KOTA BHARU - ‘Ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua’ menjadi pepatah mesra pertemuan jodoh kedua- dua warga emas yang tinggal di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Bagi Idris Laboh, 71 mesra dipanggil ‘Pok Yeh’ akhirnya bertemu jodoh kali kedua dengan pasangannya, Rohani Lee Abdullah, 53 lebih dikenali sebagai ‘Kakak’ setelah mereka sama-sama menghuni di rumah warga emas itu.
“Pakcik mengenali isteri apabila dia sering menemani saya yang gemar berkebun di rumah seri kenangan ini setiap pagi dan petang. Bukan itu sahaja, saya terpaut dengan budi bahasanya yang menghormati orang lain, malahan dia sering menyediakan kuihmuih dan minuman setiap kali menemani pakcik di kebun,” katanya kepada pemberita di dewan terbuka, di RSK Kemumin, di sini, semalam.
Persandingan indah dan meriah dihadiri kira-kira 500 tetamu, malah turut diraikan penghuni RSK Kemumin, disaksikan tetamu kehormat termasuk Pengarah Bahagian Warga Tua dan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Roslan Baba, Pengarah JKM Kelantan, Md Noor Chik dan serta penduduk sekitar Kemumin.
Melafaz akad nikah sebanyak tiga kali selepas solat Asar di surau RSK Kemumin menetapkan hantaran lima berbalas empat dulang.
Bagi Rohani, perkahwinan kali kedua itu juga berlaku setelah dia terpaut hati dengan kerajinan yang dimiliki suaminya yang gemar menjaga landskap, bercucuk tanam dan berkebun di kawasan itu.
“Walaupun dia agak pemalu, tetapi makcik sukakan sikapnya yang mengambil tahu hal kebersihan dan penjagaan persekitaran,” katanya.
Sementara itu, Penguasa RSK Kemumin, Wira Mahmood berkata, pada 20 tahun lalu, terdapat pasangan warga emas yang melangsungkan perkahwinan di RSK itu dan persandingan itu adalah kali kedua dilangsungkan.
“Idris berasal dari Kampung Changgong, Machang dan tinggal di sini sejak setahun lalu, manakala Rohani mempunyai adik-beradik kembar bernama Rohana yang berasal dari Pahang.
“Rohani ditemui JKM semasa dia hidup secara gelandangan di Kuala Lumpur sejak 1986 lalu dan kemudian dihantar serta tinggal di sini pada tahun tersebut, malahan lebih menarik, semasa dia dihantar ke sini, dia sudah memeluk Islam,” katanya.
Katanya, setelah Pok Yeh menyuarakan hasrat hati ingin memperisterikan Kakak pada tiga bulan lalu, pihak RSK itu kemudiannya mengatur majlis perkahwinan pasangan warga emas tersebut sebagai menghargai rasa cinta kedua-dua mempelai.
Tuesday, July 10, 2012
Temu jodoh di RSK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: