Wednesday, July 18, 2012

The Vella menaruh harapan


MISI tersendiri. The Vella terdiri (dari kiri) Fitri, Heri dan Ezry.


WALAUPUN pada awalnya tiga adik-beradik yang terdiri Hery, Ezri dan PT masing-masing mempunyai kumpulan nyanyian alternatif mereka sendiri, akhirnya bergabung dengan menubuhkan The Vella.

The Vella lahir hasil idea mereka sendiri yang memikirkan sudah masanya kumpulan muzik ciptaan mereka pergi jauh dan bersaing dengan kumpulan yang sudah ada nama di negara ini.

Ezri atau nama sebenarnya Nurezri Abd Rahman, 32, yang merupakan abang kepada Hery dan PT menganggap kemunculan kumpulan mereka dapat memeriahkan seni muzik tanah air.

“Dahulu kami ada kumpulan muzik sendiri, tetapi apabila fikir-fikir balik, kenapa tidak tubuhkan satu kumpulan dari keluarga sendiri memandangkan kami semua boleh bermain alat muzik,” jelasnya ketika sesi pradengar album sulung kumpulan mereka di bawah naungan Suria Records Company (SRC).

Jelas Ezri yang petah berbanding Hery dan PT, album sulung mereka itu bergenre alternatif pop dan rock dan menariknya kesemua enam lagu dalam album berkenaan adalah hasil ciptaan mereka sendiri.

“Lirik lagu dalam album ini kebanyakan adalah cetusan hati kami sendiri serta berdasarkan pengalaman yang berlaku dalam hidup kami,” jelasnya yang memegang posisi sebagai gitaris dan suara latar dalam The Vella.

Bagi Hery, 24, atau nama sebenarnya Nurhairy yang juga vokalis dan juga gitaris dalam kumpulan itu menambah, album ini telah dapat dihasilkan selepas enam bulan berkurung dalam studio dan mereka cukup berpuas hati kerana 100 peratus merupakan hasil kerja keras mereka.

“Susunan muzik adalah idea kami sendiri, SRC mencabar kami untuk siapkan sendiri tanpa campur tangan pihak luar, alhamdulilah kami berjaya hasilkan,” ujar anak bongsu daripada empat beradik ini.

Dengan mempertaruhkan single pertamanya, Menjemput Mu Pulang dan bakal diikuti single kedua, Mengejar Mimpi, Nurfitri atau PT pula yang juga pemain dram The Vella konsep lagu yang dibawa oleh mereka dapat diterima oleh peminat muzik.

TIGA adik-beradik yang dikenali sebagai The Vella ini kini muncul dengan single sulung mereka yang berjudul, Menjemput Mu Pulang.


“Pada zahirnya album ini banyak membawa elemen kesedihan dan berkisar tentang kehampaan serta kekecewaan kami yang tidak pernah lari daripada masalah tetapi dalam situasi yang berbeza-beza,” ujarnya merupakan anak ketiga dalam keluarga The Vella.

Namun begitu, jelas PT, itu tidak bermakna dengan kelahiran album mereka, The Vella mahu peminat mereka bersedih sebaliknya menginsafi dan mengambil pengajaran dalam setiap apa yang berlaku.

Pada sesi pradengar itu, wakil media diberi peluang untuk menyampaikan pendapat dan memberi komen mengenai enam lagu yang dimuatkan dalam album sulung mereka yang diberi judul, The Vella.

Lagu-lagu berkenaan termasuklah Mengejar Mimpi, Menjemput Mu Pulang, Generasi Frustrasi, Benarkah Aku Yang Berdosa, Jangan Kembali dan Hingga Ke Akhir Waktunya.

“Walaupun album ini kena buat pembetulan sampai empat kali, The Vella terima secara profesional bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti untuk tatapan peminat nanti,” ujar Ezri.

Dia memberitahu, The Vella diwujudkan hasil keikhlasan dan mereka mahu jujur dalam muzik dan mempertahuhkan hasil usaha mereka sendiri.

“Ibu bapa kami ada darah muzik, mungkin disebabkan sering melihat mereka bermain alat muzik dan menyanyi, kami secara semulajadi jadi berminat ke arah ini,” jelasnya yang berasal dari Negeri Sembilan.

The Vella telah mengikat kontrak selama lima tahun bersama SRC dan single mereka akan berada di pasaran pada bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: