|
|
TERLETAK di antara dua pergunungan di Semenanjung Malaysia, iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang, Lenggong menawarkan kepelbagaian tarikan pelancongan yang tidak kurang hebatnya.
Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, daerah yang terletak di di Hulu Perak itu terus menjadi tumpuan para penyelidik dari seluruh dunia yang mahu meneroka khazanah yang tersimpan di dalamnya.
Pelbagai usaha pasukan penyelidik tempatan sejak dua dekad lalu berjaya menjelmakan artifak penting yang sangat signifikan dalam pemahaman arkeologi Asia Tenggara dan sekitarnya.
Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), daerah itu juga kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang masih terpelihara sehingga kini.
|
|
Riadah istimewa
Salah satu lokasi libur yang wajib diterokai di situ ialah Hutan Lipur Lata Kekabu. Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bintang Hijau.
Kedudukan yang strategik di tengah-tengah laluan dari Ipoh ke Grik menjadikannya lokasi riadah popular kepada pengunjung yang mahu berehat pada hujung minggu.
Sebaik sahaja tiba, mata tentu terpesona melihat kehijauan suasana hutan jenis dipterokarp bukit. Ia menjadi habitat pelbagai spesies pokok seperti meranti, kempas, jelutong dan keruing.
Tarikan utama di situ, pastinya air terjun setinggi 50 meter yang mengalir jernih dari puncak bukit.
Udara segar yang menyapa dan diselang-selikan dengan suara unggas berkicauan tentu saja memberikan ketenangan yang diinginkan.
Pengunjung boleh memilih untuk bermandi-manda dan berkelah berhampiran sungai yang mengalir di kawasan lapang yang disediakan. Jika mahu meneroka keindahan air terjunnya pula, boleh menyusuri tebing melalui trek hutan yang disediakan.
Bagi yang mahukan lebih cabaran, pengunjung boleh menjelajah lebih jauh ke dalam hutan. Pengalaman melihat kepelbagaian bentuk muka buminya yang tidak sekata, dipenuhi cerun mencabar dan bonjolan berbatu pastinya mengujakan.
|
|
Nilai sejarah
Selain kaya dengan khazanah alam semula jadi, lokasi itu juga mempunyai nilai sejarah tersendiri khususnya ketika era komunis satu ketika dahulu.
Diselia oleh Jabatan Perhutanan Perak, hutan lipur itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam. Antaranya, tandas awam, wakaf, tempat meletak kenderaan, bilik persalinan, surau serta dewan yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang.
Sementara itu, kemudahan tapak khemah juga turut disediakan bagi pengunjung yang ingin bermalam pula di samping melakukan pelbagai aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah.
Untuk menjamu selera, usah risau kerana terdapat beberapa gerai jualan yang menawarkan aneka minuman dan makanan kepada pengunjung.
Setelah puas berkelah dan bermandi-manda, jangan lupa singgah seketika Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.
Ia menempatkan replika rangka Perak Man dan pelbagai bukti tinggalan sejarah di Lembah Lenggong seperti alat-alat batu, tembikar dan barang perhiasan serta peralatan Orang Asli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: