Sunday, September 9, 2012

Kekalkan kestabilan hidupan marin



SALAH satu agenda lawatan media ke Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ialah mendengar taklimat ringkas mengenai pusat penyelidikan yang dijadikan makmal Kajian Hidupan Ekologi Marin (MERC) milik Gayana Eco Resort. Gayana Eco Resort merupakan sebuah pusat peranginan berstatus mewah di Negeri Bawah Bayu.

Pada mulanya, kumpulan media yang diwakili 10 wartawan dari pelbagai agensi termasuk dari Hong Kong, mengandaikan pasti taklimat tersebut akan diselubungi kebosanan kerana ia sudah tentu tidak lebih daripada taklimat-taklimat biasa.

Sebaliknya, lain yang berlaku. Kesemua ahli kumpulan media tekun mendengar penerangan yang disampaikan oleh Pengarah Projek MERC, Alvin Wong.

“Inilah yang akan berlaku jika lautan yang dianugerahkan kepada kita dengan pelbagai hidupan sama ada yang diketahui atau masih menjadi rahsia alam lenyap dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

“Manusia pula ketika itu terpinga-pinga apa sebenarnya yang terjadi, walhal merekalah penyumbang terbesar menyebabkan sistem ekologi yang sebelum ini mengimbangi hidupan marin sama ada yang bergerak atau duduk diam di dasar laut, muflis,” ujar Alvin sekali gus menyuntik kesedaran di hati pendengar.

Sambil jarinya pantas menekan punat untuk menukar gambar di layar, mata kami tertumpu kepada beberapa imej yang memaparkan kisah pencemaran laut dalam di samping mendengar taklimat yang diselang-seli dalam dialek Sabah.

Ternyata ia meninggalkan kesan di hati kerana gambar-gambar itu sudah cukup membayangkan bahawa pencemaran yang berterusan akan menyebabkan hidupan laut tidak terdaya untuk mengawal keseimbangan.

Berjiwa besar


KULIT kima gergasi terbesar turut dipamerkan di MERC untuk menarik perhatian pengunjung.


Harus diingat sebahagian besar permukaan bumi ini dipenuhi air. Kita tidak dapat menjangka apa yang bakal terjadi jika laut tersebut tidak lagi mendapat keseimbangan sewajarnya.

Kata Alvin, sedar betapa pentingnya perkara itu, MERC muncul sebagai satu entiti kecil yang berjiwa besar iaitu memulihara dan melindungi aset utama yang menyebabkan ekosistem laut menjadi seimbang melalui terumbu karang dan kima gergasi.

“Selamatkan gergasi!,” laungnya pada akhir taklimat tersebut yang membuatkan hadirin tertawa.

Menurut lelaki berusia 46 tahun itu, dua jenis hidupan tersebut sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing tetapi mudah pula untuk dimusnahkan sama ada oleh tangan manusia atau diancam hidupan marin.

Sepanjang taklimat, Alvin beriya-iya memberikan persembahan terbaik kerana katanya, segala yang diperkatakan itu akan diterjemahkan di atas kertas oleh kami yang dijemput khas oleh majikannya dalam program yang julung-julung kali diadakan.

Jelasnya, memancing merupakan aktiviti yang dilarang di kawasan pulau kerana ia akan mencacatkan keseimbangan alam semula jadi laut.

“Selain itu, ancaman yang biasa dihadapi oleh terumbu karang dan kima gergasi adalah daripada nelayan yang menggunakan bom dan jaring yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan, kelunturan warna akibat pencemaran air dan pemanasan global.

“Pembuangan sampah ke dalam laut, terumbu karang dipijak oleh penyelam dan dirosakkan sauh juga menjadi ancaman kepada hidupan marin,” ungkapnya lagi.

Tambah beliau, pihak pengurusan mengenakan syarat ketat ke atas pekerja yang didapati sengaja mencemarkan laut atau memancing di kawasan pulau. Mereka boleh dipecat serta-merta dan tidak akan diambil bekerja semula kerana dianggap tidak menghargai alam sekitar.

Alvin memberitahu, pihaknya mengambil masa selama tiga tahun untuk menjaga anak kima gergasi sebelum boleh dilepaskan ke dalam laut untuk berdikari.

Daripada 100 telur kima gergasi, hanya dua atau tiga peratus sahaja yang berpeluang untuk hidup kerana terancam dengan hidupan lain.

“Kita juga telah membiak dan menjaga lebih 500 spesies kima gergasi yang telah dilepaskan ke laut pada 30 Mac lalu selepas kita yakin mereka mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa bimbingan kami,” katanya. Menurut beliau, kima mampu hidup hingga 100 tahun mempunyai berat lebih 200 kilogram dan berukuran 1.2 meter panjang jika tidak diancam musuh semula jadi dan baharu.

Operasi pembiakan

Ujar Alvin, mereka banyak melakukan teknik cuba dan gagal dalam operasi pembiakan terumbu karang dan kima gergasi.

“Kami banyak kali gagal ketika bereksperimen tetapi ia mengajar kami yang akhirnya kami beroleh kejayaan sedikit demi sedikit,” tuturnya.

Menurut Alvin, pada waktu siang kima gergasi membuka cengkerang dan mengunjurkan tisu mantel supaya alga yang berada di dalamnya menerima cahaya matahari yang diperlukan bagi proses fotosintesis atau menghasilkan makanan sendiri. Begitulah yang dilakukan oleh cengkerang itu agar ia dapat terus hidup.

Perkara itu diakui oleh pemilik Gayana Eco Resort, Gillian Tan, 28. Kata Gillian, pihaknya telah bertungkus-lumus untuk memelihara dan membuat kajian mengenai kedua-dua spesies yang jarang diambil peduli kebanyakan orang kerana ketidakfahaman mereka mengenai kepentingan hidupan tersebut.

“Kima gergasi diibaratkan seperti hati lautan yang membersihkan air sama dengan fungsi pokok yang menyegarkan udara.

“Bagaimanapun, pergerakannya yang perlahan dan tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya daripada ancaman perosak, kima gergasi kini menghampiri saat kepupusan,” katanya.

Tambahnya, atas dasar itulah dia dan keluarganya sanggup berhabis jutaan ringgit dengan mengupah pakar dan pekerja yang berkebolehan dalam memulihara hidupan marin di MERC. Mereka bagaimanapun tidak menerima sebarang dana daripada pihak luar untuk usaha murni itu.


PETA menunjukkan kedudukan Gayana Eco Resort di Pulau Gaya, Sabah.


Menurut Gillian, apa yang menyedihkan sikap manusia yang gemar makan makanan eksotik dan memburu kima gergasi untuk mengambil isinya yang kenyal sebagai hidangan manakala cengkerangnya pula dijadikan hiasan.

“Bagi membantah amalan itu, saya mencadangkan kepada sesiapa sahaja supaya tidak membeli, menjual atau memakannya kerana ia begitu penting untuk menstabilkan kitaran hidup hidupan marin,” tegasnya penuh makna.

Di MERC, pihaknya bukan sahaja membuat penyelidikan dan membiakkan terumbu karang tetapi turut memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolah dan pelancong untuk mengetahui mengenai kepentingan menjaga keseimbangan hidupan marin.

Pemilik dua ijazah seni dan perdagangan dari Universiti New South Wales di Sydney itu memberitahu, pihaknya tidak sekali-kali membenarkan sebarang usaha atau perlakuan tidak bertanggungjawab individu yang ingin melihat laut di Sabah muflis daripada khazanah alam untuk menstabilkan keharmoniannya.

Gillian yang mewarisi syarikat itu secara turun temurun daripada keluarganya turut mengusahakan calet mewah di Pulau Gaya bagi membolehkan pelancong tempatan dan luar negara bercuti sambil menikmati keindahan pantai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: