Thursday, September 27, 2012

Impak beralih karier

AWIE mengakui pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan tidak disenangi golongan pelakon sedia ada pada ketika itu.


SEJAK dulu lagi sudah ramai penyanyi yang terjun ke dunia lakonan. Populariti yang dimiliki memudahkan mereka menggalas peranan utama untuk sesebuah drama atau filem walaupun ketika itu tahap lakonan masih lagi setahun jagung.
Antara yang begitu menyerlah ketika dahulu ialah Jamal Abdillah apabila dia ditawarkan peranan utama dalam filem Azura. Malah, atas dasar populariti Jamal dan juga kehebatan filem romantik itu sendiri, naskhah tersebut telah menjadi fenomena pada ketika itu.
Penerbit-penerbit yang memilih penyanyi untuk berlakon dalam filem mereka mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelakon-pelakon tempatan.
Bagi penerbit-penerbit, dengan mempertaruhkan penyanyi sebagai pelakon, ia mampu menarik peminat untuk menonton filem-filem keluaran mereka. Namun, menjadi persoalan sejauh mana keberkesanan lakonan penyanyi-penyanyi tersebut?
Ikuti pengalaman penyanyi Awie, Misha Omar dan Tomok mengenai pembabitan mereka dalam bidang lakonan.

AWIE mengakui pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan tidak disenangi golongan pelakon sedia ada pada ketika itu.


Awie pernah ditohmah
Bagi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44, lakonan merupakan salah satu bidang seni yang ada dalam industri Malaysia dan bagi dirinya tidak timbul masalah buat golongan penyanyi untuk mencuba bakat sebagai pelakon.
Ulasnya, penyanyi yang menceburi dunia lakonan juga dapat menguntungkan penerbit kerana populariti yang ada pada penyanyi itu sendiri.
"Disebabkan itu, sekarang ramai penyanyi mendapat tawaran menjadi pelakon. Secara tidak langsung, ia juga dapat memeriahkan lagi industri seni tempatan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun pada mulanya sekadar mencuba, kongsi Awie, selepas berlakon dan mendapat pelbagai pengiktirafan, baru dia sedar bahawa sebenarnya dirinya boleh berlakon dan bukan bersandarkan kepada populariti sebagai penyanyi semata-mata.
Bercerita mengenai pembabitan dalam bidang lakonan, kata Awie, dia mula menempa nama dalam bidang lakonan apabila mula berlakon dalam filem terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Pemburu Bayang pada tahun 1993.
Namun, kehadirannya dalam bidang lakonan mula menyerlah apabila dia membintangi filem Sembilu (1984) dan Sembilu II (1994). Menerusi filem terbitan Skop Production Sdn. Bhd. itu, Awie berjaya merangkul trofi Anugerah Skrin untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Ditanya filem lakonannya yang dilihatnya sebagai paling berjaya menjulang bakat lakonannya, kata Awie:
"Filem Merah terbitan syarikat Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd. membuka peluang buat saya untuk sukses dalam meraih pelbagai anugerah."
"Pada Festival Filem Malaysia ke-13 (FFM13), manakala pada Anugerah Skrin 1997 saya meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem," ujarnya yang kini sukses dalam kedua-dua bidang.
Berkongsi cerita, kata Awie yang juga merupakan vokalis band rock legenda, Wings, kehadirannya dalam seni lakonan pada mulanya tidak disenangi pelakon-pelakon lain.
Ujarnya, dia pernah dikritik dan ditohmah kerana statusnya sebagai penyanyi, tetapi ingin menjadi pelakon pada ketika itu.
"Mungkin pelakon-pelakon ketika itu tidak puas hati apabila ramai penyanyi yang jadi pelakon kerana takut periuk nasi mereka tertutup. Sepatutnya perkara itu tidak perlu timbul. Saya tidak putus asa ketika dikritik dan ditohmah, janji saya dapat mencuba bidang yang lain selain menyanyi," luahnya.
Mengaku masih berada dalam tahap pembelajaran sebagai pelakon, kata Awie yang juga terjun ke bidang teater melalui siri teater Cuci-Cuci The Muzikal, sebagai pelakon, seseorang itu perlu mempelbagaikan watak, berbanding stamina yang kuat untuk melontarkan vokal yang diperlukan dalam bidang nyanyian.
Awie dalam pada itu, meletakkan sasaran tempoh lima tahun akan datang untuk menjadi seorang pengarah atau penerbit filem.

AWIE menegaskan cabaran dalam kerjaya lakonan adalah dia perlu berusaha menghidupkan pelbagai watak yang berlainan.


Misha cabar diri
Bagi penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar, kehadirannya dalam bidang lakonan selepas sukses di lapangan seni suara adalah kerana ingin mencabar diri.
"Lakonan pertama saya adalah menerusi filem terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Gerak Khas The Movie 3. Dalam filem itu, saya cuma membawakan watak pembantu. Peluang itu sebenarnya saya gunakan untuk mencabar diri saya sebagai pelakon pula," tuturnya.
Selepas tawaran filem, sitkom dan telefilem, Misha akhirnya mulai jatuh cinta untuk terus serius sebagai pelakon.
Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 30, mengakui melalui lakonan, dia dapat membina keyakinan diri yang tinggi dan boleh diguna pakai di pentas nyanyian.
Ujarnya, bidang nyanyian dan lakonan juga saling berkait rapat apabila dia perlu menghafal skrip lakonan. Ini kerana dalam masa yang sama, dia juga perlu memahami lirik sesebuah lagu terutamanya dalam menekankan maksud dan mood sesuatu perkataan.
Dia yang juga pernah membintangi filem Main-Main Cinta bersama Adam AF mengakui pernah dikritik pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan.
"Memang saya akui ketika pertama kali berlakon dalam filem Gerak Khas The Movie 3, saya kelihatan kaku. Malah, sehingga kini saya menerima kritikan peminat menerusi Twitter mengenai lakonan saya itu jika filem tersebut diulang tayang di kaca televisyen.
"Namun, saya belajar dan tunjukkan peningkatan dalam bidang lakonan sama seperti bidang nyanyian. Mula-mula menyanyi dulu, saya akui tidak begitu bagus. Sumbang sana dan sini. Malah, imej saya juga dikritik peminat ketika itu, tetapi kita belajar dan tidak melakukan kesilapan yang serupa," jelasnya.
Mengulas mengenai perbezaan kedua-dua bidang yang diceburinya, kata Misha, bidang nyanyian perlukan bakat untuk menceburinya dan dia bersyukur kerana dikurniakan bakat menyanyi.
Sebaliknya untuk bidang lakonan pula kata Misha, boleh diasah bakat dan ia memerlukan masa untuk menjadikan lakonan lebih baik daripada yang sebelum ini. Tegasnya, dia akan memastikan kedua-dua bidang yang diceburinya berjaya dilakukan dengan sempurna.
Misha yang sinonim dengan watak-watak komedi dalam telemovie serta drama menegaskan, dalam setahun dia hanya mengambil dua atau tiga projek lakonan sahaja.
Malah, Misha yang juga pernah terbabit dalam teater Uda & Dara tidak pernah meletakkan sasaran bila dia akan berhenti berlakon mahupun menyanyi.
"Selagi peluang ada saya akan terus menyanyi dan berlakon, tetapi selepas berkahwin nanti saya juga kena fokus pada keluarga.
"Jika melibatkan penggambaran yang lama saya akan meminta pandangan suami terlebih dahulu," jelasnya yang bakal bernikah pada tahun hadapan.

MISHA mengakui sehingga kini, mutu lakonannya dalam produksi terbitan Yusof Haslam, Gerak Khas The Movie 3 masih diperkatakan dalam kalangan peminat filem Melayu.


Tomok tidak akan mengalah
Bagi penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 28, filem pertamanya iaitu Mantera tidak mendapat kutipan tiket yang memberangsangkan bukan disebabkan kegagalan lakonannya.
Jelasnya, banyak peminat yang memberi respons positif mengenai lakonannya.
"Bagi saya, percubaan pertama kali berlakon tidaklah gagal walaupun filem Mantera tidak mendapat sambutan. Ini kerana, ramai peminat yang memberikan komen positif dan menyukai lakonan saya," katanya.
Ditanya sama ada dia kecewa dan putus asa untuk terus berada dalam bidang lakonan selepas kegagalan filem tersebut, ujarnya, dia tidak kecewa dan tidak akan berputus asa.
Katanya, mungkin rezeki tidak menyebelahinya dan dia mengharapkan untuk filem keduanya iaitu Istanbul Aku Datang yang akan ditayangkan di pawagam pada November ini akan meraih kutipan yang lebih baik berbanding Mantera.
"Sebagai pelakon baharu saya masih perlu belajar selok-belok lakonan dan tidak boleh terlalu berpuas hati dengan apa yang dilakukan.
"Masih banyak ruang yang perlu saya perbaiki untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Jadi, saya tidak akan mengalah dan akan menerima setiap tawaran lakonan yang datang," ujarnya.

TOMOK kini semakin aktif menunjukkan bakat dalam dunia lakonan.


Erra lebih menyerlah berlakon
Erra Fazira sememangnya mempunyai minat menyanyi dan menari sejak kecil. Bakat nyanyian Erra mula dikesan oleh penyanyi popular 80-an, Dayangku Intan. Erra mula aktif menyanyi di pertunjukan -pertunjukan kecil sebelum berjaya mendapat kontrak rakaman dengan syarikat Polygram Records.
Namun impak populariti yang melonjak naik setelah bergelar Ratu Cantik Malaysia pada tahun 1992, Erra meraih tawaran untuk muncul dalam filem Sembilu arahan pengarah Datuk Yusof Haslam.
Filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung sekali gus melonjakkan namanya sebagai antara aktres paling popular pada era tersebut.
Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, dia mengambil Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain sebagai pelakon bukan semata-mata status mereka sebagai penyanyi yang mampu melariskan filemnya.
Ujarnya, bukan menjadi jaminan kepada penerbit-penerbit bahawa mengambil penyanyi untuk berlakon dalam karya mereka akan menjadikan filem mereka laris mahupun pecah panggung.
"Kadang-kadang penerbit mengambil penyanyi berlakon filem mereka kerana mahu sesuaikan watak yang ada," jelasnya.
Mengambil contoh filem Sembilu, peranan Awie sebagai penyanyi dalam filem itu sangat bersesuaian kerana di alam nyata, Awie juga seorang penyanyi terkenal.
Namun, Yusof tidak menolak daya penarik yang dimiliki penyanyi-penyanyi popular mampu menarik minat penonton untuk menonton.
Ditanya sama ada penyanyi yang menjadi pelakon mampu menyamai keberkesanan lakonan pelakon-pelakon yang sedia ada, jawab Yusof, hampir 70 peratus penyanyi mampu berlakon dengan baik tetapi ada juga yang kurang berbakat.
Walaubagaimanapun, Yusof memberitahu, penyanyi yang terjun ke dunia lakonan mampu dibentuk lakonan mereka.
"Ada artis yang senang untuk dibentuk. Sebagai contoh Erra Fazira. Memang pada asalnya lakonan Erra nampak kaku, tetapi lama kelamaan lakonan dia nampak semakin bagus. Macam Awie dan Ziana mereka memang pandai menyanyi mahupun berlakon," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: