Sunday, September 9, 2012

Cincin ulang tahun jadi cincin tunang

BERTUNANG selama setahun, Diana Danielle tidak pernah berasakan dirinya masih terlalu muda untuk serius dalam sebuah perhubungan. Dia bersedia menempuh fasa yang lebih matang dalam hidup.


TANPA banyak bunyi, Ahad lalu menyaksikan berlangsungnya majlis pertunangan pasangan pelakon terkenal, Farid Kamil, 31, dan Diana Danielle, 21. Dikatakan, suasana majlis tidak diadakan secara besar-besaran sebaliknya serba ringkas dan sekadar mengikut syarat.

Tiada rakan media mahupun rakan artis diundang. Berita gembira itu pula hanya dikongsikan ibu Diana, Norsiah Ramli kepada sebuah akhbar, dua hari selepas anak tunggalnya itu selamat menjadi tunangan orang.

Bukan sahaja majlis yang berwajah sederhana, kelestarian cinta ke arah fasa yang lebih serius antara Diana dan Farid juga tidak keterlaluan dalam menguar-uarkan pengisytiharan status ikatan mereka.

"Kami cuma buat majlis pertunangan ikut syarat. Bertunang bukannya nikah sebab itu saya tak jemput sesiapa. Kalau ada jodoh, masa nikah nanti saya akan panggil semua orang.

"Majlis pertunangan sebenarnya satu majlis yang agak terhad. Ia lebih kepada satu perbincangan antara dua buah keluarga," ujar Diana yang menjawab usikan media tentang pertunangannya yang berlangsung secara tertutup.

Di jari manis wanita kacukan Melayu-Inggeris itu, tersarung indah sebentuk cincin permata berlian yang berkilau indah. Ditanya tentang tanda kepada gelaran tunangan orang itu, Diana tanpa ragu mengiakan, cincin itu, cincin sama yang dihadiahkan Farid sempena ulang tahun ketiga percintaan mereka.

"Sebenarnya, dua butir berlian daripada cincin ini sudah tertanggal, ia dihantar ke kedai untuk dibetulkan. Jadi, apabila sudah dibaiki dan dikilatkan semula, saya rasa seolah-olah ia cincin yang baharu," ujarnya tersenyum namun tiada gambaran untuk meluahkan emosi berstatus tunangan orang.

Cukup jelas bunga bahagia yang terpancar dari wajahnya, pelakon yang masih di lokasi filem Kami Histeria bagaimanapun menyerap nasihat orang yang lebih arif untuk memahami erti sesebuah perhubungan.

"Apa yang boleh saya katakan, hubungan saya dan Farid sedang bergerak di landasan yang lebih serius. Saya cuba untuk tidak terlalu teruja atau terburu-buru dengan pertunangan ini. Tempoh ini sebenarnya satu dugaan yang besar untuk kami dan macam-macam perkara boleh berlaku. Saya harap hubungan ini akan berlangsung sebaik mungkin," katanya yang masih menanti tayangan filem besar lakonannya, Hanyut dan Sembunyi.

Ditemui pada majlis pelancaran filem animasi 3D berjudul Super Squad The Movie, Diana terlibat sebagai pelakon suara bagi watak utama filem berkenaan yang bernama Elly. Filem animasi terbitan Netcarbon Sdn. Bhd dijangka siap Disember tahun depan.

Kisah cinta antara Farid dan Diana sudah diketahui umum. Pegangan kedua-dua selebriti itu yang tidak mudah berkongsi cerita serta tidak mahu merakamkan gambar bersama juga cukup disedari.

"Fokus saya masih kepada karier, saya masih macam dulu, sama sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: