Sunday, September 9, 2012

Kembar dua negara


PASANGAN bayi kembar ini dilahirkan di dua negara yang berbeza.


MELAHIRKAN bayi kembar merupakan perkara yang indah buat kebanyakan ibu. Begitu juga bagi seorang wanita muda, Donna Keenan, 28, yang menetap di rumah keluarga suaminya di Northumberland, sebuah bandar di England yang bersempadan dengan Scotland.

Saat menjelang kelahiran anak kembarnya cukup dinantikan. Tetapi sebaik sahaja masa itu tiba, pelbagai perkara unik berlaku.

Dia tidak menyangka melahirkan anak kembar lelakinya iaitu Dylan di rumah keluarga suaminya di England. Manakala kembar perempuannya iaitu Hannah di sebuah hospital di Scotland.

Menurut Donna, peristiwa itu terjadi kerana dia mengalami kesukaran untuk bersalin disebabkan melahirkan anak kembar tidak cukup bulan.

"Secara tiba-tiba semasa menonton televisyen saya mengalami kesukaran untuk bersalin.

"Saya yakin tidak sempat ke hospital menyebabkan keluarga mertua memanggil pihak paramedik. Saya melahirkan Dylan di rumah," katanya.

Pening

Kemudian, pihak paramedik mengatakan dia sempat untuk membawa Donna ke hospital terdekat yang terletak di Scotland untuk melahirkan seorang lagi bayi.


DONNA beranggapan kelahiran bayinya sebagai menakjubkan.


Keluarga suaminya bersetuju dan dia dihantar dengan van ambulans ke Borders General Hospital di Melrose, Scotland.

Perjalanan itu mengambil masa kurang sejam dan jaraknya hanya 20 kilometer.

"Mereka kerap meminta saya agar bertenang dan tidak cuba meneran untuk melahirkan Hannah. Walaupun perjalanan tidak begitu jauh mungkin kerana kesakitan ia dirasakan terlalu lama," katanya.

Lucunya, dia melahirkan Hannah di lantai bilik bersalin. Suaminya, Joe Fox, 24, menjaga Dylan dengan sabar semasa Donna berada di hospital.

Joe, 24, memberitahu, dia agak pening dengan kejadian itu.

"Saya sedang mencari pusat jagaan kanak-kanak melalui internet untuk Dylan di England dan Scotland untuk Hannah.

"Ini merupakan satu pengalaman yang menarik dan berbeza. Mereka akan mengalami proses pembesaran yang berbeza selain mendapat keistimewaan di negara kelahiran masing-masing," katanya.


JARANG situasi anak kembar dilahirkan di dua negara berbeza seperti dialami pasangan Donna dan Joe.


Sebelum ini, mereka telah mempunyai seorang anak bernama Jessica yang berusia dua tahun.

Joe bekerja di sebuah taman permainan manakala Donna sebagai pelayan restoran. Sehingga hujung minggu ini, kedua-dua bayi itu bersama ibu mereka masih berada di Scotland.

Sekiranya kedua-duanya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah mereka akan dibenarkan pulang ke Northumberland tidak lama lagi.

Joe pula berpendapat kedua-dua anaknya masih lagi berbangsa Inggeris tulen.

"Sejujurnya saya tidak kisah asalkan mereka selamat. Itu sudah cukup selain membesarkan mereka sebaiknya.

"Tarikh 1 Julai pasti akan sentiasa tersemat dalam fikiran saya kerana peristiwa unik ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: