Friday, September 28, 2012
Fruitale rai cinta sejati
FRUITALE, rangkaian sabun kecantikan dengan haruman mempesonakan kini mengorak langkah mempopularkan dan memelihara tradisi kraf sabun buatan tangan yang suatu ketika dahulu sering dijadikan sebagai hadiah tetamu atau hantaran.
Jenama itu buat pertama kalinya menganjurkan peraduan Fruitale Buah Hatiku Cinta Sejati bermula dari April hingga Jun lalu dalam laman fanpage Facebook Fruitale.
Peraduan tersebut terbuka kepada pasangan yang bakal berkahwin sebagai platform untuk menceritakan kisah cinta mereka dengan cara paling kreatif melalui gambar, multimedia, video, lagu-lagu original, puisi, karya seni dan lain-lain.
Sebanyak RM6,500 wang tunai dan hadiah-hadiah produk ditawarkan termasuk hadiah tetamu dan hantaran tersendiri dengan warna pilihan pasangan yang berjaya untuk disesuaikan dengan tema majlis perkahwinan mereka.
Karya cinta
Ternyata kisah cinta dan kasih sayang yang diceritakan Khairatul Azwa Mohd. Shamsuddin dan Hazhatta Idaham Abu Talib berjaya mencairkan hati para juri. Mereka telah memenangi hadiah utama bernilai RM3,000.
Pasangan Sarina Saleh dan Sufian Roslan pula mendapat tempat kedua yang melayakkan mereka memenangi hadiah berjumlah RM2,000 sementara hadiah tempat ketiga bernilai RM1,500 dimenangi oleh Mohd. Hafis Md. Hadri dan Nurul Syazwani Emran.
Hadiah istimewa produk Lam Soon bernilai RM300 pula menjadi milik Hidayat Masduki dan Hazimah Sidik kerana penggunaan sabun Fruitale paling inovatif sebagai prop dalam penyertaan mereka.
Khairatul Azwa, 24, seorang jururawat dan Hazhatta Idaham, 23, seorang pereka grafik mula menjalinkan hubungan mereka sejak di universiti.
Pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mereka baru-baru ini merupakan pengguna setia Fruitale.
"Terima kasih kepada Fruitale kerana peraduan ini kami dapat mengenang kembali zaman percintaan. Hazhatta membawa kisah percintaan kami ke dalam bentuk multimedia.
"Apabila dia menunjukkan hasil kerjanya, saya terharu dan menangis kegembiraan kerana ia amat bermakna buat saya," kata Khairatul Azwa yang menunjukkan kisah percintaan mereka pada majlis perkahwinan.
Khairatul Azwa dan Hazhatta Idaham memilih sabun Fruitale Pomegranate untuk penghasilan hantaran dan hadiah buat tetamu.
Berbeza dengan pemenang kedua, Sarina dan Sufian mempamerkan percintaan sejati mereka melalui seloka dalam bentuk puisi tradisional.
"Kami merupakan rakan sekelas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan melalui tugasan serta kerja kursus bersama.
"Persahabatan bertukar menjadi sayang dan kemudiannya rasa cinta. Keluarga juga merestui hubungan kami. Sesetengah orang kata rupa kami sama dan kerana itulah ada jodoh," katanya sambil memberitahu hadiah yang diperoleh dapat membantu menampung perbelanjaan persiapan perkahwinan mereka.
Pemenang ketiga, Mohd. Hafis dan Nurul Syazwani pula telah membuat video lagu menarik bertemakan pop yang menunjukkan gambar-gambar mereka.
Populariti hantaran sabun
Menurut Pengurus Produk Kanan Lam Soon (Bahagian Pemasaran, Penjagaan Rumah dan Penjagaan Diri), Angeline Sim, Fruitale mempunyai rangkaian sabun wangian yang luas dan mengandungi susu yogurt dengan nutrien buah-buahan sihat seperti lemon, strawberi, limau kasturi, oren, buah delima, pic dan betik.
"Kami amat gembira kerana peraduan Fruitale Buah Hatiku Edisi Cinta Sejati ini mendapat maklum balas positif dan melahirkan hasil karya cinta sejati yang menarik.
"Kami merasakan bahawa seni kraf sabun Melayu tidak patut lenyap begitu sahaja akibat daripada lebih ramai orang yang memilih hadiah tetamu dan hantaran yang lebih komersial," katanya.
Sabun mandian Fruitale amat sesuai untuk kraf sabun kerana terdapat tujuh jenis varian buah-buahan dengan warna pastel dan wangian buahan yang tahan lama.
Rangkaian baharu sabun kecantikan Fruitale yang diperkaya dengan kebaikan pati 100 peratus asli buah-buahan dan susu yogurt kini boleh didapati di seluruh negara pada harga RM2.50 untuk pek 3 x 80 gram bar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: