
MESKIPUN operasi pusat beli-belah, Alor Star Mall, yang menjadi lokasi pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 (Zon Utara) pada Sabtu lalu bermula pada pukul 10 pagi, lebih 50 orang sudahpun beratur dalam barisan panjang dengan sabar.
Tanpa menghiraukan terik matahari pagi di ibu negeri Kedah itu, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk menebus sebotol minyak jagung Daisy 500 mililiter dengan dua keratan kepala akhbar Kosmo!.
Mereka sanggup datang awal ke tapak acara dengan harapan tidak kempunan dengan tawaran penebusan yang terhad iaitu sebanyak 200 botol. Ternyata, respons itu merupakan penangan kempen pertandingan sejak kali pertama ia dianjurkan pada tahun lalu.
Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 merupakan kerjasama antara akhbar Kosmo! dan minyak jagung Daisy bersama rakan strategik Corningware dan Corelle.
Saat jingle lagu Daisy berkumandang, perasaan teruja peserta dan pengunjung meningkat dengan kehadiran Chef Liza Zainol yang menjadi duta minyak jagung Daisy.
Dalam persalinan chef yang kemas, siap dengan toque putih yang tinggi, Chef Liza bersahaja menyapa, mengusik dan menghiburkan orang ramai dengan celotehnya.
Bermula dengan demonstrasi membuat Biskut Coklat Zebra dan Kek Lapis Pandan Daisy oleh Chef Liza serta anaknya, Chef Erin, keseronokan pertandingan berterusan dengan beberapa acara menarik seperti pertandingan menghias meja, menghias kek cawan dan Daisy Challenge iaitu juri awam berpeluang merasa dan menentukan biskut dan kek pilihan.
Sementara itu, pengunjung juga boleh membeli minyak jagung Daisy pada harga promosi seterusnya berpeluang menyertai pertandingan meneka bilangan botol minyak produk berkenaan yang dilonggokkan dalam sebuah bekas besar.
Perjalanan acara yang diselang-seli dengan sesi kuiz ringkas oleh pengacara Tazneem Faisal itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular. Penyanyi Zatul dari program Mentor musim ketiga dan Adam bersama kumpulannya VIP tidak ketinggalan menghangatkan suasana dengan nyanyian lagu-lagu mereka.
Debaran peringkat akhir
Di Alor Star Mall, seramai 29 peserta telah bertanding dalam kategori kek dan biskut untuk merebut hadiah menarik selain berpeluang mewakili Zon Utara untuk ke pertandingan akhir di Kuala Lumpur.
Acara yang berakhir pukul 6 petang itu menyaksikan seorang peniaga kek yang beroperasi dari rumah, Zurliyanti Mohd. Abdul Aziz, 36, dari Sungai Petani, Kedah menjuarai kategori biskut sementara juara bagi kategori kek pula dirangkul pengusaha kedai kek di Kampung Ulu Kinta, Ipoh, Perak.
Zurliyanti yang mempertaruhkan ciptaannya, Biskut Sanggul Mak Dara, berjaya menambat hati juri berdasarkan rasa dan kreativitinya.
Dia yang bergenang dengan air mata gembira saat diumumkan juara memberitahu, keistimewaan biskutnya itu terletak pada tekstur yang gebu namun rangup serta cair di dalam mulut kerana ramuan istimewanya iaitu minyak jagung Daisy yang diadun dengan baik dengan bahan-bahan lain.
"Di Kuala Lumpur nanti, saya akan lakukan yang lebih baik memandangkan cabarannya nanti bertemakan Aidilfitri. Tentunya apa sahaja yang hendak dipersembahkan perlu sesuai untuk disajikan bersama hidangan wajib hari raya lain," ujarnya.

Bagi Wizana yang mahu menebus kekecewaan cabaran pada tahun lalu berasa gembira kerana resipi Kek Puding Karamel Lapis Coklat Daisy yang dibuatnya telah dipilih sebagai juara kategori kek.
"Banyak percubaan dibuat untuk menyempurnakan kek tersebut. Selain menyiapkan lapisan puding karamel, saya juga mengadun lapisan vanila bersama epal hijau dan coklat bersama kismis," katanya yang kini banyak berbincang tentang idea resipi baharu bersama suaminya demi persediaan ke peringkat seterusnya.
Selain Zurliyanti dan Wizana, persaingan dari Zon Utara turut akan diwakili pemenang tempat kedua bagi kedua-dua kategori biskut dan kek iaitu Fauziah Idris, 54, dari Pulau Pinang serta Rosni Johar, 36, dari Lunas, Kulim.
Di pentas akhir yang bakal dilangsungkan di pusat beli-belah AEON AU2 Setiawangsa pada 1 Julai nanti, mereka bakal berentap bersama pemenang cabaran Zon Tengah dan Zon Selatan yang telahpun diumumkan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: