Sunday, September 9, 2012

Syurga Bumi di Taman Botani


PEKARANGAN Pusat Interpretif Pelawat yang indahkan dengan tumbuhan hiasan dan pondok kayu.


BERSANTAI pada hujung minggu di Taman Botani yang terletak di Presint 1, Putrajaya, pastinya menjanjikan kelainan, terutamanya jika anda seorang yang gemar bermesra dengan alam.

Dengan dataran landai dan berbukit seluas 93 hektar, pengunjung taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini pasti teruja dengan kepelbagaian spesies tanaman yang dihimpun daripada beberapa benua yang ditanam secara tersusun.

"Selain disajikan dengan pemandangan indah landskap, pengunjung juga berpeluang mengenali tumbuh-tumbuhan menarik di dunia dengan lebih dekat.

"Seiring nama dan fungsinya sebagai Taman Botani, taman ini mempunyai kira-kira 700 spesies tumbuh-tumbuhan yang berasal dari 90 buah negara.

Sakura

"Untuk memudahkan pengunjung memahami dengan lebih jelas sifat semula jadinya yang kompleks, bahan penerangan tentang tumbuh-tumbuhan ini turut disediakan di tempat strategik di taman ini," ujar Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya, Mohamad A. Shukor.

Jelasnya lagi, pelbagai aktiviti dan program kekeluargaan boleh dilaksanakan di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Penduduk sekitar biasanya menjadikan kawasan ini sebagai lapangan terbuka untuk mereka beriadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

"Kebanyakannya memilih untuk bersiar-siar, berjoging, menunggang basikal dan berkelah di pesisir tasik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menarik tentang reka bentuk taman ini, menurut Mohamad, pihaknya menggunakan pendekatan dinamik termasuk mengekalkan keadaan topografi asal agar keindahannya dapat disesuaikan dengan Tasik Putrajaya.


KAWASAN redup di Teduhan Ara yang terletak di pesisir tasik menjadikan ia lokasi berkelah paling ideal di sini.


Dalam masa 90 minit berjalan di taman ini, pengunjung berpeluang menghayati warisan semula jadi terdiri daripada tumbuh-tumbuhan asli kawasan utama tropika antaranya yang dibawa khas dari Afrika dan Amerika seperti pokok mickey mouse, jacaranda yang bunganya kelihatan seperti bunga sakura, rajah kayu dan tapak kuda.

"Di sini, pengunjung berpeluang menyaksikan kekayaan flora yang ditata rias dalam landskap indah sama ada dengan berjalan kaki, berbasikal mahupun menaiki trem.

"Menampilkan 13 tarikan utama, bersantai di Taman Botani pastinya tidak mengecewakan pengunjung khususnya mereka yang suka bersantai dalam persekitaran hijau dan golongan pencinta fotografi," kata Mohamad.

Antara mercu tanda taman ini yang harus dikunjungi ialah Titian Kanopi yang dibina sepanjang 175 meter.

Menarik tentang titian yang menghubungkan Pusat Interpretif Pelawat dengan Denai Helikonia ini, ia terletak betul-betul di lembah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan hutan hujan tropika seperti meranti, keruing dan cengal yang diselenggara begitu rapi.


TITIAN Kanopi antara tarikan utama di Taman Botani yang mula dibuka kepada orang ramai pada 31 Ogos 2001.


Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk mendaki Bukit Palma yang terletak bersebelahan dengan Jam Suria.

Di sepanjang pendakian, pastinya mata tidak jemu menyaksikan landskap palma yang tersusun cantik. Dari situ, anda boleh meneruskan perjalanan ke titik paling panas di taman ini iaitu Taman Suria.

Jam Suria

Menyusuri denai orkid menuju ke binaan Jam Suria, pengunjung berpeluang membuat bacaan waktu yang terhasil daripada bayang-bayang yang terbentuk di permukaan plat tembaga di bahagian bawah jam.

Merentasi kawasan redup di Teduhan Ara yang berhadapan dengan Tasik Cabana, ia merupakan kawasan perkelahan paling ideal di taman ini.

Selain dinaungi pokok ara dan pokok kelapa, terdapat juga teduhan hujan yang mengambil reka bentuk dalaman gua batu dibina di sini. Binaan pondok-pondok kecil yang diperbuat daripada pokok nibong turut mengindahkan lagi kawasan perkelahan ini.

Bagi yang ingin menikmati keindahan tasik, anda boleh berjalan menyusuri Titian Tasik yang akan membawa anda hingga ke empangan kecil yang memisahkan Tasik Cabana di Taman Botani dengan tasik di Taman Wetland.

ASTAKA Morocco sering menjadi tumpuan pasangan pengantin baharu merakamkan momen indah mereka.


Jika ada kelapangan, jangan lepaskan peluang untuk menikmati panorama mahatahari terbenam di atas titian kayu ini kerana ia menjanjikan pemandangan senja yang cukup mengasyikkan.

Bagi yang berkunjung ke Taman Botani, kunjungan anda tidak akan sempurna sekiranya tidak singgah sebentar ke Astaka Morocco yang memiliki kehalusan seni bina yang cukup tinggi.

"Astaka Morocco adalah seni bina kontemporari Islam Maghribi pertama yang terdapat di Asia.

"Seni bina yang ditampilkan di sini adalah replika daripada binaan asal di Andalusia dan Sepanyol.

"Konsepnya yang menggabungkan konsep air, kehalusan seni ukiran batu dan keindahan marmar buatan tangan serta landskap pokok tamar memberi gambaran seperti 'Syurga di Bumi'," ujar Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: