LAKONAN TERBARU...akan muncul dalam filem Aku Terima Nikahnya bersama Adi Putra.
Sesekali tampak Nora berpesan kepada Putra Rayqal Ramli yang kini sudah pun hampir empat tahun usianya agar tidak lupa bersalam dengan sesiapa yang menegur.
Hakikat dan realitinya, itulah Nora Danish Mohd Hanif jika tiada status selebriti padanya. Orangnya bersahaja, ringkas dan gemar mengukir senyum walhal mengenali gerangan si pemilik wajah kacukan Melayu-Myanmar sebagai pejuang seni, tidak sesaat dirinya lengang daripada dihimpit kontroversi.
Apa saja yang dilakukan, ada saja yang datang bercerita.
Usik Nora membuka bicara, itulah harga yang perlu dibayar dan sejak awal lagi pembabitannya dulu, soal gosip adalah rencah hidup yang akhirnya memberikannya lebih semangat untuk berdiri.
“Jika ada yang menegur, peduli dan tidak henti bercerita, maknanya diri kita diberi perhatian. Mungkin mereka sayangkan saya, kerana itu mereka mengambil berat,” katanya berseloroh.
Bagai pepatah yang tidak pernah lapuk, jika takut dilambung ombak, usah bermimpi berumah di tepi pantai.
Pegangan yang sama Nora simpan kerana baginya, segala macam yang pernah terpalit pada nama dan reputasinya adalah kunci kepada ketabahan yang terus mematangkan dirinya lagi.
“Memang tidak pernah rasanya nama saya senyap dan sepi daripada kontroversi. Sejak muncul dalam drama siri Puteri lagi, ramai sudah memberi perhatian dan hingga kini, apa saja yang saya lakukan, pasti akan lekas menerima reaksi terutamanya peminat yang sememangnya ingin memastikan segala-galanya sempurna buat saya,” katanya lagi.
Kronologi percaturan hidup pelakon jelita yang pernah membintangi filem Gila-Gila Pengantin Popular, Senario: Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti-Cuti Cinta usah lagi diceritakan.
Sebaliknya apa yang lebih diberikan fokus perjalanannya hari ini.
Nora pelakon yang disegani dan makin ramai memuji lakonannya. Lihat saja emosi Dhia dalam Tentang Dhia, wanita kental kelahiran Kuala Terengganu ini kemas menterjemahkan lakonannya. Drama Ariana Mikhail seterusnya membuatkan pelakon berusia 30 tahun ini mengukuhkan lagi empayarnya.
Namun seperkara yang mustahil disangkal, ada saja gosip berterbangan selari dengan pujian yang diterima. Terbaru, keserasian yang ada antaranya dengan pelakon Adi Putra menerusi drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pula dipersoalkan banyak pihak.
Belum sempat menjawab persoalan itu, namanya terus dikaitkan dengan isu berpakaian seksi untuk fotografi sebuah akhbar.
Bukan satu dua yang mencoret kritikan sebaliknya beratus-ratus komen diterima melalui laman sosial twitter, blog dan portal hiburan.
Kata Nora yang menyifatkan semuanya adalah permainan dunia seni yang sudah lali ditepis, itulah keistimewaan dirinya.
“Intim antara saya dan Adi adalah bagi menghidupkan watak sebagaimana yang diminta pengarah dan menterjemahkan skrip. Itu tanggungjawab dan komitmen yang harus saya berikan. Namun hubungan itu hanya sekadar di layar lebar dan depan kamera saja. Tidak sekali terdetik meleretkan keintiman itu hingga ke luar lokasi kerana kami berdua profesional dan berdiri atas landasan pelakon semata-mata.
“Cuma kelakarnya, senario penonton dan gelagat mereka yang menyaksikan kami sudah jauh berubah. Peminat dan mereka yang mengikuti cerita itu sebenarnya ingin apa yang kami lakon menjadi kenyataan. Ketika saya bertudung umpamanya, mereka mengharapkan ia akan terus saya gunakan hingga ke luar dan begitu juga dengan cinta.
“Peminat juga yang ingin melihat dua watak yang kami lakukan, Lisa dan Johan sebagai suami isteri dalam Aku Terima Nikahnya terus dibawa ke dunia realiti. Lihat saja komen yang diberikan kepada saya menerusi twitter dan Instagram, macam-macam yang mereka harapkan dan sudah tentu semuanya itu tidak mampu direalisasikan.
“Begitu juga dengan soal seksi dan berpakaian yang banyak kali saya ditegur. Saya terima dan menghormati setiap teguran itu kerana jujurnya saya melihat ia satu perkembangan yang baik buat diri saya secara peribadi. Setidak-tidaknya mereka sayangkan saya dan kerana itu tidak henti mereka berpesan dan menegur.
“Ia bagai satu doa yang terus memberikan saya inspirasi positif buat diri saya. Mana tahu, jika pesan itu berterusan ia akan mengubah diri saya. Semua itu kerja Tuhan dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya tersenyum.
Tambah Nora yang turut pernah membintangi banyak drama siri termasuk Arjuna, Putera Katak dan Ana Lu’lu, jiwa dan perasaannya tidak terkesan daripada kritikan itu walaupun ada kalanya bunyinya keras.
“Perjalanan hidup saya sendiri sukar diceritakan dalam selembar kertas kerana apa yang pernah berlaku adalah sesuatu yang cukup mencabar. Mujur jiwa saya kuat dan hati saya kekal optimis menelannya. Lantas segala kritikan yang saya terima hari ini, baik soal gosip dengan mana-mana lelaki, seksi dan apa saja, ia hanya sekadar gosip yang saya biarkan berlalu.
“Insya-Allah saya yakin dengan ketentuan Tuhan dan takdirnya,” tambahnya.
Orangnya telus dan tidak berahsia, langsung tidak nampak lenggok berhati-hati dalam menyusun kata kerana sejak dulu, Nora lebih gemar berterus-terang agar tiada lagi rasa ragu atau kesangsian.
Jawapan sama masih diberikan tatkala ditanya mengenai kekasih hatinya.
“Saya tidak mempunyai sesiapa yang istimewa lagi. Sejak berpisah lebih empat tahun lalu, saya masih sendiri memberi tumpuan penuh kepada kerjaya, keluarga dan keutamaannya pada Rayqal yang makin membesar. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan sentiasa mengharapkan kebahagiaan ini berterusan.
“Tidak pula saya memikirkan soal mencari pengganti atau pasangan hidup buat masa sekarang kerana saya bersyukur dengan rezeki dan kepercayaan yang diberi. Alhamdulillah kerjaya lakonan makin rancak diterima dan banyak pihak percaya dengan kemampuan saya. Itu adalah pengalaman paling manis dan pastinya tidak sesekali ruang ini dipersiakan.
“Namun saya ada berkawan dan mengenali beberapa individu. Semuanya hanya kawan dan tidak pernah lebih daripada itu. Jika tertulis saya dipertemukan dengan mana-mana lelaki yang sempurna membimbing, saya akan kongsi dengan peminat nanti. Doakan saja segala yang baik buat saya,” katanya.
Menyentuh soal lakonannya, Nora yang kini masih sibuk di lokasi penggambaran filem Legenda Budak Hostel bersama Along dan Angah akan mempersiapkan diri untuk Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam.
Selain itu, pelakon peramah ini akan muncul dalam dua filem lagi iaitu 2 Kalimah bersama Shaheizy Sam dan Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli.
“Alhamdulillah rezeki sentiasa ada dan kini saya akan sibuk pula membelek skrip baru, Anak Jantan yang akan memulakan penggambaran hujung bulan ini. Istimewanya, saya berpeluang berlakon bersama pelakon kegemaran saya, Bront Paralae dan Farid Kamil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: