Saturday, September 15, 2012

Kisah peradaban nelayan

ANTARA kelengkapan dan peralatan yang digunakan nelayan pada zaman dahulu dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kota Tinggi.


KEHIDUPAN nelayan yang keluar mencari rezeki dengan menyabung nyawa di sungai dan laut ternyata bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi nelayan, demi kelangsungan hidup.

Malah, arus kemodenan menyebabkan tidak ramai anak muda di ibu kota mengetahui lanjut mengenai pekerjaan sebagai nelayan.

Kini masyarakat di negara ini berpeluang melawat muzium berkaitan kehidupan nelayan yang terletak di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.

Lokasinya terletak dalam perkampungan nelayan pasti mendekatkan lagi hati pengunjung yang dapat menyaksikan sendiri kehidupan nelayan di situ.

Jika kena masanya, anda dapat menyaksikan para nelayan memunggah dan menjual hasil tangkapan, melakukan kerja-kerja pembersihan laut serta membaiki jaring.


Artifak seperti pinggan daripada Dinasti Ming dipamerkan di Galeri Kapal Karam di Muzium Nelayan.


Menghargai nelayan

Muzium Nelayan yang terletak di pesisiran pantai Tanjung Balau menghadap Laut China Selatan itu turut mempamerkan pelbagai artifak kegunaan nelayan pada zaman dahulu.

Muzium berkeluasan 4.03 hektar itu dibangunkan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada tahun 1992 dengan reka bentuk dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkonsepkan tradisional Melayu.

Objektif utama pembinaannya adalah sebagai pusat rujukan ilmu pengetahuan bagi seluruh lapisan masyarakat dan satu tarikan pelancongan.

Selain itu, ia bagi menghargai jasa para nelayan sekali gus menjadi satu-satunya muzium nelayan dan perikanan di negara ini.

Koleksi

Lebih daripada 500 bahan dipamerkan di Muzium Nelayan itu termasuk koleksi unik iaitu Perahu Pengail yang diperbuat daripada akar kayu.

Selain itu, pihak muzium turut memelihara tradisi permainan jong yang dimainkan oleh para nelayan di negeri Johor. Pada setiap tahun, permainan jong atau perahu lumba itu diadakan di kampung-kampung tertentu seperti Kampung Linting yang terletak di Tanjung Surat, Kota Tinggi serta di Kampung Rambah, Kukup, Pontian.


PENOLONG Kurator Muzium Nelayan, Muhammed Iqbal Rosli memberikan penerangan kepada para pengunjung tentang peralatan yang pernah digunakan nelayan pada zaman dahulu.


Galeri

Pada tahun 2005, Kejora memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi menambah tiga galeri iaitu Galeri Geologi, Galeri Keselamatan Laut dan Galeri Kapal Karam Desaru.

Galeri Geologi menempatkan lebih 200 jenis batuan geologi pelbagai nilai dan bentuk. Uniknya galeri itu, menyimpan khazanah batuan geologi yang mempunyai kaitan dengan pesisir Pantai Tanjung Balau.

Galeri Keselamatan Laut pula memaparkan penerangan tentang sistem komunikasi yang digunakan nelayan moden termasuk replika nelayan menangkap ikan menggunakan pukat besar dan alatan komunikasi terkini.

Galeri Kapal Karam Desaru mempamerkan artifak kapal yang pernah karam di Perairan Desaru berusia ratusan tahun iaitu daripada Dinasti Ming. Turut dipamerkan adalah artifak daripada Kapal Nanyang dan Kapal Turiang yang berusia 200 tahun.

Galeri Bermusim Muzium Nelayan pula telah dimulakan sejak tahun 2009. Ia diwujudkan bagi menarik perhatian pengunjung melalui Pameran Khas dengan kerjasama jabatan muzium, agensi-agensi kerajaan dan swasta mahupun pengumpul-pengumpul koleksi.

Pameran Bermusim yang telah dipamerkan setakat ini di Muzium Nelayan termasuklah Pameran Wau dan Layang-Layang Antarabangsa dengan kerjasama Muzium Layang-Layang, Pameran Haiwan Aneh dan Pelik dengan kerjasama dengan Muzium Zoologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Veterinar Kluang, Johor serta Pameran Rangka Paus dan barangan Antik bersama pengumpul barang antik.

Setiap tahun kira-kira 10,000 orang mengunjungi muzium itu sama ada dari dalam dan luar negara terutama dari Singapura. Maklumat lanjut boleh menghubungi talian 07-8328 136 atau melayari laman web www.kejora.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: