Monday, September 3, 2012

Hebat bersukan, kacak bergaya



SELEPAS kehilangan bapa tercinta pada Mei tahun lalu, penerjun muda Britain, Tom Daley bingkas mengubah diri menjadi lebih matang. Dalam usia 18 tahun, Daley terpaksa memikul dua tanggungjawab utama, menjaga keluarga dan menggalas harapan negara.

Menyifatkan ayahnya yang meninggal dunia akibat kanser otak sebagai sahabat baiknya, pemenang dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di India itu menjadikan segenap memori bersama ayahnya satu inspirasi untuk berjaya.

“Saya senang diajak berbicara soal ayah kerana setiap kali saya mengingatinya, ia mengembalikan kenangan manis. Tidak dinafikan pemergiannya amat mendukacitakan kami sekeluarga. Tanpa kerja keras ayah, saya tidak akan mencapai kejayaan hari ini,” kongsi Daley yang mengukir kejayaan pada Olimpik lalu dengan pingat gangsa bagi acara 10 meter platform.

Berbekalkan wajah comel ibarat ahli boyband fenomena, One Direction, Daley menjadi kegilaan ramai gadis. Paling menawan pada Daley adalah senyumannya yang mempamerkan barisan gigi yang putih dan teratur.


GAYA 'angkuh' Lin Dan dan ketampanan wajahnya dikatakan seiring dengan prestasi persembahannyadi dalam gelanggang.


“Saya tidak merokok dan saya tidak suka minuman beralkohol. Kali pertama saya mencuba champagne adalah pada umur 16 tahun dan saya tidak menggemarinya. Jika ke parti saya hanya memilih jus oren atau kola,” dedah Daley yang dikatakan tidak boleh hidup tanpa iPhone.

Pernah menjuarai kejohanan terjun dunia dan Eropah, atlet harapan United Kingdom (UK) pada Olimpik 2012 lalu itu menjadi rebutan label-label fesyen dan jenama kecantikan ternama untuk dijadikan ‘wajah pelaris.’

Adidas tanpa ragu-ragu menyambar Daley sebagai duta produk penjagaan badan mereka yang baharu. Keremajaan Daley dan aura tenaganya menjadikan beliau contoh sempurna untuk lelaki aktif lain.

Perlu diketahui, seluar renang (Speedo) yang dipakai Daley pada Olimpik lalu direka khas oleh pereka fesyen prolifik, Stella McCartney. Kenyataan McCartney berhubung kesukaran menghasilkan seluar renang Daley kerana ‘ruang’ yang kecil untuk berkarya turut mengundang sedikit kontroversi dan kelucuan.

Tuah Daley tidak terhenti di situ sahaja. Selepas tamatnya Olimpik, jejaka itu bakal muncul di kaca televisyen sebagai pengacara untuk rancangan berbentuk dokumentari dan program realiti.

Sumber dari sebuah syarikat penerbitan di UK, Twofour mengesahkan Daley telah menandatangani persetujuan untuk bekerjasama dalam beberapa projek sekali gus menandakan permulaan kepada karier televisyen Daley.

Bukan orang biasa sahaja yang jatuh hati kepada jejaka muda itu malah penyanyi popular UK, Cheryl Cole secara terang menunjukkan ‘minatnya’ kepada Daley.

Menerusi laman Twitter, Cole memuji aksi Daley dan meminta atlet itu mengajarnya melakukan aksi terjun. Daley yang juga mengagumi Cole membalas tweet tersebut menyatakan persetujuan mengajar dengan syarat Cole menjadi pengikutnya (follower) di Twitter.

Rezeki Lin Dan

Jaguh badminton China, Lin Dan, 28, juga tidak kurang hebat diperkatakan sepanjang Olimpik 2012. Beliau yang dikenali dengan gelaran Super Dan dalam kalangan peminatnya menjadi atlet pertama memenangi pingat emas dua kali berturut-turut dalam acara perseorangan lelaki badminton pada temasya sukan terbesar di dunia itu.


UNIFORM pasukan tuan rumah pada upacara pembukaan dilabelkan sebagai antara pakaian terburuk.


Menewaskan pemain badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei bagi mengekalkan gelaran itu, Lin Dan yang dilihat ‘angkuh’ setiap kali menumpaskan lawannya sebenarnya seorang individu yang merendah diri.

“Saya sendiri tidak menggemari gelaran Super Dan itu kerana masih ramai atlet China yang berada di peringkat lebih tinggi berbanding saya,” jujur pengakuan pemain kidal itu.

Rezeki pemain nombor satu dunia itu juga menyinar dalam dunia rejim penjagaan tubuh dan label pakaian. Baru-baru ini, Lin Dan dilantik sebagai jurucakap produk penjagaan kulit, Gillette. Produk di bawah rangkaian Procter & Gamble (P&G) itu turut menaja Lin Dan dan beberapa atlet pada Olimpik lalu.

Meskipun aktif menjalani latihan dan menyertai pertandingan serata dunia, Lin Dan masih mampu mengekalkan penampilan menariknya sepanjang masa.

Buktinya, setiap kali masuk ke gelanggang, rambutnya ditata kemas dan aksi membuka baju selepas memenangi perlawanan memberi peluang kepada orang ramai menatap abdomen sempurna beliau.


PAKAIAN sukan kontinjen UK untuk Olimpik 2012 direka oleh Stella McCartney dengan kolaborasi Adidas.


“Sebagai ahli sukan, mendapatkan kulit yang sihat tidak sukar. Saya juga banyak menghabiskan masa di dalam rumah namun jika saya keluar ketika cuaca panas, krim pelindung matahari perlu digunakan.

“Musim sejuk juga menuntut saya memakai lebih banyak losen dan pelembap bagi mengelakkan kulit kering. Pelembap yang memberikan kesegaran, mampu membersihkan kulit dan bertindak secara natural menjadi pilihan saya.

“Penampilan bersih dan segak memberikan keyakinan untuk menempuhi hari-hari saya,” ujarnya yang menerima dedikasi daripada jenama pakaian sukan Li Ning yang mengeluarkan rangkaian pakaian kasual di bawah nama beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: