ADA orang kata, segelintir pengusaha kosmetik tak pakai produk jenama sendiri. Mereka lebih suka pakai produk jenama lain dan dakwa hasil kecantikannya itu adalah kesan daripada keistimewaan produknya. Malah, ada yang sanggup promosi habis-habisan dan melabur wang untuk menyakinkan semua orang tentang kehebatan barangannya sedangkan tiada kualiti tertentu pun dalam produk jenamanya. Hanya untuk mengaut keuntungan di atas popularitinya sebagai figura awam semata-mata.
Bagaimanapun, stigma itu tidak berlaku pada Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang memandang serius tentang perniagaan kecantikan yang diusahakan secara tungkus lumus sejak dua tahun lalu.
Penyanyi ternama Asia Tenggara ini menyangkal dakwaan tersebut dan mengaku bahawa dia adalah pengguna nombor satu SimplySiti yang cukup dibanggakan sebagai produk tempatan dengan kualiti antarabangsa itu.
"Siti ambil berat (kalau orang cakap macam itu). Siti memang pakai dan cuba produk SimplySiti sebab benda itu melibatkan nama Siti. Malah Siti bangga dengan produk Siti sendiri.
"Kalau dulu, Siti pakai jenama lain untuk kecantikan diri, tapi sekarang tidak lagi. Memang Siti akui pernah pakai beberapa jenama kosmetik antarabangsa tapi semua itu sebelum SimplySiti ada. Peranan Siti cukup luas. Bukan setakat pemilik SimplySiti, malah terlibat secara langsung daripada A sampai Z, dari penentuan ramuan hingga soal promosi.
"SimplySiti terhasil dari pengalaman Siti menggunakan produk kosmetik jenama lain. Siti manfaat sepenuhnya pengalaman itu dengan penghasilan baru. Malah keseluruhan produk termasuk tekstur dan warna produk SimplySiti itu hasil improvisasi dan eksperimen Siti.
"Siti hasilkan produk itu secara berperingkat, mengikut standard antarabangsa, tapi dengan harga yang murah dari kosmetik berjenama," hujah wanita ini penuh berhemah.
Ditanya sama ada Siti seorang cukup prihatin dalam soal kecantikan, memegang rekod 10 kali berturut-turut Artis Wanita Paling Popular di Anugerah Planet Muzik mengetepikan saingan dari seniwati Malaysia, Singapura dan Indonesia ini tersenyum lawa.
"Siti memang seorang yang mementingkan kecantikan. Tapi tak sampai ke peringkat kena sempurna 100 peratus dari hujung rambut ke hujung kaki. Macam sesetengah orang kerap suntik vitamin dalam tempoh tertentu untuk cantik, tapi tidak buat Siti.
"Siti tahu apa yang terbaik untuk kulit Siti. Maklumlah kulit Siti nipis. Takut juga kalau terkena jangkitan yang boleh buat kulit lagi tak elok," dedahnya sambil berkongsi kebaikan produk SimplySiti 2 way kit dan Dermagic sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: