|
JALAN Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur bukanlah suatu nama asing di negara ini. Jalan tersebut merupakan antara syurga beli-belah di ibu negara yang meningkat dari segi ‘pemasaran’ dan ‘penjenamaan’ saban tahun terutamanya setiap kali tiba musim perayaan.
Bukan itu sahaja, kepesatan pembangunan di sepanjang jalan tersebut dan sekitarnya secara tidak langsung membawa nilai tambah dalam agenda pelancongan di ibu negara.
Orang ramai boleh mendapati pelbagai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan para peniaga di Jalan TAR atau nama lamanya, Batu Road, daripada yang berharga murah hinggalah kepada rangkaian mewah.
Variasi barangan seperti kain baju, cenderamata, barangan kulit, barangan perhiasan diri dan kelengkapan rumah sedia untuk dimiliki mengikut kemampuan masing-masing.
Antara pusat beli-belah tumpuan orang ramai adalah Sogo, Kompleks Pertama dan Maju Junction. Tidak ketinggalan kedai-kedai yang banyak terdapat di sepanjang jalan tersebut antaranya G. S. Gill, P. Lal dan P. H. Henry.
Bagi kaum Hawa, Jalan TAR juga ‘menggoda’ dengan koleksi pakaian dan aksesori wanita yang dijual pada harga yang berpatutan.
Bagi mereka yang mencari sesuatu yang istimewa untuk kegunaan peribadi ataupun sebagai hadiah kepada orang istimewa, mungkin boleh membeli barangan kulit.
|
|
Cenderamata
Di pusat membeli-belah Kompleks Pertama terdapat peniaga barangan kulit buatan tangan iaitu milik T. Sundararaj, 38.
Kedainya, ESTS Leather beroperasi di pusat beli-belah itu sejak lapan tahun lalu, dibuka setiap hari mulai 11.30 pagi hingga 8.30 malam.
“Perniagaan saya di sini agak bagus kerana mempunyai pelanggan dari dalam dan luar negara. Selain mereka datang ke kedai ini, ada juga yang membeli produk kulit menerusi laman web www.estsleather.com.
“Kualiti barangan yang dihasilkan adalah terjamin. Selain menjual produk yang dihasilkan di kilang saya di Gombak, ada juga produk yang diimport dari luar negara,” katanya yang memberitahu harga kasut kulit yang ditawarkan antara RM120 hingga RM300 sepasang.
Antara produk kulit yang dijual di kedai adalah beg, kasut, tali pinggang, topi, beg wanita dan dompet.
Selain barangan kualiti, Jalan TAR juga terkenal kerana terdapat banyak pilihan kedai dan perusahaan yang menjual tekstil, permaidani, dekorasi kediaman, gubahan bunga serta hantaran perkahwinan.
Nama-nama seperti Gulati’s, Kamdar, Euro Moda, SSF Home Deco Mart, Alinas, kedai Sayang You di Semua House dan Syarikat Bunga Reben tidak pernah mengecewakan pelanggan yang hadir dengan pelbagai cita rasa.
|
|
Menjamu selera
Setelah puas membeli-belah, apa kata anda meluangkan masa untuk menjamu selera atau berhenti seketika bagi menghilangkan dahaga dan penat. Pengalaman meredah kesesakan di Jalan TAR tentunya membiarkan seseorang berasa dahaga mahupun lapar.
Bagi mereka yang tidak biasa dengan Jalan TAR, tidak perlu bimbang kerana pelbagai restoran atau kedai minum banyak terdapat di sekitar jalan tersebut atau di dalam pusat beli-belah.
Jika teringin menikmati hidangan nasi kandar Pulau Pinang, singgahlah di Restoran Kudu Bin Abdul.
Anda pasti tidak kecewa terutamanya ketika menikmati hidangan nasi kandar bersama ayam masak bawang.
Jadi tidak hairanlah, jika pengunjung beratur panjang untuk membeli makanan tersebut terutamanya dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang setiap hari.
|
|
Restoran berkenaan dibuka setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 8.30 malam manakala Sabtu dan Ahad, ia ditutup pada pukul 7 pagi dan 6 petang.
Pemilik restoran berkenaan, Kamernisa Bibi Budu, 43, berkata, restoran tersebut diasaskan oleh arwah bapanya 44 tahun lalu.
Restoran tersebut pernah menyaksikan seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi pengunjung tetapnya suatu masa dahulu.
Ini berikutan Pawagam P. Ramlee terletak di belakang restoran tersebut.
“Lauk-lauk lain yang boleh didapati termasuk udang masak kari, ketam, telur ikan, sayur dan lain-lain dengan kadar harga yang berpatutan,” katanya.
Selain Restoran Kudu Bin Abdul, mereka yang lazim ke Jalan TAR tentu bersetuju dengan beberapa lagi tempat makan popular seperti Restoran Insaf nasi Briyani, Restoran Zam Zam dan Coliseum Cafe.
Tidak lupa juga, bagi yang meminati minuman kopi ais kisar yang menyegarkan, sebuah trak yang berfungsi sebagai kios minuman berhampiran gedung Semua House iaitu Kopi Satu boleh dikunjungi.
|
|
Beristirehat
Tempoh beberapa jam atau separuh hari mungkin tidak cukup bagi yang mempunyai senarai pembelian yang panjang atau agenda pelancongan seterusnya. Untuk itu, Kawasan sekitar Jalan TAR turut menawarkan kemudahan bermalam di beberapa hotel bajet yang selesa.
Salah satunya ialah Hotel Selesa Inn yang terletak berhadapan dengan Maju Junction. Ia menawarkan beberapa jenis bilik seperti Family Deluxe, Family, Superior dan Standard yang berharga antara RM105 hingga 170 semalam. Harga yang ditawarkan termasuk sarapan untuk dua atau empat orang bergantung kepada bilik yang dipilih.
Restorannya yang menyediakan hidangan ala carte dan bufet masakan Melayu mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengurus Operasinya, Mohd. Taha Mohd. Noor berkata, sebanyak 45 unit bilik sedia untuk ditempah oleh para pengunjung. Terdapat juga kemudahan WiFi serta dewan seminar.
“80 peratus daripada pelanggan kami adalah dari Sabah dan Sarawak yang ke sini untuk membeli barangan dalam kuantiti banyak untuk diniagakan negeri masing-masing,” ujarnya.
Pengunjung Jalan TAR juga boleh menginap di beberapa hotel lain seperti Hotel Noble (hotelnoble.com), Hotel Coliseum (03-2692 6270) dan Frenz Hotel (frenzhotel.com.my).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: