Subhas Damodaran (dua, kanan) dan sebilangan 'orang kuat' di sebalik penubuhan MediCare4U.
Ujian Ekokardiogram, ujian ultrasound terhadap jantung.
Sakit dada yang mencucuk tajam, petanda awal serangan jantung.
Sejak didiagnosis mempunyai penyakit itu pada 1990, hatinya menjadi semakin tidak menentu memikirkan nasib hidupnya kelak.
Sehingga pada satu tahap, beliau terpaksa menelan hampir 15 biji ubat setiap hari bagi mengurangkan kesan penyakitnya.
Namun, ajakan seorang rakannya, Abdul Rahman Abdullah ke India pada Februari 2011, memberi satu harapan baru kepadanya dalam meniti kehidupan.
“Di India, saya mendapatkan rawatan sakit jantung di Hospital Narayana Hrudayalaya dan dikendalikan oleh pakar jantung, Dr Devi Prasad Shetty.
“Terdapat ramai pakar jantung di India. Selain itu, perkhidmatan yang ditawarkan di India juga sangat berpatutan,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.
Menurutnya, selepas tiga hari menjalani pembedahan pintasan jantung, beliau sudah boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa dan ini membuatkannya berasa sangat gembira.
“Ibarat orang lama yang ‘berenjin’ baru,” selorohnya.
MediCare4U
Berpengalaman sebagai pesakit jantung membuatkan Subhas Damodaran mengambil inisiatif untuk menubuhkan MediCare4U (M) Sdn Bhd (MediCare4U) iaitu sebuah pusat sehenti bagi menjalankan pemeriksaan awal jantung.
“MediCare4U adalah klinik diagnostik dan saringan khas bagi pemeriksaan jantung khusus untuk mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kardiovaskular.
“Kami juga menyediakan pemeriksaan dan diagnosis penyakit kardiovaskular sebagai membantu dalam rawatan kardiovaskular pada harga yang berpatutan kepada masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif memberitahu, MediCare4U telah ditubuhkan pada Mei lalu dan dengan mendapatkan khidmat di situ ia membantu pesakit mengenai keadaan sebenar jantung mereka.
Katanya, setiap pesakit akan menjalani program di MediCare4U. Biasanya pesakit akan diberi ujian bagi mengenal pasti tahap kemampuan kerana keupayaan setiap individu itu berbeza.
“Dari ujian tersebut, kami akan menentukan jenis latihan yang mana boleh mereka lakukan tanpa menjejaskan kesihatan,” katanya.
Selain itu, katanya, Medicare 4U juga bertindak sebagai fasilitator perubatan bagi Apollo Hospitals Group India.
“Risiko penyakit kardiovaskular boleh dinilai melalui satu siri ujian bukan invasif dan tidak menyakitkan. Memang diakui, untuk melakukan ujian ini, kosnya agak mahal.
“MediCare4U bertujuan membuat pemeriksaan kardiovaskular dan diagnosis berpatutan supaya semua orang mampu melakukan penjagaan kesihatan jantung.
“Kami percaya bahawa penjagaan kesihatan adalah hak semua orang dan bukan satu keistimewaan yang dicapai hanya kepada sesetengah sektor penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya tahu bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
“Dengan menjalani program yang kami tawarkan, mereka yang berisiko mungkin boleh mengelak daripada serangan jantung,” katanya.
Penyakit jantung
Sementara itu, Doktor Residen di MediCare4U, Dr Suresh G Nadarajan berkata, penyakit jantung boleh dikatakan antara pembunuh utama di dunia.
Menurutnya, Malaysia juga tidak ketinggalan apabila mencatatkan bilangan pesakit yang meningkat setiap tahun berikutan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.
“Beribu orang menjalani pembedahan jantung setiap tahun. Ia ibarat pembunuh senyap, penyakit jantung dan kardiak boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira tua atau muda,” katanya.
Katanya, seseorang itu dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.
“Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati dan gagal berfungsi," ujarnya.
Ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lama-kelamaan menyempit atau menyekat pengaliran darah ke jantung.
Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula.
“Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan mencucuk di bahagian dada, terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada,” katanya.
Tambahnya lagi, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
“Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.
“Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita ‘imun’ atau lali kepada penyakit ini,” katanya.
Jelasnya, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.
Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.
“MediCare4U telah melancarkan pakej saringan berpatutan bagi menilai risiko anda untuk serangan jantung dan strok melalui sinar-X, Elektrokardiogram (ECG), Ekokardiogram (Echo) dan Stress treadmill Test (TST),” katanya.
Dalam pada itu, sempena Hari Jantung Sedunia yang bakal disambut pada 29 September setiap tahun, MediCare4U akan mengadakan satu karnival iaitu World Heart Day: Health Camp pada 29 September ini di Subang Jaya dari jam 8 pagi hingga 2 petang.
Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubungi Helmy Kasim melalui e-mel di info@medicare4u.org atau laman sosial Facebook di www.facebook.com/Medicare4U atau laman web di www.medicare4u.org.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: