|
|
SESUAI dengan mood memenuhi pelawaan ke rumah terbuka di bulan Syawal ini, tiga panel yang berteraskan ilmu dan bertapak dalam industri fesyen diajak berbicara tentang gaya.
Bon Zainal dan Amir Luqman, dua nama yang memang sudah dikenali dalam industri fesyen berkongsi pendapat dengan pendatang baharu, Amelia Hassan yang kini banyak menjurus kepada fesyen muslimah.
Tiga figura fesyen ini berbicara tentang kesalahan dalam berfesyen selain memberi pendapat tentang kepekaan fesyen dalam minda artis serta selebriti tempatan. Berkongsi informasi tentang gaya dan fesyen, semoga pendapat dan komentar bijak mereka ini dapat dijadikan panduan untuk ke rumah terbuka dalam gaya yang lebih bijak dan menepati majlis.
Bercakap tentang gaya Aidilfitri, apakah kesilapan berpakaian yang sering dilakukan?
AMIR LUQMAN (AL): Kesalahan yang sering dilakukan ialah terlebih gaya. Susah mahu cakap sebab fesyen sebenarnya sudah mengalami evolusi. Boleh sahaja pakai apa sahaja asalkan kena dengan suasana. Perlu bersesuaian dengan konsep rumah terbuka itu sendiri.
BON ZAINAL (BZ): Ia bergantung kepada komuniti, kalau ke rumah terbuka di kampung perlulah sesuai. Secara amnya, boleh sahaja mahu pakai cantik bergaya sebab hari raya tetapi jangan terlebih buat atau pakai. Perlu ingat bahawa raya lebih tertumpu kepada silaturahim. Saya rasa yang elok untuk bergaya raya ialah kekal dengan gaya klasik.
AMELIA HASSAN (AH): Saya rasa seseorang itu perlu sesuaikan konsep dengan majlis. Perlu tahu lokasi dan jemputan dan majlisnya apa. Macam Amir kata, jangan terlebih gaya.
Apakah pula pantang larang dalam berpakaian ke rumah terbuka?
BZ: Jangan sesekali pakai pakaian menjolok mata kalau ke rumah terbuka. Sekarang ini ramai gemar pakai baju kurung atau kebaya yang terlalu jarang. Kena jaga tatasusila sebagai orang Melayu. Kalau lelaki perlulah berbaju Melayu yang lengkap dan jangan sesetengah sahaja.
AL: Jangan sesekali over. Pastikan sesuai dan bersopan. Tengok lokasi dan kesesuaian. Kalau majlis diadakan di hotel lima bintang, bolehlah bergaya glamor sedikit.
AH: Saya rasa yang perlu adalah tahu situasi dan majlis yang kita hadiri. Perlu kekalkan dengan sifat kemelayuan kita.
Ramai yang meniru gaya artis ke rumah terbuka atau berbaju raja. Komen anda?
AL: Artis memang dilihat dan bergerak sebagai trendsetter. Boleh kalau mahu meniru tetapi janganlah fotostat. Jangan pula tiru pakaian karpet merah artis hanya untuk ke rumah terbuka. Boleh tiru sebenarnya daripada aspek gaya, stail, aksesori, warna dan potongan.
Kalau mahu tiru gaya gaun atau pakaian karpet merah, perlu minimumkan gaya.
BZ: Perlu realistik dan lihat bahawa kebanyakan artis ialah kurus dan potongan mereka cantik, jadi kenalah berfikir kalau mahu meniru. Tidak boleh ikut bulat-bulat. Perlu bijak.
AH: Saya setuju dengan apa yang Amir katakan.
Pernah tegur kesilapan berpakaian?
AL: Tegur secara terangan, tidak. Karakter saya lembut jadi saya tegur dengan pujian tersirat. Harap-harap fahamlah.
BZ: Ya, secara sinis tetapi berhati-hati. Kelakar bila lihat orang yang berada di luar bidang fesyen berlagak seperti lebih tahu. Ada yang saya beritahu dengan berlapik agar mereka tahu kesilapan mereka.
AH: Ada yang saya tegur tetapi kebanyakan kawan-kawan rapat. Tegur secara ramah dan berbahasa.
Sejauh mana pula kesedaran artis kita dalam berfesyen?
AL: Artis kita ada kategori yang tahu berfesyen dan tidak pandai berfesyen. Mereka perlu bezakan dan tahu tentang gaya formal dan gaya santai. Sebagai figura khalayak, mereka perlu sentiasa kelihatan kemas dan dress-up. Perlu ada set baju ke acara yang berlainan. Tetapi perlu elak bergaya berlebihan juga. Kalau keluar rumah, sepatutnya berbedak sebab banyak mata memandang.
BZ: Artis perlu tahu penampilan, itu penting. Bukan setakat di atas pentas tetapi juga di depan khalayak. Lebih penting lagi kesedaran mereka terhadap sesuatu yang dinamakan self appearence. Perlu berbalik kepada diri bagaimana mereka bertingkah laku dan bercakap.
AH: Artis perlu bijak dan sentiasa menjaga penampilan. Mereka sentiasa dilihat umum dan perlu juga ada kesedaran dalam berfesyen.
Siapa yang boleh diangkat sebagai ikon fesyen Malaysia?
AL: Camelia, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Fazura. Mereka ini bukan sahaja sekadar tahu tetapi juga pandai berfesyen.
BZ: Kalau lelaki sukar untuk ditentukan. Belum ada yang benar-benar menepati perkataan ikon fesyen tetapi kalau perempuan saya setuju dengan pendapat Amir Luqman. Nama-nama yang disebutkan bukan sahaja pandai dan tahu, malah mereka 'membeli' fesyen.
AH: Fazura dan Camelia.
Bon Zainal, selaku pereka fesyen yang menjurus kepada pakaian lelaki, boleh berikan komen tentang fesyen artis terutamanya ke majlis penganugerahan?
BZ: Pakaian lelaki sangat kompleks. Perlu diingat bahawa bergaya dan berfesyen adalah dua perkara yang berlainan. Kebanyakan artis lelaki hanya bergaya untuk majalah atau anugerah tetapi bila di luar kerja, mereka sangat biasa atau berbeza dengan penampilan di majalah. Ini yang sukar dicari iaitu lelaki yang bijak bergaya tidak kira masa. Maksud bergaya di sini termasuk jika mereka pakai baju-T dan denim sahaja, mereka masih nampak sangat bergaya dalam gaya santai. Ikon Hollywood yang ada sentuhan ini adalah George Clooney.
Tentang majlis anugerah pula, janganlah jadi perempuan! Cuba lihat anugerah Hollywood, mereka pakai suit hitam dan itu sudah nampak kemas dan bergaya. Perlu lebih neutral dan gaya lelaki sebenarnya menyerlah pada attitud mereka.
Bagaimana tahap kesedaran fesyen atau realistiknya dalam adegan drama atau filem Malaysia?
BZ: Saya menjurus kepada karakter lelaki dan saya lihat tidak sampai ke tahap realistik. Contohnya kalau watak Datuk, sepertinya wajib memakai kot atau suit. Solekan pula terlalu tebal dan menampakkan karakter jadi kaku. Tidak semula jadi dan kadangkala keterlaluan. Wanita pula kalau di rumah juga, solekan sangat tebal.
AH: Ini sebenarnya kesedaran tentang gerobok dalam filem dan drama. Kalau di Hollywood, ada jabatan berlainan yang fokus kepada pemakaian artis dalam filem atau drama. Tetapi kita tiada kerana terlalu berkira bajet. Kalau di Barat juga mereka mengutamakan perincian. Contohnya, kalau watak Datuk mungkin boleh pakai pen Mont Blanc. Watak Datin misalnya tidak perlu baju bergemerlapan, cukup dengan sebuah beg berjenama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: