai
buruk baiknya.
''Teman lelaki kedua, Farid juga berperangai sama. Bayangkan berkawan
tak sampai tiga bulan, dia terang-terang tanya berapa gaji saya.
Bodohnya saya ceritakan yang sebenarnya. Bukan main suka dia merancang
macam-macam benda bila kami kahwin nanti.
''Apabila kami setuju nak bertunang, dia mula buat 'drama' mendakwa
duitnya tak cukup nak buat hantaran untuk bertunang. Katanya kalau boleh
dia hendak ibu bapanya datang dan bawa sebentuk cincin saja. Katanya
buat apa membazir. Lainlah kalau nikah.
''Saya fikir baik juga, buat apa membazir, jadi saya setuju ibu
bapanya datang untuk majlis pertunangan kami. Tetapi kerana kami orang
kampung dan ramai adik beradik, saya fikir biarlah sebelah saya saja
buat kenduri dan doa selamat untuk meraikan majlis pertunangan. Saya
tidak mahu susahkan Farid keluar duit buat hantaran bertunang. Paling
tidak lima dulang seperti yang biasa dibuat oleh adik saya.
''Sebaik sahaja saya kata setuju dan minta keluarganya datang dua
bulan lagi, Farid pula minta tempoh konon abangnya sakit, jadi emaknya
tak dapat datang. Bila cukup dua bulan, Farid minta saya belikan dulu
cincin tunang untuk dia beri kepada ibu bapanya. Terkejut saya, tapi
bila dia beri alasan duit banyak terpakai bantu abangnya saya percaya.
"Apabila tiba masanya, Farid cadangkan supaya terus kahwin, tak payah
bertunang. Dengan muka tak malu dia suruh saya beli cincin dan
persalinan sendiri, alasannya dia tak pandai memilih. Tetapi pada masa
sama, dia suruh saya pilih barang hantaran untuknya, pilihlah apa saja
dia tak kisah, kononya saya tahu apa yang lebih baik untuknya .
''Secara tidak langsung, dua hantaran untuk lelaki dan perempuan saya
kena sediakan siap dengan gubahan sekali. Kemudian dia akan datang
ambil dan berikan kepada keluarganya untuk dibawa rombongannya.
''Setelah difikirkan masak-masak, saya boleh agak dia suruh saya
keluar duit belanja siapkan semua hantaran. Farid tak payah keluar duit
sesen pun. Amboi!!
''Selepas ini saya dah boleh agak, bila hari pernikahan hampir tiba
nanti dia pasti akan suruh saya gunakan duit saya dulu sebagai hantaran
dan dia akan bayar kemudian. Apa makna semua ini?
''Setelah berfikir panjang, saya rasa saya terpaksa mengundur diri,
bukan memilih atau merendahkan taraf, tetapi benci sikapnya suka buli
saya. Apa dia ingat saya terlalu terdesak hendak bersuamikan dia?
''Saya bersyukur belum lagi beritahu keluarga tentang hubungan saya
dengan Farid dan betapa seriusnya rancangan kami hendak berkahwin.
Sebelum keluarga mentertawakan saya berkawan dengan lelaki seperti ini,
lebih baik saya putuskan hubungan.
''Teman lelaki ketiga saya pun sama, malah lebih teruk lagi. Baru ada
kereta dah berlagak macam orang banyak duit. Lepas tu tanpa malu pinjam
pakai kereta saya. Mula-mula dia rajin datang ambil dan hantar saya ke
pejabat. Lama-kelamaan dia pinjam kereta saya nak cuba pandu. Sekali dua
tak apa jugalah ini sampai seminggu. Habis kalau saya ada urusan di
luar macam mana?
''Baru empat bulan berkawan dah minta saya isikan minyak kereta
dengan alasan dompet tertinggal dan macam-macam lagi. Bila guna kereta
saya, dia boleh bawa sampai ke kampungnya. Amboi selesa sungguh!
''Bab pinjam duit pun dia memang tak malu, lama-lama saya fikir
lelaki ini pun akan jadi sama seperti Farid. Jadi sebelum jadi lebih
teruk, lebih baik saya putuskan hubungan.
''Dengan pelangalaman ini saya rasa tak rugi kalau tak berkahwin,
sebab kalau berkahwin pun hidup saya mungkin akan jadi lebih teruk lagi.
Saya bukan meninggi diri, dengan kelebihan yang ada pada saya,
berpendidikan, ada pekerjaan tetap, berpangkat, ada kereta dan rumah
sendiri, rasanya taklah rugi sangat kalau saya tak kahwin.
''Sebaliknya saya banyak membantu keluarga di kampung, terutama
hujung tahun, pasti ada saja anak-anak saudara menghantar surat dan
berjumpa meminta bantuan. Saya rasa lebih baik saya berbudi pada mereka
daripada lelaki yang saya tak kenali.
''Saya kenal ramai lelaki, yang tampan, berpangkat, sederhana, sebut
saja nama saya, ramai setuju menikah dengan saya. Bukan saya memuji diri
kerana kecantikan atau tubuh badan saya yang kecil dan tak nampak tua
ini. Tetapi inilah hakikatnya. Cuma saya kurang berminat.
''Entah mengapa bila ada saja lelaki yang saya berkenan untuk
berkahwin, lelaki ini pula banyak buat hal. Saya tak pilih yang kaya,
cukup sederhana tetapi mereka pula cuba ambil kesempatan atas diri saya.
''Jadi jangan salahkan wanita macam saya kerana tidak berkahwin.
Tanya mengapa ramai lelaki zaman ini suka mempermainkan wanita dan
membuli kami. Jangan pandang kami hina kerana kami juga ada perasaan,"
pinta Norfifah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: