Saturday, September 15, 2012

Mendekati keluarga besar Kundra



SAIZ badannya besar dan tegap mencecah lebih satu tan. Kulitnya yang licin pula kelihatan kelabu keperangan-perangan tatkala disinari cahaya matahari. Ketika ia membuka mulut, sepasang taring sepanjang lebih empat sentimeter yang kelihatan membuatkan sesiapa sahaja berasa gerun.

Biarpun digelar haiwan paling berbahaya di dunia, Kundra, badak air jantan berusia 19 tahun itu sememangnya jinak dan mesra.

Manakan tidak, sejak menjadi penghuni di Paya Indah Wetlands (PIW) kira-kira 11 tahun lalu, wajah dan telatahnya acapkali menjadi tarikan lensa kamera pengunjung-pengunjung yang datang ke situ.

Tidak hairanlah, tatkala dihulurkan makanan iaitu rumput jenis naphere itu serta buah-buahan seperti pisang dan betik, Kundra asyik menikmatinya tanpa mempedulikan mata-mata yang memerhati di sekeliling.

Kundra bagaimanapun tidak bersendirian. Haiwan yang dipinjamkan oleh kerajaan Botswana ketika pembukaan PIW itu, turut ditemani pasangannya, Juwita dan Chendana selain anaknya, badak air jantan berusia lebih satu bulan.


BADAK jantan di Paya Indah Wetland, Kundra mempunyai dua pasangan iaitu Juwita dan Chendana serta seekor anak jantan berusia satu tahun lebih.


“Aktiviti ini dilakukan setiap hari bermula pukul 10 pagi. Berbeza dengan melihatnya di zoo, di sini pengunjung bukan sahaja berpeluang mendekatinya dengan lebih dekat, malah dapat merasai pengalaman memberi badak makanan di bawah pengawasan kakitangan yang bertugas.

“Biarpun ia tampak jinak dan mesra manusia, kami sentiasa mengingatkan pengunjung agar sentiasa berhati-hati, bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” kata Penguasa PIW, Hasnan Yusop.

Kundra, bukannya satu-satunya tarikan yang ada di PIW. Ia syurga kepada lebih 229 spesies burung, 63 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 10 spesies amfibia dan juga 14 spesies ikan.

Menurut Hasnan, pengunjung juga pasti terpesona melihat aktiviti memberi makan buaya yang jarang-jarang dapat disaksikan khususnya di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika ini terdapat 38 ekor buaya daripada spesies tembaga menghuni di dalam kolam khas yang disediakan.

“Pengunjung juga boleh memancing di kolam-kolam pancing yang disediakan serta melihat pelanduk, landak, belibis, pangling, merak dan kuang raya di Family Park dan Laman Fauna.

“Malah, lokasi ini juga popular dalam kalangan peminat burung dari dalam dan luar negara. Ruang angkasanya kaya dengan pelbagai spesies burung tempatan dan hijrah seperti belibis (itik liar), purple swamphen, pucung serandau, lesser whistling duck, helang merah dan sebagainya,” katanya.


PELUANG bermesra dan memberi makan pelbagai haiwan liar seperti landak pasti menyeronokkan.


Lindung ekosistem tanah lembap

PIW merupakan bekas lombong timah selain tasik air tawar dan hutan paya gambut seluas 450.76 hektar yang diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap.

Idea penubuhannya dicetuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan memulihara dan melindungi hutan paya gambut serta ekosistem tanah lembap di samping meningkat kesedaran masyarakat berhubung kepentingannya.

Ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak tahun 2005, PIW merupakan antara pusat tanah lembap di negara ini seperti Tasik Bera di Pahang, Taman Alam Kuala Selangor, Taman Wetland Likas di Sabah, Kawasan Perlindungan Burung Kuala Gula di Perak dan Taman Wetland di Putrajaya.

Sesuai dengan statusnya sebagai pusat biodiversiti yang menakjubkan, PIW turut dihuni lebih 220 spesies tumbuhan akuatik dan daratan seperti teratai, telipok dan kiambang yang melatari permukaan tasik di sekelilingnya.

PAYA Indah Wetland turut menjadi lokasi persinggahan burung-burung yang bermigrasi kerana perubahan cuaca.


“Kami juga berusaha memulihara ekosistem di sini melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

“Sehingga kini sebanyak 62,551 pokok telah ditanam membabitkan beberapa spesies seperti gelam, medang teja, ceri, pulai, merawan siput jantan dan jelutung,” katanya.

Tambah Hasnan, secara umumnya, PIW terbahagi kepada Zon Rekreasi, Pendidikan serta Konservasi dan Penyelidikan.

Kemudahan yang lengkap

Bagi Zon Pendidikan serta Konservasi dan Penyelidikan, pengunjung dilarang memasukinya kecuali mendapat kebenaran serta perkhidmatan pemandu pelancong alam semula jadi.

Hasnan berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha memperbaiki infrastruktur di kawasan itu bagi meningkatkan imejnya sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Selangor.

Katanya, ketika ini pelbagai kemudahan yang disediakan sudah agak lengkap seperti calet, asrama, dewan seminar, dewan makan, surau, bilik mesyuarat dan tapak perkhemahan.

“PIW bukan sahaja sesuai untuk pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati panorama alam semula jadi, malah sesuai juga dijadikan lokasi untuk acara seperti mesyuarat, majlis perkahwinan dan sebagainya,” ujarnya.


KEMUDAHAN calet yang selesa menyambut kehadiran tetamu yang ingin merasai pengalaman bermalam sambil ditemani bunyi-bunyian rimba dan kehijauan alam.


Sementara itu, seorang pengunjung, Tan Boon Beng, 43, mengakui berada di PIW memberi keseronokan terutamanya kepada kanak-kanak memandangkan ia berkonsepkan zoo terbuka.

Katanya, kebanyakan haiwan yang terdapat di kawasan berkenaan dibiar bebas mengikut habitat asalnya.

Dia yang kali pertama berkunjung ke situ memberitahu cukup teruja dengan aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung.

“Lazimnya, ramai antara kita yang gemar membawa keluarga bercuti ke pusat peranginan yang pastinya memerlukan perbelanjaan besar.

“Namun di sini, kita masih boleh merasai suasana percutian yang santai dan tidak membosankan.

“Bagi kaki pancing, mereka boleh memancing sepuas-puasnya di kolam yang disediakan, mereka yang gemar aktiviti riadah pula boleh mencuba aktiviti kayak, kembara hutan atau berbasikal,” katanya yang datang dari USJ, Subang Jaya.

RUMAH Melayu Terengganu yang dihasilkan oleh tukang kayu mahir dari Besut, Terengganu tampak gah berdiri sambil mengadap Tasik Sendayan.


Ahli perniagaan itu berkata, kedudukan PIW yang terletak tidak jauh dari ibu negara juga memberi nilai tambah kepadanya.

“Bagi mereka yang datang dari luar Lembah Klang, mereka boleh mencuba pengalaman menginap di sini sambil menikmati kehijauan dan menghirup udara segar di sekelilingnya,” kata Boon Beng.

Bagi Sim Hazel, 14, pula kunjungan ke situ memberi banyak ilmu yang berguna khususnya bagi yang bergelar pelajar sekolah sepertinya.

“Dalam tempoh beberapa jam sahaja, saya sudah mengetahui banyak maklumat mengenai haiwan dan tumbuhan yang terdapat di sini.

“Misalnya, mengenai badak air. Baru saya tahu haiwan itu hanya boleh ditemui di benua Afrika sahaja, malah ia mampu makan antara 40 hingga 50 kilogram makanan sehari, menarik bukan,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd. Zaki Muda, 39, dia membawa anak-anaknya, Putra Ricky, 6 dan Andry Azahri, 13, ke situ untuk melihat aktiviti memberi makan buaya.

“Mereka cukup seronok, maklumlah bukan senang hendak melihat puluhan buaya secara dekat begini. Pengalaman melihatkan aksi ganas buaya menyambar makanan yang diberikan sememangnya cukup mengujakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: