Wednesday, September 12, 2012

Timba pengalaman hospitaliti di Australia

Bergambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar dari Sekolah Pengurusan Hotel Antarabangsa Blue Mountains, Australia baru-baru ini.

KEJAYAAN industri hospitaliti bukan hanya bergantung kepada infrastruktur yang selesa dan kemudahan yang lengkap, tetapi juga didorong oleh kualiti pelajarnya yang mampu bersaing di peringkat global.

Sehubungan itu, Kolej Universiti Antarabangsa INTI baru-baru ini telah menghantar tiga pelajarnya bagi menjalani latihan amali di Institusi Sekolah Pengurusan Hotel Antarabangsa Blue Mountains, Australia.

Mereka terdiri lnino Patero Anak Engkabi, Amelia Chew Wan Ying dan Teoh Lee Horng diberi pendedahan dengan pelbagai latihan amali serta peluang kerjaya dalam bidang hospitaliti di negara berkenaan.

Program yang dibiayai sepenuhnya oleh INTI itu diadakan selama empat hari itu dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti dan sesi penerangan mengenai fungsi dan peranan setiap jabatan di institusi berkenaan.

Pelajar Diploma Pengurusan Hotel Kolej INTI Cawangan Sarawak, Elnino Patero berkata, peluang yang diberikan INTI itu dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perjalanan operasi sekolah perhotelan ini.

"Saya diberi penerangan mengenai cara menguruskan hotel seperti persiapan makanan dan minuman, kaedah mengemas bilik dan bahagian penyambut tetamu.

"Lawatan ini membolehkan saya memahami dengan lebih mendalam mengenai konsep kerjasama yang dipelajari di dalam kuliah selain memastikan kecemerlangan dalam perkhidmatan perhotelan," katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Dekan Eksekutif, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Pengurusan INTI berkata, program di Australia ini dapat membantu ketiga-tiga pelajar berkenaan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan perhotelan.

"Mereka didedahkan dari bahagian menyambut tetamu, dapur, makanan dan minuman. Ini semuanya amat penting dalam melatih nereka untuk menjadi pengurus di hotel, pusat peranginan, restoran, bar atau syarikat pengurusan acara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: