Sunday, September 9, 2012

Adam Mukhriz pula pemikat Aaron



MANA lagi tempat Hawa jika bukan sebagai penghibur hati Adam. Itu antara ayat pemanis dan selalu jadi pegangan pasangan bercinta yang percayakan magis jodoh. Apatah lagi jika retorik indah itu divisualkan dalam sebuah plot dramatik bahkan ditunjang pelakon pujaan ramai, cerita soal Adam dan Hawa mudah merasuk perhatian khalayak.

Kelihatannya, Aaron Aziz sekali meraih habuan atas populariti dan kegilaan peminat yang merindui persembahannya di kaca televisyen. Sebagai lelaki tampan dan berkarisma, Aaron membawa watak kaki perempuan tetapi berubah setelah menemui cinta.

Dalam drama 80 episod terbitan Global Station Sdn. Bhd. bertajuk Adam & Hawa itu, Aaron muncul sebagai Adam Mukhriz. Ia diangkat daripada novel terkenal karya Aisya Sofea bertajuk Adam & Hawa, terbitan Alaf 21.

Bagi Aaron, Adam & Hawa itu sudah ada format dan atas landasan yang tepat. Ia dihasilkan daripada sebuah novel yang sudah punya ramai pengikut. Sama seperti Ombak Rindu yang meninggalkan impak Haris kepadanya, watak Adam Mukriz sendiri satu karakter yang seolah-olah sudah ditempa khas untuk menjadi daya tarikan kepada khalayak.

“Saya ada bertanya kepada peminat, adakah Adam Mukhriz yang saya persembahkan menepati kriteria Adam Mukhriz yang dibayangkan sepanjang pembacaan novel asalnya. Watak itu sendiri sudah melekat di kepala khalayak dan saya pula sekadar merealisasikan watak yang diberikan. Apabila peminat sendiri mengakui perkara itu, saya rasa cukup dihargai.” katanya yang berdepan pengalaman selesa berlakon di sini Nadia Nisaa.

Menceritakan pengalaman penggambaran disamping Nadiya Nisaa yang memegang watak sebagai Ain Hawani, Aaron mengakui terdapat beberapa babak atau adegan yang tidak dapat dilupakan.

Sambil meluahkan lakonan bukan satu kerja yang mudah buatnya biarpun watak lelaki seperti bukan satu kelainan yang ketara berbanding karakter yang pernah dibawakan sebelum ini, cerita Aaron:

“Ada satu adegan yang saya fikirkan mudah iaitu adegan ditangkap khalwat. Saya fikir Nadiya Nisaa akan lebih berdepan tugas besar kerana bermain banyak emosi untuk kelihatan tidak bersalah sedangkan saya tiada sebarang dialog. Rupa-rupanya tanggapan saya salah kerana adegan tanpa dialog ternyata ia lebih sukar.”

Selain adegan kena tangkap khalwat, pengalaman berlakon di Tanah Suci Mekah juga disifatkan Aaron sebagai adegan penting yang menjadi tulang belakang drama berkenaan.

“Bagi saya, adegan ketika berada di Tanah Suci Mekah adalah tulang cerita Adam & Hawa. Ketika berhadapan pintu Masjidil Haram, di situlah Adam dan Hawa bertemu setelah terpisah selama lapan tahun,” katanya.

Adam & Hawa di siarkan menerusi saluran Mustika HD (saluran 134), setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam bermula 27 Ogos lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Aaron juga bakal muncul sebagai pengacara program Fear Factor versi selebriti tempatan yang akan memulakan penggambaran Oktober nanti.

“Sebelum berangkat ke Cape Town untuk Fear Factor, saya terlebih dahulu akan menyelesaikan sebuah filem aksi bersama Ahmad Idham.

“Saya sukakan konsep filem berkenaan dan untuk pengetahuan semua, saya juga tak mengehadkan lakonan yang ala-ala macho sahaja, kalau tak percaya tengoklah filem Ngorat yang akan ditayangkan tak lama lagi. Saya nampak buruk dan memburukkan diri dalam filem itu tapi ia satu kelainan,” katanya yang semakin selesa ‘berumah’ di Malaysia sejak berstatus Penduduk Tetap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: