Sunday, September 9, 2012

Efek mistik dan klasik janji Rugabadi


TEAM produksi Rugabadi yang diketuai oleh Reza sedang bersedia untuk menawan Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka.


HARUMAN bunga melor yang menusuk ke rongga hidung serta reba kayu yang mengiringi anak tangga naik ke Patung Studio milik pengacara serta penyampai radio SuriaFM, Reza Mohamed baru-baru ini, mendatangkan efek yang berlainan.

Wajah drama Melayu klasik dan genre suspen cuba diserap sebaik mungkin. Para media yang hadir diminta duduk beralaskan tikar mengkuang. Sebaik bermula, tiga orang gadis muncul dan tiba-tiba menjerit. Terpekik terlolong menyebut syaitan di situ, syaitan di sini. Suara mengerang seperti dirasuk pula keluar dari tubuh Reza dan kemudian dia diheret ke arah belakang pentas.

Sedikit sebanyak usaha produksi teater berjudul Rugabadi itu menunjukkan kesungguhan. Kata Reza, biarpun pernah bergelar peserta Akademi Fantasia, kini pelakon, pengacara serta penyampai radio, kecintaan terhadap teater mengalir segar dalam darahnya.

"Ini produksi pertama saya. Memang orang kenal saya sebagai pengacara dan penyampai radio, sekarang saya mahu lebarkan lagi karier dengan teater sebab seni itu masih dalam darah saya," kata Reza yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebanggsaan (ASWARA).

Tercetus idea hasil perbualan santai antara Reza bersama pelakon Amar Asyraf yang berminat untuk mementaskan semula sebuah naskhah klasik berjudul The Crucible karya Arthur Miller.

"Asalnya ia sebuah skrip teater pada tahun 1953. Amar berminat nak bawa naskhah itu rasionalnya kerana ia relevan dengan suasana masyarakat hari ini. Ia berkisar tentang fitnah. Fitnah wujud di mana sahaja sedangkan naskhah asal teater itu ditulis oleh bangsa Inggeris," jelas Reza mengenai 'bayi teater' sulungnya yang diamanahkan ke bahu Amar itu.

The Crucible sudah acap kali dipentaskan di seluruh dunia, di samping adaptasi ke bentuk opera, filem, telefilem, drama radio, lukisan dan bentuk-bentuk persembahan seni yang lain.

Kata Reza, skrip The Crucible kemudian diolah semula, dimasukkan sentimen serta budaya Melayu dan diberi judul Rugabadi.

"Ruga dipinjam dari bahasa Banjar bermaksud tempat yang gelap dan dalam manakala badi pula malapetaka, nasib buruk atau sial. Jadilah ia Rugabadi, sebuah kampung yang menyaksikan kekacauan sehingga membawa kehancuran," jelas Reza lagi.

Teater Rugabadi, mengisahkan seorang gadis Siti Zulaikha yang memanipulasi epidemik histeria tersebarnya pengamalan sihir di Pekan Rugabadi. Dia mengaku boleh melihat siapa yang mempunyai tanda sihir dan membela hantu raya. Siti Zulaikha menggunakan kelebihan ini untuk mendapatkan Megat Serapi dan memastikan namanya di pekan tersebut bersih dengan menuduh pihak lain yang tidak disukainya.

Rugabadi yang akan mengambil tempat di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada 13 September ini menampilkan barisan pelakon seperti Lash Mokhtar, Kirin Mohamad, Azlin Nur Mohd, Marina Roslan, dan Akmal Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: