Tuesday, September 25, 2012

Malaysian Rock Fest 2012 gabung lima legenda rock


WINGS, Lefthanded, XPDC, May dan Rusty Blade bakal bergabung aura dan tenaga untuk festival muzik Malaysian Rock Fest 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober ini.


BAGI penggemar muzik rock tempatan, buat julung-julung kalinya sebuah festival muzik iaitu Malaysian Rock Fest 2012 bakal berlangsung di Bukit Kiara Equestrian Park, Kuala Lumpur 20 Oktober ini.
Ia bakal menggabungkan nama-nama besar muzik rock tanah air sekitar 70-an dan 80-an serta masih menjadi sebutan sehingga sekarang iaitu Wings, Lefthanded, XPDC, May dan Rusty Blade.
Dianjurkan oleh Red On Black Sdn. Bhd. dan Bombay Worldwide, ia bertujuan untuk mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan rock suatu masa dahulu.
Pengarah Urusan Red On Black, Solih Toha berkata, Malaysian Rock Fest 2012 mahu memberi platform kepada peminat berhibur dengan persembahan band-band popular serta meletakkan muzik rock pada satu tahap tersendiri.
“Jika melihat kepada perkembangan muzik rock sekarang, memang ia sudah tidak meriah seperti dahulu lagi. Namun, peminat muzik rock masih lagi ramai dan kami yakin mereka memang menantikan penganjuran festival sebegini.
“Seandainya mendapat sambutan yang baik daripada peminat, mungkin ia akan dianjurkan secara tahunan. Kami juga sudah merancang untuk menganjurkan sebuah lagi acara yang sama iaitu Asian Rock Fest 2012 yang dijadualkan pada hujung tahun ini,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Solih, penyertaan kelima-lima legenda rock pada festival tersebut pasti ditunggu peminat memandangkan agak jarang sesebuah kumpulan rock beraksi di pentas yang sama.
Jelasnya, peminat yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu popular kelima-lima band berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bombay Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali Bombay berkata, acara yang berlangsung selama enam jam tanpa henti itu menampilkan 13 segmen termasuk kolaborasi persembahan yang membabitkan vokalis, gitaris dan pemain drum kesemua band terbabit.
“Selain memberi peluang kepada penggemar rock untuk terus menikmati muzik kegemaran mereka, festival ini turut menampilkan beberapa kelainan yang pastinya agak berbeza dengan acara muzik rock yang pernah dianjurkan sebelum ini,” jelasnya lagi.
Menurut Bombay, sebagai langkah untuk menarik minat lebih ramai peminat agar datang ke festival berkenaan, mereka turut menjalinkan kerjasama dengan pihak Sepang International Circuit (SIC).
Ujarnya, kerjasama yang terjalin antara pihak penganjur dan SIC dibuat memandangkan tarikh festival berkenaan diadakan serentak dengan perlumbaan motor Grand Prix Malaysia 2012 yang berlangsung di Litar Sepang dari 19 hingga 21 Oktober ini.
“Dengan kerjasama ini, ia dijangkamampu memberi impak yang lebih besar kerana terdapat segelintir peminat perlumbaan motor yang juga meminati muzik rock dan berharap mereka turut sama memeriahkan festival ini nanti,” terangnya.
Tiket untuk menyaksikan Malaysian Rock Fest 2012 sudah mula dijual pada 21 September lalu dengan harga RM88.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket di semua cawangan Rock Corner dan Tbreak Cafe atau menerusi laman web www.ticket2u.biz atau www.ilassotickets.com.
Rasa teruja
Penganjuran sulung Malaysian Rock Fest 2012 ternyata turut menimbulkan rasa teruja kelima-lima band tersebut yang bertekad untuk menampilkan persembahan terbaik buat peminat masing-masing.
Vokalis band Rusty Blade, Yantzen yang ditemui pada majlis sidang akhbar berkenaan memberitahu, festival berkenaan memberi peluang kepada semua ahli kumpulan kembali tampil bersama-sama mengadakan persembahan di sebuah acara yang besar setelah kali terakhir melakukannya kira-kira 20 tahun lalu.
“Selama ini Rusty Blade memang tidak pernah berpecah, cuma sekarang semua ahli kumpulan sudah mempunyai komitmen masing-masing dan saya pula lebih banyak bergerak secara solo.
“Jadi, peluang yang diperoleh ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk kami menghiburkan peminat yang masih lagi menyokong kami sehingga kini. Malah, sekarang ini saya sudah mula membuat persediaan awal seperti bersenam agar dapat mengekalkan stamina,” ujarnya.
Mus selaku vokalis dan mewakili May pula menyifatkan festival tersebut merupakan satu gabungan yang cukup hebat dan pastinya ia sangat dinanti-nantikan peminat muzik rock tanah air.
“Sudah tentu kami akan memberikan sepenuh komitmen supaya acara ini dapat berjalan dengan lancar. Paling penting semua peminat yang datang akan terhibur dengan persembahan semua band yang terlibat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: