ARAU 2 Sept. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai universiti pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan Internet secara terus di dalam bas bagi kemudahan para pelajarnya menyediakan tugasan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, projek perintis kemudahan perkhidmatan portable - WiFi Internet itu adalah kerjasama di antara UniMAP Holdings Sdn. Bhd. dengan Celcom Axiata Berhad.
Beliau berkata, sebanyak 17 buah bas milik UniMAP kini dilengkapi dengan kemudahan itu.
''UniMAP berharap dengan perkhidmatan yang disediakan, ia akan memberikan manfaat yang cukup besar kepada pelajar UniMAP kerana ia boleh digunakan ketika dalam perjalanan berulang-alik dari asrama ke kampus setiap hari," katanya semasa berucap pada majlis Program Taklimat Waris Ambilan Pelajar Sesi 2012/2013 di Kampus Tetap Pauh Putra, di sini hari ini.
Berkenan hadir ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengarah Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abd. Ghaffar.
Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan melancarkan perkhidmatan WiFi Internet di dalam bas itu.
Kamarudin berkata, sempena dengan usia Sedekad Gemilang UniMAP juga telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila sebanyak 2,581 pelajar ditawarkan mengikuti program pengajian peringkat Ijazah.
''Lebih bermakna lagi apabila pada sesi pengambilan kali ini UniMAP menerima kehadiran pelajar perintis untuk empat program Kejuruteraan Teknologi," katanya.
Tambahnya, turut mendaftar pada hari ini termasuk 104 pelajar antarabangsa yang mengikuti program ijazah Sarjana Muda dan 110 pelajar lagi mengikuti program ''International English Course''.
Katanya, pada Jun lalu juga UniMAP mula menawarkan pengajian peringkat diploma dengan kemasukan 431 pelajar.
''Secara keseluruhannya dengan jumlah pelajar yang mendaftar hari ini maka UniMAP memiliki tambahan sebanyak 3,226 orang dan menjadikan jumlah keseluruhan pelajaran UniMAP kini melebihi 9,005 orang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: