Wednesday, September 5, 2012

Karier lakonan terus bersinar

EMPAT pelakon pelapis dunia lakonan tanah air (dari kiri), Adam Shah, Izreen Azminda, Syazwan Zulkifly dan Talha Amir Harith bersyukur kerana diberi peluang membintangi drama Juvana.


WALAUPUN sudah hampir setahun lebih berlalu, tidak dinafikan, bahang Juvana masih lagi dirasai oleh peminat atau penonton drama bersiri yang disiarkan menerusi TV3 tidak lama dahulu itu.

Buktinya, sehingga kini nama watak yang dilakonkan oleh barisan pelakon-pelakon muda Juvana itu masih 'melekat' dan justeru telah serasi dengan diri masing-masing.

Siapa tidak boleh lupa dengan empat karakter penting dalam Juvana iaitu Cikgu Zakiah lakonan Izreen Azminda, Apek (Syazwan Zulkifly), Ayam (Adam Shah) serta Black (Talha Amir Harith), selain Botak dan Daim yang masing-masing dilakonkan oleh Johan As'ari serta Zahiril Adzim.

Tidak sangka dengan fenomena yang telah berjaya dicetuskan oleh drama ini, Izreen, Syazwan, Adam dan Talha tidak menafikan Juvana menjadi platform bagi diri mereka terus dikenali dalam membina nama melalui bidang lakonan.

Memanjat kesyukuran terhadap illahi atas rezeki yang dikurniakan kepada mereka, bicara keempat-empat pelakon ini, mereka akan membuat yang terbaik untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi tersebut.

Rezeki dan hikmah

Watak Cikgu Zakiah dalam Juvana sememangnya membantu Izreen Azminda Aznam lebih dikenali walaupun sebelum ini dia telah wujud dalam industri lakonan selama enam tahun.

"Saya memulakan karier sebagai pelakon enam tahun lalu. Memang saya akui, memang ramai yang mengenali saya setelah memegang watak dalam drama Juvana. Mungkin rezeki saya lambat namun saya tidak kisah.

"Saya tetap bersyukur dengan rezeki yang saya terima kerana setiap apa yang berlaku punya hikmahnya sendiri. Selama enam tahun itu juga, banyak pengalaman yang dapat saya kumpul.

"Alhamdulillah, tawaran kini semakin banyak namun saya perlu perlahankan sedikit kerana perlu memberi fokus terhadap persiapan perkahwinan kelak," tutur Izreen yang telah mengakhiri zaman solonya Sabtu minggu lepas.

Selain itu, tutur anak kelahiran Kedah ini, sebelum ini, dia sering menerima tawaran memegang watak antagonis, namun setelah melihat lakonan yang dijayakan dalam drama ini, dia bersyukur kerana ada yang telah nampak bakat yang ada dalam diri.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, dia juga sering mencabar diri untuk membawa watak yang lain dari yang lain.

Tawaran lakonan mencurah-curah

Lain pula cerita Talha atau nama yang diberi Talha Amir Harith yang memegang watak sebagai Black dalam drama ini.

Bicara pemuda berwajah comel ini, sebenarnya dia tidak tampil dalam banyak babak dalam Juvana, namun dia bersyukur kerana dirinya turut terpalit bersama fenomena yang dicetuskan drama itu.

"Saya sangat bersyukur kerana walaupun sebenarnya tidak banyak babak yang menampilkan Black dalam drama episod Juvana ini. Tidak silap saya, hanya dua episod sahaja. Namun, memang impak berlakon dalam Juvana melekat hingga ke hari ini.

"Alhamdulillah, memang selepas itu saya dihujani dengan tawaran berlakon dan rezeki juga semakin murah dan tidak putus-putus.

"Sehinggakan ada (tawaran) yang terpaksa saya tolak kerana saya akan ambil tawaran yang datang dahulu kepada saya," tuturnya meminta maaf kerana bukan sengaja mahu menolak tawaran yang diberikan padanya.

Tutur pemuda berkelulusan Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, walaupun setelah setahun berlalu, masih juga ada peminat yang memanggilnya dengan nama yang dilakonnya dalam Juvana.

Umpama segulung ijazah

Bagi pemilik nama Adam Shah atau lebih mesra disapa Adam, dia mempunyai perancangan sendiri sebelum namanya meledak melalui Juvana.

Berkat usaha dan minat terhadap dunia lakonan, Adam telah memulakan langkahnya tiga tahun lalu dengan bekerja di bahagian belakang tabir produksi.

"Sebelum ini sebenarnya saya punya perancangan di mana, saya ingin berjinak di bahagian belakang tabir produksi. Dari situ, saya akan mula mengenali produksi dan ingin mengambil peluang tersebut untuk menceburi bidang lakonan.

"Namun, tidak dinafikan, mengambil tawaran sebagai Apek, telah memendekkan tempoh perancangan jangka masa panjang saya itu. Alhamdulillah, orang sudah mula kenal dengan nama dan bakat saya.

"Juvana seperti segulung ijazah untuk mengumumkan kepada masyarakat bahawa saya memang layak untuk berada dalam industri ini dan meneruskan karier sebagai seorang pelakon," bicara Adam yang menjadikan lakonan sebagai sumber rezekinya.

Rezeki terpijak

Selain Johan As'ari, Syazwan Zulkifly juga merupakan aktor kelahiran Juvana yang dilihat semakin bersinar bintangnya dalam menempah nama dalam bidang lakonan.

Mula bergiat dalam lakonan melalui sitkom yang berjudul Terbelahak di Astro, Syazwan muncul dalam drama Gemilang sebelum diberi peluang meelakonkan watak penting menerusi Juvana.

"Makin lama saya menceburkan diri dalam bidang lakonan ini, saya akui minat saya semakin mendalam. Saya rasa ini merupakan rezeki saya kerana telah berjumpa dengan orang yang tepat untuk memperkenalkan saya kepada bidang lakonan.

"Saya mula karier saya bersama produksi Filmscape. Jadi ketika bekerja dengan pihak produksi ini, saya rasa selesa bekerja dengan mereka semua.

"Bagi saya Bront Palarae, Beto Khushairy, Tiz Zakiah, Azhan Rani serta Zahiril Adzim merupakan pelakon sejati. Dapat bekerja dengan mereka merupakan pengalaman yang bagus untuk saya," tutur pemuda berusia 23 tahun ini.

Tuturnya, Juvana merupakan rezeki terpijak baginya setelah menceburi bidang lakonan ini. Ini kerana ketika terlibat dengan Juvana, mereka langsung tidak sangka drama ini akan menjadi fenomena begini.

"Jika mahu katakan keserasian, kami sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Namun kami sebagai pelakon, hanya memberi yang terbaik untuk menjayakan filem mahupun drama yang dilakonkan," akhiri Syazwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: