Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bekerjasama dengan Kumpulan Utusan menganjurkan Larian Utara 2012 (LU12) sebagai salah satu usaha menyokong dasar 1Murid 1Sukan di samping menggalakkan gaya hidup yang sihat di kalangan masyarakat.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, pihaknya menyasarkan lebih ramai penglibatan pelajar sekolah menengah untuk menyertai LU12 pada 22 September ini.
"Kami mengharapkan sokongan daripada pengetua-pengetua sekolah untuk menghantar beberapa wakil pelajar bagi menyertai LU12 ini.
"Secara khusus, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu daripada pengetua, guru dan pelajar di negeri Perlis untuk menyertai larian ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pra-pelancaran larian itu di kampus tetap UniMAP di Pauh Putra, Perlis baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Pengarang Pendidikan, Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Setiausaha POAP, Iyaru Mutusamy.
Menurut Kamarudin, larian itu dianjurkan selari dengan usaha universiti untuk mewujudkan rakyat Perlis yang sihat dan cergas.
Larian itu terbuka kepada semua peringkat golongan termasuk veteran, kakitangan dan pelajar universiti, pelajar antarabangsa dan sasaran utama LU12 adalah pelajar bagi kategori sekolah menengah.
Acara LU12 ini diadakan bersempena dengan istiadat dan Festival Konvokesyen UniMAP dari 26 hingga 30 September ini.
Dalam pada itu Kamarudin berkata, kerjasama dengan Kumpulan Utusan dalam LU12 amat penting bagi mempromosikan program terbesar anjuran UniMAP pada tahun ini.
"Kita mengadakan kerjasama dengan Kumpulan Utusan untuk menghebahkan mesej kesukanan melalui akhbar dan penerbitan yang menjadi nadi kepada kejayaan LU12.
"Usaha dan sokongan Kumpulan Utusan menjayakan program ini menjadi titik tolak untuk membawa UniMAP ke arah memacu Perlis dan Malaysia menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini menjelang 2020," katanya.
Tambah Kamarudin, larian itu dijangka akan dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
"Acara itu nanti akan terbahagi kepada dua segmen iaitu larian dan jalan kaki santai yang dipertandingkan dalam pelbagai kategori mengikut peringkat umur.
"Bagi acara larian ia melibatkan jarak sejauh 10 kilometer manakala acara jalan kaki santai pula hanya tujuh kilometer sahaja," katanya.
Kesemua acara akan bermula dari Kampung UniMAP di Kubang Gajah dan berakhir di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis.
Borang penyertaan boleh diperoleh di Sekretariat LU12, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UniMAP Perlis, No. 19 Jalan Serawak Taman Bukit Kubu Jaya, 02000 Kuala Perlis, Perlis atau menghubungi talian 04-9851326, 013-5916997 dan 012-4226081.
Borang penyertaan boleh dimuat turun dari laman rasmi www.UniMAP.edu.my/v1 dan perlu difaks kepada sekretariat di 04-9851267.
Tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga 17 September ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: