|
JENITA ENGI merupakan seorang wanita berketurunan Orang Asli dan berasal dari Kampung Parit Gong, Jelebu, Negeri Sembilan. Sejak kecil, dia berasa amat beruntung kerana tempat tinggalnya sudah memiliki kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan mudah diakses.
Namun, segala-gala berubah apabila dia menyertai Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC).
Menjawat jawatan sebagai penolong pusat itu, dia baru menyedari bahawa masih banyak lagi penempatan Orang Asli yang tidak mendapat bekalan asas terutamanya yang tinggal jauh di pedalaman.
“Mereka terpaksa membeli minyak tanah berharga antara RM6 hingga RM8 setiap hari semata-mata mahu mendapatkan cahaya pada waktu malam.
“Ia menyebabkan kos hidup keseluruhan lebih mahal berbanding kehidupan di bandar,” kata wanita berusia 30 tahun itu ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor.
Keadaan menjadi lebih parah apabila mereka yang bergantung harap dengan hasil hutan. Ada yang terpaksa mengutip kayu api pada siang hari ketika luar musim buah.
Pengalaman yang sama turut dilalui oleh sukarelawan Gerai OA, Tan Kar Iye, 24, apabila dia memasuki kampung-kampung Orang Asli untuk mendapatkan barang-barang kraftangan.
Gerai OA merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang menjual barang-barang hasil kerja tangan dan semua keuntungan dikembalikan semula kepada pembuat.
Kar Iye dan pasukannya akan masuk ke pedalaman sama ada tiga bulan atau setahun sekali bergantung pada jarak kedalaman sesebuah perkampungan.
Daripada pengamatannya, masih banyak lagi penempatan Orang Asli yang tidak dilengkapi kemudahan asas. Isu keciciran dalam pendidikan yang kerap kedengaran juga turut disumbangkan oleh faktor tersebut.
Inisiatif Power Root
Kata Jenita, ramai kanak-kanak yang apabila pulang ke rumah terpaksa menolong ibu bapa bekerja pada siang hari, manakala waktu malam mereka tidak boleh buat apa-apa selain tidur.
“Lama-kelamaan, minat belajar dalam kalangan anak-anak Orang Asli semakin berkurangan dan hilang,” katanya yang kini sedang menuntut di Kolej SEGi, Subang Jaya, Selangor dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Sehubungan itu, atas keprihatinan terhadap masalah tersebut, Kumpulan Power Root menyumbang sebanyak 120 buah lampu meja bertenaga solar kepada lima buah penempatan Orang Asli yang dikenalpasti.
Penempatan yang beruntung itu terletak di Pahang (Kampung Berdut, Krau), Perak (Kampung Jaglog dan Kampung Baretchi, Ulu Woh) dan Kelantan (Pos Tohoi dan Kampung Kuala Koh).
Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif kumpulan itu, See Thuan Po kepada Jenita dan Kar Iye dalam sebuah majlis ringkas di Restoran Ali Cafe Tiga Rasa di Subang Jaya, Selangor.
“Kami berharap dengan sumbangan lampu meja tersebut dapat membantu meningkatkan kualiti hidup mereka kelak,” kata Thuan Po.
Lampu meja bertenaga solar itu amat penting kerana ia tidak memerlukan sebarang kos tambahan sepanjang tempoh penggunaan dan ia mampu bertahan untuk tempoh dua hingga tiga tahun.
Tidak perlu disambung pada bekalan elektrik atau bateri kering, anak-anak Orang Asli hanya perlu menjemur lampu itu pada siang hari untuk kegunaan pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: