Tuesday, September 4, 2012

Mengharap sinar bahagia

Siti Nurul Shafiqka Mohd. Suhaimi (kanan) menunjukan ajar tentang pengendalian komputer kepada Nur Mahirah Mohd. Suhaimi (kiri) dan Nur Asiqin Mohd. Shuhaimi di Maahad Sains Al-Quran Al Amin, Bandar Baru Sunway, Selangor, baru-baru ini.

BERADA di Mahaad Sains al-Quran Al-Amin di Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini banyak meninggalkan nostalgia mengenai kehidupan para pelajarnya.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sekolah berkenaan, penulis bagaikan merasa sesuatu kelainan.

Apa tidaknya, setiap pelajar sama ada yang belajar di sekolah rendah mahupun menengah, mereka mudah tersenyum sambil menyapa memberikan salam kepada para pengunjung.

Walaupun wajah para pelajar tersebut sentiasa ceria dengan gelak ketawa, namun terdapat pelbagai rahsia tersimpan dalam kehidupan mereka ini.

Yang pasti, kebanyakan pelajar berkenaan adalah daripada keluarga miskin dan yatim.

Nur Asiqin Mohd. Suhaimi, 13, bersama dua kakaknya, Nur Mahirah, 16, dan Siti Nurul Shafiqka, 18, adalah antara penghuni di sekolah tersebut.

Disebabkan kemiskinan hidup dan selepas kematian ibu bapa mereka, tiga beradik ini yang berasal dari Batu Pahat, Johor, terpaksa meneruskan kehidupan di Mahaad Sains al-Quran Al-Amin.

Jika dulu tiga beradik ini dapat menikmati masakan ibu serta mendapat sepasang pakaian raya menjelang Syawal, namun semua itu hanya tinggal kenangan.

"Semasa ibu dan ayah masih ada, walaupun kehidupan kami serba kekurangan, namun nasi berlaukkan telur goreng masak kicap sehari sekali sudah memadai serta menggembirakan kami.

"Tapi sejak ayah meninggal pada 2008, diikuti ibu pada 2009, kami tidak lagi merasai telur goreng masak kicap.

"Dulu pakaian raya dijahit oleh ibu dan sebelum Syawal setiap kami akan dapat sepasang pakaian. Tapi kini kami hanya pakai pakaian terpakai hasil sumbangan orang ramai,'' kata Nur Mahirah memulakan perbualan.

Siti Nurul Shafiqka yang sejak tadi hanya mendengar cerita adiknya itu pula menyambung, semasa tinggal di Batu Pahat, kehidupan mereka sekeluarga banyak bergantung kepada ihsan saudara-mara.

"Ada saudara-mara yang berikan beras untuk keluarga kami.

"Ketika itu pun ayah dan ibu tidak berapa sihat. Ayah meninggal di rumah sebab sakit kencing manis dan buah pinggang manakala ibu meninggal di hospital akibat sakit jantung,'' katanya.

Menurut Siti Nurul Shafiqka, dia kini mengambil alih tugas menjaga dua adiknya walaupun mereka mempunyai seorang abang yang masih menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara.

"Bila Ramadan dan Syawal tiba, memang tersentuh hati ini melihat keceriaan orang-orang lain yang mempunyai ibu bapa serta pakaian raya.

"Bagi kami, pakaian raya yang dijahit ibu tetap cantik dan disimpan sebagai kenangan hingga ke hari ini,'' katanya.

Menurutnya, di sambutan Syawal ini hanya pesanan terakhir ibu sahaja menjadi kata-kata semangat: "Jaga adik-adik kamu... jangan berpisah.''

Siti Nurul Shafiqka menambah, hatinya juga kian tersentuh apabila Oktober depan dia akan melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang bahasa Arab selama dua tahun.

"Walaupun terpaksa berjauhan selama dua tahun dengan adik-adik tapi semuanya demi masa depan yang lebih baik,'' katanya.

Pakaian pengubat rindu

Bagi Nur Asiqin pula, kehidupan hariannya agak berbeza dengan dua kakaknya disebabkan pelajar ini menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Disebabkan keadaan itu, Nur Asiqin tidak secergas para pelajar lain kerana pergerakannya agak terbatas disebabkan cepat penat.

Pihak Maahad Sains al-Quran Al-Amin dikatakan membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap kali rawatan untuk Nur Asiqin melibatkan ubat-ubatan.

Menurut Nur Asiqin, walaupun dia menghadapi masalah kesihatan, namun kehadiran rakan-rakan sekolah bersama dua kakaknya sedikit sebanyak menceriakan sambutan Ramadan serta Syawal.

"Setiap tahun bila tiba Ramadan dan Syawal memang sedih sebab ketika itulah wajah ibu dan ayah sering terbayang. Teringat juga masakan ibu iaitu telur goreng masak kicap dan juga pakaian raya yang dijahit ibu.

"Tapi semuanya tinggal kenangan dan apabila kami rindukan arwah ibu, pakaian yang dijahit itulah yang menjadi pengubat rindu ,'' katanya.

Menurut Nur Asiqin, dia tidak pernah putus asa dengan penyakit yang dihadapinya.

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar cepat sembuh dan berharap satu hari nanti saya berjaya dalam pelajaran untuk menjadi seorang doktor agar dapat bantu pula orang lain yang sedang sakit,'' katanya.

Jalani pembedahan

Kini pihak Maahad Sains al-Quran Al-Amin sedang berusaha supaya Nur Asiqin dapat segera menjalani pembedahan memandangkan sejak dua bulan lalu ubat-ubatan diambil oleh pelajar tersebut tidak memberikan sebarang tindak balas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: