MAAHAD Sains al-Quran Al-Amin sentiasa sedia menerima para pelajar tanpa mengira latar belakang mereka.
"Di sekolah ini, ramai pelajarnya adalah daripada kalangan keluarga miskin dan yatim,'' kata Pengetuanya, Muhamad Abdullah ketika memulakan perbualan.
Menurutnya, pada masa ini sekolah tersebut dihuni oleh lebih 200 pelajar sekolah rendah dan lebih 80 pelajar sekolah menengah.
Katanya, selain sekolah rendah dan menengah, sekolah tersebut juga menyediakan asrama untuk pelajar miskin dan tidak berkemampuan.
Daripada keseluruhan pelajar berkenaan, kata beliau, kira-kira 80 orang tinggal di asrama yang disediakan oleh pengurusan sekolah.
Menurut Muhamad, pengajian di sekolah tersebut menggabungkan pendidikan al-Quran, agama dan akademik.
"Bagi anak-anak yatim atau daripada keluarga susah, pihak sekolah juga menaja secara keseluruhan ataupun sebahagian daripada kos pengajian mereka,'' kata Muhamad.
Di samping itu, katanya, memandangkan kalangan pelajarnya pelbagai latar belakang termasuk yatim piatu, keluarga susah dan ada yang menghadapi masalah kesihatan, pihak pengurusan sentiasa menggalakkan sikap saling bantu-membantu.
"Kita wujudkan semangat seperti ini agar setiap pelajar mempunyai cita-cita untuk membantu rakan mereka apabila mereka berjaya satu hari nanti,'' kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: