PERCUTIAN musim panas kami seramai enam sekawan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun lalu ke Abu Dhabi (transit) sebelum meneruskan penerbangan ke kota Milan, Italy (lebih kurang 12 jam perjalanan).
Dari lapangan terbang Milan Malpensa, kami kemudian bergerak ke Milan Centrale iaitu stesen kereta api - permulaan backpackers trip untuk ke Pisa Centrale.
Sepetang bersiar-siar sambil menikmati salah satu monumen keajaiban di dunia iaitu Menara Condong Pisa sebelum bergerak semula ke stesen kereta api untuk ke bandar Rome.
Tidur semalam di hotel bajet di Rome dan keesokan harinya mengambil peluang berjalan-jalan di kota Rome dengan menaiki bas hop on & off ke Colliseum, Vatican City dan Trevi Fountain.
Seterusnya pada lewat petang, kami mengambil kereta api malam dari stesen Roma Termini ke Venice.
Tiba awal pagi, kami berjalan kaki melewati Kota Venice sebelum menyusuri terusan ke Piazza de Marco dan kembali semula ke stesen kereta api pada sebelah petangnya.
Kami menaiki lagi kereta api malam ke bandar Salzburg, Austria dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Munich, Jerman.
Istana
Dari stesen kereta api Munich, bergerak ke Fussen (lebih kurang sejam perjalanan) untuk melawat Neuschwanstein Castle.
Ia istana abad ke-19 yang dibina di lereng bukit di perkampungan Hohenschwangau di Fussen, Jerman.
Terkenal di kalangan pelancong, istana ini dikatakan pernah muncul dalam beberapa filem popular dan merupakan sumber inspirasi kepada struktur Disneyland iaitu istana Sleeping Beauty di Hollywood.
Kami kemudian kembali ke stesen kereta api Munich untuk ke Luzern, Switzerland.
Perjalanan sambil menaiki kereta api pada waktu ini antara kenangan indah kerana kami dapat menikmati keindahan alam semula jadi di Switzerland dan juga bandar Luzern yang tenang dan nyaman.
Pada hari pertama, kami diperkenalkan dengan salah satu aktiviti menarik di sini iaitu dengan mengambil pakej Golden Round Trip.
Ia salah satu aktiviti yang popular di kalangan pelancong di mana dari bandar Luzern, kami menaiki bot menyeberangi tasik ke Aplnachstad.
Kemudian kami menaiki cogwheel railway ke Mount Pilatus dan menuruni gunung dengan menaiki gondola dan kembali semula ke bandar Luzern dengan menaiki bas.
Keesokan harinya, kami ke bandar Engelberg dan seterusnya menaiki kereta kabel berpusing yang pertama di dunia Titlis Rotair ke Mount Titlis (3,238 m) yang terkenal dengan gua glasier dan salji sepanjang tahun di pergunungan.
Pada hari ketiga di Luzern akhirnya kami mengambil kereta api semula ke Lapangan Terbang Zurich, Switzerland dan menaiki penerbangan tambang murah Easy Jet ke London selama sejam perjalanan.
Menyusuri
Di Kota London, kami menginap semalam di Malaysia Hall dan sempat menjamu selera makanan Malaysia di kantinnya sebelum membeli-belah di Oxford Street, London.
Keesokan harinya, kami mengambil bas ke Kota London dan bersiar-siar di Madame Tussauds, Harry Potters Walk Tour dengan dibawa berjalan kaki ke tempat penggambaran filem Harry Potter.
Seterusnya kami mengambil feri menyusuri Sungai Thames ke London Bridge, Big Ben dan pada lewat petang ke Liverpool Street Station untuk ke Harwich dan mengambil feri Stena-Line ke pelabuhan Hook of Holland, Amsterdam.
Perjalanan mengambil masa selama tujuh jam menaiki dan selepas tiba di Hook of Holland, kami bergerak ke stesen kereta api Amsterdam Centrale.
Bersiar-siar di Kota Amsterdam yang terkenal dengan Muzium Van Gogh serta menyusuri terusan juga dikenali sebagai Venice of the North dan melawat pasar bunga.
Keesokan harinya, kami bergerak ke Brussels, Belgium dan bersiar-siar di kota yang terkenal sebagai Chocolatier Town seketika sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami iaitu bandar Paris.
Perjalanan sejauh hampir 270 km hanya mengambil masa dua jam sahaja dengan menaiki kereta api laju Thalys.
Setibanya di stesen Gare Du Nord, Paris, kami terus mendaftar di hotel dan seterusnya pada sebelah petang, mengambil peluang bersiar-siar di Pyramid Museum serta Eiffel Tower.
Pengalaman melihat sendiri monumen Eiffel Tower pada waktu malam sangat mengujakan dan pada keesokan harinya, kami melawat Disneyland Paris dan pada sebelah petangnya mengambil peluang membeli-belah di sekitar Kota Paris sebelum bersedia untuk berangkat pulang ke tanah air pada hari esok.
Pada hari terakhir 26 Jun lalu, kami berangkat ke lapangan terbang Charles De Gaulle dan mengambil penerbangan pulang dengan Etihad Airways dan transit selama enam jam di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan dan tiba di KLIA pada 27 Jun lalu.
Atas faktor kesibukan kerja dan wang, kami akhirnya berjaya melawat ke sembilan negara berbeza beserta tempat-tempat yang menarik di sekitar benua Eropah Barat dalam tempoh 14 hari.
Walaupun dengan kesuntukan masa, perjalanan ini menjadi salah satu detik yang amat menyeronokkan bagi kami dan percayalah bahawa tiada yang mustahil. Bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: