PERKEMBANGAN fesyen tempatan hari ini semakin memberangsangkan dengan kehadiran rekaan yang banyak menampilkan inovasi baru.
Lebih memberangsangkan setiap tahun, pereka muda yang dilahirkan semakin meningkat dengan cetusan idea yang lebih urban dan kreatif.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka misalnya, melahirkan graduan penuh kreatif dalam mencipta rekaan sesuai dengan tema yang dipilih.
Pada majlis peragaan fesyen oleh pelajar tahun akhir Jabatan Fesyen UiTM baru-baru ini di Black Box MAP, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, lebih kurang 144 rekaan baru diperagakan.
Menurut Pensyarah Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Faizal Hamid, peragaan fesyen kali ini memberi kebebasan kepada pelajar mereka fesyen mengikut inspirasi dan pandangan masing-masing terhadap dunia fesyen.
Mendengar tema yang dipersembahkan, pasti kita terbayang pelbagai konsep yang ditampilkan oleh peserta.
Pelajar-pelajar UiTM telah membuktikan bahawa keindahan fesyen boleh disampaikan melalui ilusi, drama dan tahap seni kreatif.
Menurut Faizal, majlis peragaan ini bertujuan menampilkan rekaan projek akhir pelajar yang menamatkan Ijazah Sarjana Muda Seni dan Rekaan (Rekaan Fesyen).
"Ia bertujuan melahirkan pelapis atau generasi baru bagi menyemarakkan dunia fesyen tanah air. Dibandingkan perkembangan fesyen Malaysia, rekaan pelajar ini masih setaraf dengan apa yang ada di pasaran sekarang," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: