Hotel Ark memang sangat unik. Selain bilik luas dan landskap menghijau, Hotel Ark dibina mengikut rekaan masa depan dan dirancang teliti supaya mampu mengatasi banjir berpanjangan akibat peningkatan paras laut.
‘Raksasa terapung’ itu berbentuk bulat bagi membolehkan ia menjadi tempat perlindungan yang selamat dalam bencana banjir.
Dianggap sebagai hotel hijau dan menyediakan persekitaran yang bermandiri, hotel seperti kulit kerang itu diyakini tidak terjejas walaupun dilanda ombak besar. Ia juga akan bertahan dalam bencana alam yang lain.
Arkitek berkata, reka bentuk unik Hotel Ark dibuat secara seimbang dan ini membolehkan beratnya diagihkan secara sekata.
Dalam keadaan begitu, kata mereka, Hotel Ark juga boleh menahan gegaran gempa bumi.
Untuk menyediakan bekalan tenaga dan air, Hotel Ark menggunakan panel solar serta sistem pungutan air hujan.
Persekitaran seperti rumah hijau itu juga menyediakan banyak pokok bagi membantu menyediakan udara berkualiti baik, selain menjadi sumber makanan kepada penghuninya.
Binaan luarnya yang telus pula menyediakan cahaya secara semula jadi kepada hotel berkenaan, sekali gus mengurangkan penggantungannya kepada penjanaan tenaga elektrik.
Bagi memastikan cahaya itu berkualiti, rangka badan Hotel Ark diselaputi lapisan khas yang mampu membersihkan kotoran secara automatik.
Reka bentuk Hotel Ark diilhamkan firma Russia, Remistudio, dengan bantuan Kesatuan Arkitek Antarabangsa yang mengendalikan program Seni Bina Untuk Bantuan Bencana.
Arkitek Remistudio, Alexander Remizov berkata, dalam seni bina, dua faktor utama sentiasa diberi perhatian.
“Pertama, aspek keselamatan dan pencegahan terhadap keadaan alam sekitar yang ekstrem serta perubahan iklim. Kedua, perlindungan daripada kesan alam sekitar yang terhasil daripada aktiviti manusia,” katanya.
Justeru, kata Remizov, Hotel Ark adalah jawapan kepada cabaran semasa dunia kerana ia mampu bertahan melalui sistem sokongan sendiri.
Kata Remizov, semua tumbuh-tumbuhan dalam Hotel Ark dipilih berdasarkan kesesuaian, pencahayaan serta kecekapan menghasilkan oksigen.
“Ia disusun dengan matlamat menghasilkan ruang menarik serta selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: