KOLABORASI selama lima tahun bersama wajah rasmi produk Safi Rania Gold, Rozita Che Wan menciptakan keserasian luar biasa antara Qudyn dan pelakon wanita jelita itu. Saat namanya dipetik sendiri Rozita bagi mencipta busana kempen Safi Rania Gold, pereka fesyen berusia 32 tahun itu pantas meneroka konsep yang unggul buat jenama itu.
Paduan warna wajib iaitu ungu dan emas mengilhamkan sepasang dres labuh yang elegan dan amat mempesonakan. Busana pertama yang dihasilkan Qudyn bagi menjayakan promosi Safi Rania Gold itu adalah pada Mei tahun lalu.
“Tahun ini merupakan kali kedua saya bekerjasama dengan Rozita untuk Safi. Konsep yang diketengahkan kini tidak banyak beza dengan yang dahulu namun ia lebih terarah pada ambien santai.
“Material sifon dan les bersama pelapik (lining) satin mencipta busana yang kelihatan mewah dan bertepatan dengan Rozita yang intim dengan kecantikan tanpa dibatasi usia,” jelas Qudyn yang berguru dengan Datuk Radzuan Radziwill selama lapan tahun sebelum bersedia membentuk jenama sendiri.
Jika sebelum ini beliau tidak perlu mengikuti garis panduan untuk pakaian Rozita ke majlis-majlis anugerah atau acara permaidani merah, berdasarkan kehendak klien (Safi), Qudyn perlu mencipta busana yang tidak memaparkan imej seksi dan condong pada ciri-ciri sopan.
Selepas membentangkan lakaran dan konsep yang dihasilkan, proses pengubahsuaian dijalankan dan hanya dalam jangka masa dua minggu, Qudyn berjaya menyudahkan sepasang busana eksklusif untuk Rozita sebagai duta Safi Rania Gold.
Tambah Qudyn, menghasilkan persalinan buat Rozita tidak sukar memandangkan perkenalan antara mereka telah tercipta lama. Selain itu, kehendak aktres itu juga sudah difahami.
“Rozita mempunyai saiz pinggang yang kecil. Lilit pinggang dia ialah 24 sentimeter (cm) dan ia sama seperti patung-patung yang digunakan di kebanyakan kedai. Jadi jika dia tidak dapat hadir untuk sesi ukuran pun tidak mengapa kerana saiz patung itu sama dengan Rozita,” kongsi Qudyn.
Menerapkan potongan kurung moden, mainan perincian yang melata pada bahagian atas busana itu meningkatkan nilai anggun pada Rozita. Flora dan reben ungu yang menghiasi pakaian itu pula memberi impak feminin.
Seperti signatur yang sukar dipisahkan daripada diri Rozita, bahagian bawah dres diperjelaskan menerusi potongan skirt labuh bertingkat. Ia ringkas tanpa sebarang perincian namun pengembangan skirt di hujung yang runcing pada bahagian tengah menambahkan seri si pemakai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: