|
|
BANYAK mengawasi diri dan sentiasa bersyukur, wajah Aida Khalida jelas mempamerkan amalannya itu. Merendah diri dalam berbicara, pembawa watak ibu Razif (Rosyam Nor) dalam siri drama Trilogi Cinta 2 ini banyak menyebut perkataan syukur dalam bait ayatnya. Sebagai informasi, drama Trilogi Cinta 2 akan ditayangkan bermula 6 September ini di saluran TV1 pukul 10 malam.
"Saya sukakan tudung labuh dan berfesyen mengikut syariah. Dahulu, mula-mula berhijrah agak teruja mencuba pelbagai gaya fesyen tetapi kini mahu kelihatan santai dan bertutup," ujarnya yang tampak tenang dan banyak tersenyum cantik.
Tawaran kerja terus menghujani dirinya, sama seperti dahulu. Ujar Aida yang penting dalam kerjaya adalah sentiasa perlu jujur dan tidak mendambakan balasan dalam setiap perbuatan.
"Setiap tawaran adalah rezeki Allah dan kita harus jujur dengan segala perlaksanaan kita," ujarnya yang bari selesai penggambaran drama Julia, lakonan bersama Nabila Huda untuk slot Akasia.
Diminta memberi komentar tentang penghijrahan dan impak tawaran selepas berhijab, Aida senyum dan menjawab:
"Kita perlu kenal Allah, percayakan dia dan rezeki-Nya. Perlu kenal diri juga, jadi baru faham erti rezeki dan semuanya. Yang penting juga perlu faham dengan niat dan makna berhijrah. Semua ini hidayah Allah dan kena buat betul-betul. Hijrah itu perlu suci."
Tidak menolak bahawa berhadapan dengan ujian serta dugaan hidup selepas bertukar gaya, Aida menambah bahawa semua yang dilaluinya adalah kuasa Yang Maha Mencipta. Yakin diberikan ujian kerana disayangi Allah, ulas Aida lagi itu semua ialah ujian kepada ketebalan iman seseorang.
"Kalau saya tahu indahnya memakai hijab ini, dari dahulu saya laksanakan. Tetapi ini semua adalah perjalanan hidup saya dan saya belajar tentang kehidupan. Sekarang saya sangat tenang," tambahnya yang mengaku tidak pernah merancang untuk bertudung dan niat itu muncul pada bulan Rejab tahun 2008.
"Saya tidak rindukan Aida yang dahulu. Saya lebih tenang begini. Bagi saya dengan berhijab, saya cantik di mata Allah," ujarnya.
Ditanya tentang ketenangan yang diperolehinya kini, Aida yang terkenal dengan kepelbagaian dan kepandaian berfesyen ini mengaku mendapat titik itu dua tahun lalu.
"Awal-awal saya banyak diuji, melalui banyak perkara namun dua tahun kebelakangan ini, saya tenang," luahnya yang kini banyak mengikuti kelas dan ceramah agama untuk pengisian dirinya.
Menyentuh tentang jodoh setelah sekian lama menyendiri, Aida senyum lagi dan menjawab bahawa dirinya tidak menolak jika ditakdirkan berkahwin lagi. Namun sambungnya, dia mengaku belum membuka jalan ke arah itu.
Sebelum usai perbualan yang menyenangkan dengan wanita yang dikagumi ramai kerana fesyennya ini, Aida diminta memberi pendapat perihal fesyen dan artis sekarang.
"Perlu ingat kepada yang beragama Islam, boleh berfesyen tetapi jangan terlalu mendedahkan aurat. Harus menjurus kepada agama. Jaga akhlak, itu penting," nasihatnya lembut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: