INDONESIA begitu sinonim dengan burung garuda. Biarpun haiwan gergasi yang boleh terbang itu tidak pernah muncul pada zaman ini, ramai rakyat negara itu percaya tentang kewujudannya.
Garuda sudah lama menjadi simbol negara yang dihuni oleh 237 juta penduduk itu. Lambang dan nama garuda banyak dipakai sebagai cap dagang oleh syarikat mahupun organisasi di sana.
Syarikat penerbangan, Garuda Airways, pusat penginapan popular di Jakarta, Hotel Garuda, penerbitan Majalah Garuda dan logo pusat pengajian tinggi, Universiti Airlangga, Surabaya turut menggunakan simbol garuda.
Selain lambang garuda pada jata negara itu, pasukan bola sepak kebangsaannya juga digelar Tim Garuda sebagai menggambarkan kekuatannya.
Dewa
Walaupun sebilangan masyarakat menganggapnya haiwan mitos, penganut agama Hindu di Indonesia pula mengangkatnya setaraf dewa.
Garuda yang merupakan kenderaan bagi Dewa Wisnu dikatakan memiliki fizikal yang begitu besar sehingga boleh menghalang cahaya matahari, mempunyai sayap dan paruh persis burung helang serta bentuk tubuh seperti manusia.
Sebagai usaha mengangkat ikon tersebut, Indonesia bakal memiliki sebuah patung garuda terbesar yang dinamakan Garuda Wisnu Kencana (GWK). Ia dibina di Bukit Ungasan, Jimbaran, Bali.
Patung itu merupakan ukiran figura Dewa Wisnu yang sedang menunggang burung garuda. Menurut kepercayaan masyarakat Hindu, Dewa Wisnu ialah dewa pelindung dan pemelihara.
Kini sebahagian anggota badan patung tersebut sedang dipamerkan di Taman Budaya Garuda Wisnu Kencana yang menjadi lokasi penempatan figura gergasi tersebut iaitu pada ketinggian 263 meter daripada permukaan laut.
Antara yang terdapat di situ termasuklah sepasang tangan, sebahagian badan dan kepala Dewa Wisnu serta kepala burung garuda. Anggota-anggota tersebut diletakkan di beberapa lokasi di sekitar taman seluas 2.4 kilometer persegi yang dikelilingi landskap bukit batu kapur itu.
|
|
Apabila semua anggota badan disambung kelak, GWK akan menjadi patung tertinggi di dunia dengan mengalahkan patung Statue of Liberty di New York, Amerika Syarikat yang dirasmikan pada tahun 1924. Statue of Liberty mempunyai ketinggian 93 meter yang terdiri daripada patung dan tapak bangunan.
Tertinggi
“Saya difahamkan patung itu akan mencapai ketinggian sehingga 140 meter dengan berat keseluruhan 3.6 juta kilogram.
“Apabila pelancong tiba di Bandara (Lapangan Terbang) Ngurah Rai Denpasar (Bali), mereka dapat melihat mercu tanda itu dari jarak sejauh lebih 20 kilometer.
“Sehingga kini projek ini masih lagi dalam pembinaan meskipun ia telah dimulakan sejak tahun 2005. Pada asalnya ia dijangka siap pada 2008,” terang pemandu pelancong, Komang Sudina, ketika membawa Jurnal ke taman budaya tersebut.
Menurut Komang, 40, patung GWK akan dapat dilihat dari pusat-pusat peranginan Bali seperti Nusa Dua, Pantai Kuta dan Tanah Lot.
Arca mega itu diilhamkan oleh seorang pencipta patung yang juga anak kelahiran Bali, Nyoman Nuarta. Dia mencetuskan idea itu pada tahun 1996 bagi membolehkan pulau yang dikenali sebagai Pulau Dewata itu memiliki sebuah mercu tanda yang hebat.
Namun ramai yang tidak bersetuju dengan pembinaannya kerana di Bali, kedudukan tempat ibadat Hindu tidak boleh ditandingi ketinggiannya oleh bangunan lain.
Menurut perancangan Nyoman, monumen itu akan berdiri di atas sebuah tapak yang merupakan bangunan 14 tingkat. Bangunan itu turut menempatkan muzium, galeri, restoran dan lot kedai.
Menggunakan teknologi terkini dalam merealisasikan rekaan tersebut, Nyoman memanfaatkan kemahirannya sebagai seorang arkitek.
“Saya menerapkan idea yang sama seperti pembinaan patung Monumen Jalesveva Jayamahe setinggi 60 meter di Surabaya untuk GWK.
“Teknik pembesaran berdasarkan skala terhadap bentuk yang tidak beraturan digunakan untuk membina GWK dan telah dipatenkan. Perisian komputer CAD (reka bentuk bantuan komputer) sememangnya membantu mempercepatkan proses melakar.
“Dengan teknologi ini kita boleh membuat patung sebesar mana pun dan ukurannya tepat,” kata Nyoman yang membiayai sebanyak 81 peratus daripada pembinaan patung tersebut. Manakala 19 peratus disumbangkan oleh kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Pelancongan Bali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: