Saturday, September 8, 2012

Hotel mewah di jantung Putrajaya


JIKA mahu merasai keenakan aneka makanan Itali asli bolehlah berkunjung Tuscany Restaurant & Pizza Bar.


DIREKA khusus untuk mereka yang mementingkan cita rasa mewah dan penuh eksklusif, Hotel Marriot Putrajaya sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri.

Berdiri megah di tengah-tengah pusat pentadbiran ulung negara Putrajaya, tidak hairanlah hotel yang beroperasi sejak 10 tahun lalu itu sentiasa menggamit pengunjung dan pengembara bisnes yang mahu merasai suasana percutian santai di pinggir kota.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke situ, mata seakan terpukau melihat binaannya yang diinspirasikan daripada gabungan seni bina Mediterranean dan Moorish.

Bertaraf lima bintang, Hotel Marriot Putrajaya menawarkan 488 bilik dan suite secara keseluruhan.

Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada Deluxe (380 unit), Executive Deluxe (70 unit) dan Exclusive Suites (30 unit).

Ruang bilik tampak kemas dan selesa dengan susun atur perabot yang moden dan kotemporari. Penggunaan warna bertema bumi pada sudut dinding menyerlahkan pesonanya.


TERAPI urutan ala Bali di Dewi Sri Spa mampu meredakan kelesuan selepas seharian beraktiviti.


Dari kamar masing-masing pengunjung disajikan panorama padang golf 27 lubang yang menghijau.

Sepanjang menginap di situ, pengunjung juga berpeluang menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan antaranya pendingin hawa, peti ais mini, televisyen satelit, telefon dan akses jalur lebar 24 jam sehari.

Jamu selera

Selain keselesaan di tempat tidur, hotel itu juga terkenal dengan pelbagai kulinari yang ditawarkan di beberapa kafe, restoran dan lounge.

Di Terrace Cafe, pengunjung bakal disajikan dengan hidangan tempatan dan antarabangsa untuk sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam.

Penggemar kuisin Cina dan Jepun tidak perlu mengeluh untuk mencari makanan kegemaran mereka kerana ia boleh diperoleh tatkala berkunjung ke Restoran Summer Palace atau Restoran Midori.

Pengunjung boleh menikmati hidangan secara bufet pada harga yang sangat berpatutan.

Apa yang lebih penting, pengunjung khususnya yang beragama Islam tidak perlu risau ketika menjamu selera kerana kedua-dua restoran itu menyediakan hidangan 100 peratus halal.

Bagi yang mahu bertukar selera, bolehlah ke Tuscany Restaurant & Pizza Bar. Ia menawarkan aneka makanan Itali asli yang dihidangan chef-chef berpengalaman seperti piza, pasta dan makaroni.


PERINCIAN setiap ruang hotel begitu dititikberatkan di Hotel Marriot Putrajaya.


Jika mahu sekadar bersantai bersama teman-teman sambil menikmati snek ringan, Lobby Lounge and Karaoke adalah jawapannya. Di samping mendengar alunan muzik, pengunjung juga boleh berkaraoke di bilik khas yang disediakan.

Tidak sekadar itu, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel ini. Pengunjung boleh bersenam di gimnasium atau sekadar mengasah bakat sukan di gelanggang tenis dan skuasy.

Kepada tetamu yang mahu merasai pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan, jiwa dan minda boleh berkunjung ke Dewi Sri Martha Tilaar yang menawarkan suasana rehat di dalam persekitaran yang tenang dan mendamaikan.

Serahkan badan anda kepada tangan-tangan yang pakar untuk rawatan seperti aroma terapi, urut, merias kuku, skrub badan, terapi hidro dan sebagainya.

Dengan haruman bunga segar dan persekitaran yang menenangkan, terapi urutan Bali yang disediakan meredakan kelesuan badan selepas seharian beraktiviti.

Hotel Marriot Putrajaya juga pilihan ideal untuk lokasi mesyuarat, seminar dan persidangan. Dewan utamanya, Marriot Grand Putrajaya Ballroom mampu memuatkan sehingga kira-kira 2,500 tetamu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: