Sunday, September 9, 2012

Adi hormati Ariel Noah


ADI, vokalis 6ixth Sense ini mengkagumi Ariel Noah sebagai komposer. Katanya Noah mahupun Peterpan dulu sentiasa keluar dengan melodi dan lirik yang kuat.


DIUSIK jejaka ini tentang perkhabaran bakal menamatkan zaman bujang tahun ini sekali gus merupakan tahun terakhir dia beraya sebagai orang bujang.

Vokalis grup 6ixth Sense, Adi atau nama penuhnya Adi Priyo Sambodo ketawa dan menyatakan dia tidak berani untuk menghuraikan hal ini yang masih dalam perbincangan.

"Banyak hal surat-menyurat yang perlu dijalankan dan ia agak rumit. Kalau ikutkan hati, sejak tahun lepas lagi sudah mahu berkahwin," ujar Adi, kekasih hati wanita bernama Ros Zeta.

Melihat graf perjalanan jejaka berusia 29 tahun ini, kewujudan dirinya sebagai komposer semakin mendapat perhatian ramai.

Baru melancarkan album kerohanian berjudul Tentang Kita pada Ramadan lalu bersama grupnya, Adi juga tidak ketinggalan menyiapkan lagu duet berjudul Keajaiban Cinta nyanyian Adira dan Aliff Aziz.

Terbaharu, vokalis ini bersama grupnya bakal muncul bersama grup dari seberang, Noah dalam sebuah konsert Tentang Bahtera bertempat di KL Live pada 16 September ini.

Persembahan yang bakal berlangsung bermula pukul 4 petang dengan dihangatkan dengan kemunculan Ariel yang penuh kontroversi bersama ahli kumpulannya, Noah diterbangkan secara eksklusif dari Indonesia.

Konsert ini akan turut dimeriahkan oleh The Malayan serta Gamaliel Audrey Cantika (GAC).

ALBUM TENTANG KITA

Kesemuanya ada enam buah lagu yang semuanya berteraskan kerohanian. Kita rakam semuanya dalam masa dua minggu tetapi material disiapkan dalam tempoh dua bulan. Single pertama bertajuk Penerang Hati diikuti dengan Cintaku Padamu Seluas Angkasa (Selawat) dan single seterusnya adalah Altar Cinta. Idea membuat album religi ini datangnya dari penerbit Mujahid Abdul Wahab. Kami rasa dengan adanya album kerohanian ini dapatlah memberi perangsang kepada para pendengar.

TUGAS SEBAGAI KOMPOSER

Alhamdulillah, sekarang sudah banyak mencipta dan menerbitkan lagu. Semakin ramai penyanyi yang percaya dan minta lagu daripada saya. Permintaan ini bermula selepas saya menghasilkan lagu Juwita nyanyian Nubhan. Kemudian diikuti dengan lagu Kisah Hati nyanyian Alyah. Terbaharu, saya membikin lagu Muara Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz.

ILHAM PELBAGAI CARA

Idea atau ilham boleh datang secara tiba-tiba. Kadang-kadang lagu sudah lama tapi baru diberikan kepada penyanyi contohnya lagu Muara Hati. Kadang-kadang bila kena paksa, menjadi juga lagu secara spontan.

HORMATI ARIEL

Bagi saya, apa pun nama grup yang digawangi Ariel, grup itu tetap bagus. Saya pasti Noah juga bagus kerana saya sudah mendengar lagu-lagu mereka. Saya hormati Ariel sebagai penyanyi dan komposer kerana saya dia memang bagus dalam menghasilkan lagu-lagu yang enak. Tentang kes atau hal peribadi, itu bukan jadi masalah untuk meminati dia. Bagi saya lagu Noah atau Peterpan (dulu) memang mempunyai kekuatan dalam melodi dan lirik. Lagu yang paling saya suka ialah Langit Tak Mendengar yang dimuatkan dalam album Alexandria.

JEMBER DAN FESYEN

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Jember, Jawa Timur, Indonesia. Untuk masa kini, Jember sudah ada tarikan iaitu acara tahunan yang dinamakan Jember Fashion Carnaval (JFC). Acara sebegini dapat membuatkan orang luar mengenali Jember dan menjadi tarikan pelancong untuk mengenali tempat tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: