Resort terawal yang dibangunkan di Pasir Puteh, Kelantan adalah DeBali Resort (DBR). Ia dibina seawal tahun 1996 di pesisiran Terusan Sungai Semerak.
Pembangunannya adalah atas usaha kerajaan yang mahu merancakkan sektor pelancongan agro di negeri ini dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadi berteraskan flora, fauna serta persekitaran geografinya.
Diasaskan oleh pesara tentera laut yang begitu yakin bahawa keindahan semula jadi maritim boleh dibangunkan sebagai lokasi pelancongan menarik, membolehkan DBR mampu bersaing dan bertahan sehingga sekarang.
Tarafnya kini boleh disamakan dengan hotel dan resort bertaraf empat bintang yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam usia 17 tahun, DBR masih mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah Melayu yang memiliki gabungan reka letak dan susun atur dekorasi laman serta landskap seperti pusat peranginan terkemuka di Bali, Indonesia.
Sebelum wujudnya hotel terkemuka yang mempunyai rangkaian perniagaan di ibu kota dan luar negara di Pasir Puteh, hanya DBR menjadi pusat tumpuan pelancong asing yang menjadikannya sebagai pusat transit sebelum menjenguk keindahan Pulau Perhentian di Besut, Terengganu, selain menjadi pilihan utama pengguna domestik untuk berseminar sambil bersantai.
Terletak di pinggir Sungai Semerak di Lot 1193 Kampung Pak Makyong, Pasir Puteh, Kelantan, lokasinya begitu strategik untuk pengunjung kota yang teringin menyaksikan aktiviti penangkapan ikan dan kerja penggredan hasil tangkapan laut dalam.
Ini kerana DBR terletak dekat dengan puluhan dermaga pendaratan ikan swasta di sepanjang pesisiran sungai sehingga ke muara Tok Bali.
Bukan sekadar dapat menikmati tiupan bayu laut yang menyegarkan, malah pengunjung juga berpeluang menyaksikan kegigihan penduduk setempat menjalankan pelbagai aktiviti pertanian termasuk projek penanaman keledek vitato, ladang tembikai segar, memproses ikan kering dan hasil tangkapan laut.
Lebih mengujakan apabila ratusan bot laut dalam dan awak-awak nelayan luar negara termasuk dari Thailand menjadikan pangkalan Tok Bali sebagai destinasi persinggahan mereka, sekali gus mempamerkan satu landskap pelacongan tersendiri di kawasan tersebut.
Pegawai Operasi dan Pengurusan DBR, Wan Ahmad Fadli Wan Ahmad Shafie berkata, resort yang terletak jauh dari kebingitan dan kesibukan bandar itu juga menjadi pilihan pengantin baru untuk berbulan madu.
Biasanya, mereka memilih penginapan Honeymoon Suite pada kadar RM250 satu malam, satu kadar paling murah berbanding penginapan lain di Pasir Puteh.
Menurutnya, jenis penginapan lain yang disediakan adalah calet tepi sungai khusus untuk kaki pancing, Superior Link, Terrace Link, dorm, dewan seminar dan bilik mesyuarat.
"DBR juga terkenal sebagai sebuah resort perkampungan nelayan yang tidak membenarkan pasangan pengunjung bukan muhrim menyewa atau tidur dalam satu bilik.
"Piagam ini diwartakan dan ditampalkan di kaunter pendaftaran khidmat pelanggan sebagai informasi awal kepada pengunjung Muslim.
"DBR tidak mahu dilabelkan sebagai lokasi penginapan yang selamat daripada kegiatan maksiat, sebaliknya berusaha meningkatkan fungsi penyediaan fasiliti pelancongan yang berkonsepkan gaya hidup sihat," katanya ketika ditemui S2 di DBR baru-baru ini.
Wan Ahmad Fadli berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan sewa bilik separuh hari dengan hanya mengenakan caj sewaan sebanyak 60 peratus daripada harga yang ditetapkan, di samping mengadakan promosi potongan harga penginapan pada hari-hari tertentu berdasarkan pakej-pakej penginapan yang ditawarkan sebagai penghargaan kepada pelanggan setia DBR.
Kemudahan dan aktiviti lain yang disediakan adalah kolam renang, menunggang kuda atau ATV serta basikal.
"Pengunjung secara berkumpulan pula boleh bersukan di gelanggang futsal dan yang gemar menyendiri, boleh melayari internet menerusi Wi-Fi yang disediakan," ujarnya.
Wan Ahmad Fadli menambah, bagi mereka yang meminati aktiviti memancing, mereka boleh menggunakan ruang terbuka di kawasan calet tepi sungai tanpa sebarang caj.
"Mereka yang mahu berkunjung ke Pulau Perhentian, perkhidmatan ke destinasi berkenaan turut disediakan," katanya.
Menurutnya, sarapan, makan tengah hari dan minum petang disediakan di Bistro DBR, bagaimanapun makan malam perlu ditempah menerusi pakej yang disediakan.
"Kami tidak menyediakan makan malam bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka kepada pelancong.
"Jadi, pelancong bebas memilih makanan yang digemari termasuk nasi ikan bakar, pulut ikan bakar dan pelbagai masakan Thai yang dijual pengusaha tempatan," katanya.
Selain itu, katanya, DBR juga dalam perancangan mengadakan pakej perkhidmatan menjelajah sungai sambil melawat pasar ikan basah dan beberapa persekitaran menarik dengan bot khas yang disediakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: