|
PELAKON, pelawak dan pengacara, Along Cham, 29, kini semakin laris selepas gandingan buat pertama kalinya dengan Angah Raja Lawak menjadi dalam filem Alamak Toyol! terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) pada tahun lepas.
Jika sebelum ini Along hanya menerima tawaran berlakon sebagai pelakon tambahan, tetapi kini namanya sering menjadi watak utama dalam filem dan digandingkan dengan Angah.
Diam tak diam, lebih lima filem menggandingkan mereka berdua. Selain Alamak Toyol! filem lain termasuklah Satu Hari Kubur Berasap, Jidin Sengal dan Adnan Sempit 2.
Filem terbaharu gandingan Along dan Angah berjudul Taikun pula bakal ditayangkan pada 4 Oktober ini.
Bagi Along, perkara itu tidak menjadi masalah baginya walaupun sering digandingkan dengan sahabat baiknya itu. Dia juga tidak kisah menerima tawaran berlakon bersama kerana itu adalah rezeki baginya.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad meluahkan tentang keakrabannya bersama Angah semasa ditemui Kosmo! pada sebuah majlis anjuran Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Sudah banyak filem menggandingkan Along dengan Angah, tidak kisah akan menjadi buah mulut orang pula nanti?
ALONG: Saya tidak kisah apa orang nak kata, asalkan watak yang dibawa bersama Angah ketika berlakon sebelum ini sentiasa ada kelainan. Kami bukan berlakon watak sama, setiap filem mesti ada kelainan yang kami buat.
Sampai bila agaknya anda akan berlakon dengan Angah?
Sampai mati pun saya tidak kisah berlakon dengan Angah kerana kami ada keserasian. Kami sudah kenal hampir 13 tahun. Semasa berlakon dengan dia, saya dapat tahu mana kelemahan dan dia sentiasa beri tunjuk ajar, begitu juga sebaliknya. Ketika berlakon dalam Taikun, ada adegan bertumbuk dan dia tumbuk saya betul-betul, tapi saya tidak simpan dalam hati. Kami juga sentiasa bercerita kelemahan dan kelebihan masing-masing untuk mantapkan lakonan.
Apa yang membuatkan anda serasi dengan Angah?
Mungkin kerana prinsip kami sama untuk mencari kelainan dalam watak walaupun sering digandingkan bersama. Saya berterima kasih kepada pengarah Ismail Bob Hasim kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk memegang watak utama.
Sekarang ini anda sering menerima watak utama berbanding watak tambahan sahaja sebelum ini, adakah itu impak kerana anda sering bergandingan dengan Angah?
Saya anggap itu rezeki. Mula-mula rezeki saya apabila berkahwin, selepas itu rezeki anak pula, mungkin sekarang rezeki saya dengan Angah. Saya bersyukur kerana ramai sudah nampak potensi kami. Sekarang saya tidak menyimpang daripada menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin apabila rezeki mencurah-curah.
Apakah filem lain lakonan anda dan Angah selain Taikun yang bakal ditayangkan nanti?
Filem yang masih belum dapat tarikh wajib tayang adalah Wawa Sempit dan Bro Nampak Motor Gua terbitan Metrowealth.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: