Monday, September 3, 2012

Hi Style konsep K-Pop


Koleksi pakaian dan aksesori Hi Style mengambil inspirasi daripada gelombang fesyen K-Pop.


KEMASUKAN fesyen Korea ke negara ini menjadi satu fenomena yang menjadi kegilaan anak-anak muda masa kini. Permintaan yang tinggi terhadap pakaian dan aksesori seumpamanya membuatkan banyak butik memilih untuk menawarkan kepelbagaian untuk memenuhi kehendak pengguna muda negara ini.

Namun, bagi penduduk Kota Bharu, Kelantan kesukaran untuk mendapatkan pakaian berfesyen menjadikan pilihan agak terhad.

Menyedari hakikat tersebut, rangkaian butik Hi Style yang memilik 17 cawangan seluruh negara membuat pilihan yang tepat dengan membuka satu cawangan butik di pusat beli-belah utama negeri itu.

Bertempat tingkat satu, KB Mall, butik Hi Style bertepatan dengan permintaan anak muda negeri tersebut yang mahu berfesyen mengikut peredaran terkini.

Menurut Eksekutif Pemasarannya, Wendy Lee Ser Huay, kuasa membeli di negeri itu amat tinggi namun, kekurangan butik yang menawarkan rangkaian pakaian seumpamanya menjadikan pengguna memilih untuk ke Kuala Lumpur atau negeri lain untuk memenuhi membeli-belah.

“Kini pengguna tidak perlu lagi keluar dari Kota Bharu untuk mendapatkan pakaian yang mengikut cita rasa terkini pada harga yang berpatutan. Sasaran pemasaran tertumpu kepada remaja berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun.

“Di Kota Bharu tidak banyak butik pakaian yang menawarkan fesyen-fesyen terkini, maka ini adalah peluang kepada golongan muda di Kelantan untuk mendapatkan pakaian yang mereka ingini.


BAJU-T bersama seluar pendek sesuai dipakai sewaktu bersantai bersama teman.


“Produk di butik kami juga dijual pada harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua golongan. Kami menawarkan produk berharga antara RM19 hingga RM119,” katanya ketika ditemui Stailo di butik Hi Style yang terletak di KB Mall.

Butik Hi Style menawarkan rangkaian baju, aksesori dan juga kasut lelaki serta wanita berkonsep Pop Korea berasaskan warna-warna terang. Konsep sedemikian bersesuaian buat mereka yang meminati penampilan berani dan funky.

Setakat ini butik Hi Style beroperasi di semua negeri kecuali di Perlis, Terengganu, Pahang dan Sarawak. Justeru, bagi melebarkan sayap dalam industri fesyen tanah air, Hi Style Apparel Sdn. Bhd., menyasarkan untuk membuka 30 cawangan dalam masa dua tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: