Sunday, July 8, 2012

Tidak takut ular lagi

SEMASA bekerja, wanita ini mengamalkan prinsip 7S yang popular di Jepun.


BIARPUN menjadi pemilik kepada sebuah syarikat perunding landskap, Zaini Abdul Rahman, 41, tidak pernah memiliki bilik pameran mahupun pejabat sendiri.

Segala urusan perniagaan perkhidmatan yang diceburinya sejak tiga tahun lalu itu diuruskan di rumah selain banyak bertemu pelanggannya di luar.

Rumah teres setingkat yang didiami bersama suami dan dua orang anak di Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor bukan sahaja memiliki rekaan landskap yang menarik di halaman depan dan belakangnya, bahkan menjadi stor menyimpan beberapa peralatan berkebun.

Kediaman itu juga menjadi tempat wanita itu melakukan urusan pejabat dan melakar pelan konsep landskap mengikut permintaan pelanggannya.

“Sila masuk ke pejabat dan rumah saya. Kalau tidak bertemu klien di luar, rumah ini menjadi tempat saya melakukan kerja pejabat dan memikirkan idea landskap.

“Tetapi kebanyakan masa dihabiskan di luar,” ungkap Zaini saat menyambut Jurnal yang berkunjung ke kediamannya itu baru-baru ini.

Modal

Bermula sebagai hobi, Zaini memulakan perniagaan itu dengan modal yang terhad. Dia yang tidak mempunyai pengalaman memulakan kerjaya itu setelah didorong oleh jiran yang percaya pada bakatnya dalam melakukan reka bentuk landskap.

Pada permulaannya, Zaini yang sebelum itu merupakan suri rumah menghasilkan landskap untuk jiran-jirannya selain mengedarkan risalah untuk mempromosikan perkhidmatan tersebut.

“Selepas dua bulan mengedar risalah, barulah ada yang menghubungi untuk meminta saya membuat reka bentuk landskap untuk sebuah rumah teres dua tingkat.

“Ketika itu, saya masih tidak mempunyai peralatan yang mencukupi dan sekadar mencuba. Untuk meyakinkan pelanggan pertama itu, suami saya terpaksa berlakon sebagai pekerja saya,” katanya yang turut ditemani suami, Muhammad Ondot, 42.

Tidak menghiraukan panas terik serta memerlukan keringat yang banyak, Zaini melakukan sendiri kerja-kerja membersih kawasan dan menanam pokok.

Dia yang pada mulanya berasa malu kerana terpaksa berpakaian lusuh dengan melakukan kerja-kerja seperti buruh itu akhirnya merasakan tuah kerjaya tersebut apabila permintaan untuk melakukan pengubahsuaian dan pembinaan landskap semakin bertambah.

Suaminya turut berhenti kerja bagi membantu kerja Zaini seharian.


ZAINI dan Muhammad sering berbincang untuk menghasilkan seni landskap yang menarik.


Biarpun kini sudah mempunyai empat orang pekerja tetap, Zaini dan suaminya tetap turun padang untuk melakukan kerja-kerja menanam demi mendapatkan hasil yang terbaik.

Sekiranya melibatkan ruang yang sempit, dia dan Muhammad akan melakukan kerja-kerja yang bermula dengan melakukan reka bentuk sehingga menanam pokok-pokok sendiri tanpa bantuan pekerja lain.

“Saya tidak kisah kalau terpaksa berpanas dan berhujan di tapak kerana mahu melihat hasil yang boleh membuatkan saya dan pelanggan berpuas hati.

“Tulang empat kerat saya sudah terbiasa melakukan kerja ini kerana minat dan niat untuk melihat pelanggan gembira dengan hasilnya,” ujar anak ketiga daripada lima adik-beradik itu.

Kerjaya itu membangkitkan hidup Zaini daripada seorang wanita yang lemah untuk menjadi tegar kepada cabaran lasak.

Jika suatu ketika dahulu dia begitu takut dengan ular, namun kini tidak lagi kerana sudah terbiasa menemui haiwan itu ketika membersihkan kawasan untuk dibangunkan dengan landskap baharu.

“Dahulu apabila ternampak ular saya awal-awal lagi menjerit, tetapi kini saya sudah tidak geli lagi kerana sering terjumpa dengan reptilia seperti itu,” katanya yang sering terserempak dengan haiwan berbisa lain seperti kala jengking dan lipan.

Biarpun tanpa pendidikan formal, Zaini gigih menimba ilmu. Selain mengikuti kursus landskap yang dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara, Zaini turut memperoleh ilmu daripada pakar dalam bidang itu.

Buku

Perkenalannya dan suami dengan perunding landskap popular, Ismail Chik membuka ruang yang besar untuk dia mendalami bidang tersebut.

“Walaupun tidak pernah berjumpa dan selalu berhubung menerusi alam maya dan telefon kerana beliau menetap di Johor, Ismail banyak membantu kami.

“Beliau tidak lokek untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya apabila ditanya.

“Banyak buku rujukan yang kami beli adalah seperti yang beliau cadangkan,” ujar Zaini yang begitu menyayangi buku yang dihadiahkan oleh Ismail berjudul Reka Laman Indah.

Menurut Zaini, atas bantuan suami dan pekerja, dia mampu menghasilkan rekaan laman yang menarik dalam masa antara sehari sehingga dua minggu bergantung pada keluasan dan jenis konsep yang diinginkan pelanggan.

Dia dan suami yang pernah berkhidmat di sebuah kilang pembuatan tembaga dari Jepun membawa budaya kerja warga Negara Matahari Terbit itu untuk hasil kerja yang elok.

Amalan 7S iaitu seiri (sisih), seiton (susun), seiso (sapu), seiketsu (seragam), shitsuke (sentiasa amal), safety (selamat) dan satisfaction (berpuas hati) begitu dititikberatkan.

“Apabila kita berpegang kepada amalan positif seperti itu, segala yang dilakukan pasti memberi hasil yang dimahukan,” katanya yang memiliki nurseri landskap sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: