TOMOK menganggap peluang yang diraihnya berlakon di samping Lisa dalam filem Istanbul Aku Datang merupakan suatu langkah kanan.
|
FILEM Istanbul Aku Datang keluaran bersama Grand Billiance Sdn. Bhd. dan Red Film menyaksikan gandingan buat julung-julung kalinya Tomok dan Lisa Surihani.
Berlakon sebagai pasangan kekasih yang sama-sama menuntut di universiti Istanbul, selain bercerita mengenai filem lakonan mereka itu, Lisa dan Tomok masing-masing turut berkongsi kisah perancangan masa depan mereka.
Lisa, MIG dan KRU
Sudah hampir tujuh bulan mendirikan rumah tangga bersama Yusry Abdul Halim, Lisa, 28, dilihat begitu berseri-seri dan gembira dengan perkahwinannya bersama anggota kumpulan KRU itu.
Bukti jelas apabila tubuh Lisa kini kelihatan sedikit berisi dan senyuman sentiasa terukir tatkala ditanya mengenai perihal kehidupan terkininya sejak bergelar isteri Yusry.
Baru menetap di rumah sendiri sebelum menyambut Aidilfitri yang lalu, Lisa dan Yusry kini begitu sibuk menghias sendiri rumah banglo mereka yang terletak indah di Country Heights Kajang itu.
Usai urusan rumah, dedah Lisa, dia dan Yusry sudah merancang untuk bercuti di London, United Kingdom (UK) dan Wales.
Bukan percutian biasa tetapi ujar Lisa, percutian mereka kali ini lebih kepada mengimbau kenangan masing-masing selain berkongsi momen kehidupan silam mereka.
"Kami memang sibuk dengan kerja masing-masing. Lagipun, saya dan Yusry memang jenis yang kuat bekerja. Namun, kami ada merancang untuk mengambil cuti panjang pada bulan Disember ini.
"Kami bercadang untuk pergi ke tempat belajar dan membesar masing-masing. Saya mahu tunjuk tempat belajar iaitu di Universiti Aberystwyth, Wales. Begitu juga Yusry, dia ingin menunjukkan tempat dia membesar iaitu di Walthamstow, England," ujar Lisa penuh teruja.
Malah katanya lagi, dia mahu berkongsi setiap momennya ketika belajar di Wales bersama Yusry.
"Tempat belajar saya dekat dengan pantai. Jika ada masa terluang saya kerap menghabiskan masa berjalan di persisiran pantai itu. Saya mahu mengimbau kenangan bersama Yusry dan mahu dia tahu pengalaman sepanjang saya belajar di sana," jelasnya lagi.
Tambah Lisa, mereka juga tidak akan melepaskan peluang ke Manchester memandangkan kedua-duanya begitu meminati kelab bola sepak Inggeris, Manchester United.
Bercerita mengenai kerjaya lakonannya pula, Lisa akui kini lebih selesa bergerak sendiri setelah lima tahun berteduh di bawah pengurusan syarikat Metrowealth International Group (MIG).
Ditebak soalan sama ada dia meninggalkan MIG kerana akan berada di bawah pengurusan KRU, jelas Lisa, sebelum mengenali Yusry lagi dia sudah berhasrat untuk belajar dan berdikari sendiri.
"Selama ini saya serah sahaja urusan lakonan kepada MIG. Memang saya dijaga dengan baik dan saya amat menghargai jasa dan bimbingan David Teo serta isterinya, Jane. Setelah lima tahun bersama MIG, saya kira sudah tiba masa saya bergerak sendiri.
"Bukan sebab saya kini isteri Yusry, tetapi selepas berbincang dengan ibu dan suami, adalah lebih baik saya tidak bersama MIG," jelasnya yang kali terakhir muncul dalam filem terbitan MIG berjudul Papa I Love You.
Namun begitu, tegas Lisa, dia juga tidak akan menyertai KRU Studios dan akan menguruskan kerjaya lakonannya sendiri kerana ingin lebih memahami dunia lakonan.
Dia juga mengakui berpisah secara baik dengan David tanpa sebarang sengketa. Malah, ujar Lisa juga, dia cukup berat hati meninggalkan MIG.
"David sangat terbuka apabila saya memberitahu ingin bergerak sendiri. Saya juga tidak membelakangkan MIG dan David merupakan salah seorang yang terawal tahu mengenai perkahwinan saya dan Yusry," akuinya.
Beralih cerita tentang wataknya dalam filem Istanbul Aku Datang, ujar Lisa, dia membawakan watak Dian iaitu seorang gadis yang sanggup ke Istanbul, Turki semata-mata ingin membuat kekasihnya melamarnya.
"Dian ke Istanbul dengan satu satu misi iaitu memikirkan cara untuk menjadi tunang kepada kekasihnya, Azad (Tomok). Dia tahu jika menunggu Azad habis belajar jurusan perubatan di sana yang mengambil masa selama enam tahun, ia terlalu lama.
"Namun, perancangan yang dibina tidak berjalan dengan lancar apabila Azad menolak permintaan Dian untuk tinggal bersamanya di sana. Dian akhirnya menyewa di sebuah pangsapuri dan tidak menyangka seorang lelaki iaitu Harris (Beto Khusyairy) juga tinggal di pangsapuri yang sama. Daripada situ, mula timbul konflik di antara Dian dan Harris yang ingin membuktikan mereka pemilik pangsapuri terbabit," jelas Lisa.
Jadi, bagaimanakah kesudahan perang dingin antara Dian dan Harris? Atau mungkinkah kehadiran Harris akan menjadi penghalang cinta antara Dian dan Azad? Jawapannya tersedia dalam filem Istanbul Aku Datang yang mula ditayangkan di pawagam 8 November ini.
Tomok dan Arrian Shah Akid
Tidak kecewa dengan kutipan filem pertama lakonannya iaitu Mantera yang gagal meraih sambutan memberangsangkan daripada penonton, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 28, berharap agar kutipan filem kedua lakonannya, Istanbul Aku Datang akan sukses.
Menganggap belum lagi rezekinya untuk bersinar dalam dunia lakonan, luah Tomok, dia sudah lali dengan kegagalan.
"Ketika saya berada dalam bidang nyanyian juga, sudah beberapa kali saya gagal untuk menyinar namun tidak bermakna gagal sekali akan gagal untuk seterusnya. Saya tidak akan berputus asa dalam bidang lakonan seperti mana saya tidak pernah berputus asa dalam bidang nyanyian," ujarnya penuh positif.
Berkongsi rasa pertama kali bergandingan dengan Lisa, jelas Tomok, aktres itu merupakan pelakon yang tidak lokek dengan ilmu.
"Lisa seorang pelakon yang bagus dan peluang berlakon di sampingnya adalah langkah kanan," jelasnya.
Ujarnya, memang pada mulanya dia berasa kekok untuk berlakon sebagai pasangan bercinta dengan Lisa kerana dalam filem Mantera lakonannya sebelum ini lebih kepada babak aksi.
Tomok juga mengakui teruja kerana buat pertama kalinya dia menjejakkan kaki ke Istanbul. Berada selama dua minggu di Istanbul untuk penggambaran, menurut Tomok, dia juga tidak melepaskan peluang melihat seni bina Istanbul yang begitu menakjubkan.
Menggunakan single baharunya iaitu Aku Datang sebagai lagu runut bunyi Istanbul Aku Datang, Tomok juga memberitahu, sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan album solo kedua selepas album sulung yang berjudul Tomok dua tahun lalu.
"Saya dalam perancangan untuk mengeluarkan album baharu yang dijangka keluar pada pertengahan tahun depan. Mungkin ada tujuh hingga 10 buah lagu di dalam album itu nanti," kongsinya.
Malah, akuinya, dia juga akan menulis dan mencipta sebuah lagu untuk anaknya, Arrian Shah Akid yang kini hampir berusia empat bulan.
Jika tiada aral melintang lagu tersebut dapat didengar oleh peminat di dalam album baharunya nanti.
"Setakat ini baru satu lagu sahaja dihasilkan berjudul Aku Datang yang merupakan single pertama. Untuk lagu-lagu yang lain pula ia masih dalam proses pemilihan dan saya juga ada mencipta lagu buat anak saya, Arrian," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: