AGI mereka yang menggemari makanan-makanan enak serta murah, Pulau Pinang adalah destinasinya.
Pulau itu bukan sahaja menjanjikan makanan yang sedap bahkan juga tempat-tempat menarik untuk dilawati.
Dengan hanya berbekalkan bajet RM200, penulis Hairun Hapit Juhari bersama empat lagi rakannya bercuti di Pulau Mutiara dengan sepuasnya beberapa bulan lalu.
Perjalanan dimulakan seawal pukul 3 pagi dengan menaiki kereta dari Kuala Lumpur yang mengambil masa selama lima jam termasuk berhenti di kawasan rehat untuk solat dan mandi. Berikut cerita Hairun:
Kami tiba di Pulau Pinang kira-kira pukul 8 pagi dan terus ke Pasar Taman Tun Saadon di Gelugor untuk bersarapan pagi. Bagi mereka yang tidak mengetahui, pasar ini menyediakan pelbagai sarapan yang menarik daripada roti canai, serabai, roti jala dan murtabak.
Setelah perut diisi, penjelajahan kami di Pulau Pinang pun bermula. Destinasi pertama adalah Bukit Bendera yang terletak di Air Hitam.
Bagi menaiki Bukit Bendera pengunjung perlu menaiki kereta kabel dengan bayaran sebanyak RM8 bagi pemegang MyKad. Bagi pelajar pula diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan.
Setelah mengamati panorama yang indah, kami terus ke Kampung Melayu Air Hitam untuk mendapatkan Nasi Kandar Flat Kampung Melayu yang dikatakan enak.
Sememangnya bagi sesiapa yang datang ke Pulau Pinang tanpa merasai nasi kandar sudah pasti kunjungan anda tidak lengkap.
Setelah menjamu selera, kami terus ke apartmen homestay yang telah ditempah yang terletak di Batu Feringghi. Apartmen tiga bilik itu memberi keselesaan kami untuk bermalam.
Pada petangnya kami berjalan di sekitar pantai dan menaiki jet ski sehingga matahari terbenam.
Pada sebelah malamnya kami kembali semula ke bandar untuk menghayati suasana malam di Padang Kota Lama dan juga Gurney Drive.
Makan malam pula kami mendapatkan Roti Nan Kapitan dan Ayam Tandori yang terletak berdekatan Gurney Hotel.
Setelah penat bersiar-siar kami pulang ke apartmen dan berehat sebelum memulakan penjelajahan hari kedua esok.
Seawal pukul 7 pagi kami mula bergerak ke Jeti Taman Negeri Pulau Pinang untuk pergi ke Monkey Beach. Pengunjung boleh memilih untuk berjalan dalam hutan atau menaiki bot.
Perjalanan dengan menaiki bot hanya mengambil masa 10 minit ke Monkey Beach dan kami mengambil keputusan untuk bermalam di situ.
Bagi mereka yang tidak menyediakan sebarang kelengkapan, kamu boleh menyewa barangan perkhemahan dan juga peralatan memasak dengan pengendali bot yang berada di jeti Taman Negeri Pulau Pinang.
Setelah puas mandi manda dan menikmati pemandangan matahari terbenam, kami mula menyediakan persiapan untuk aktiviti barbeque.
Ayam, ikan, udang, sotong dan semua bahan makanan telah kami sediakan lebih awal semasa berada di apartmen.
Kami menghabiskan masa bercerita, menyanyi dan bermain teka-teki sehingga ke subuh.
Sebelum menunggu pemandu bot datang, kami sempat mandi dan bersarapan dengan makanan yang telah kami bawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: