Saturday, July 21, 2012

Senandung Cinta Fadly


GRUP Padi dijangka tidak akan dibubarkan dengan anggotanya kembali bergabung selepas Yoyo (dua dari kanan) selesai menjalani hukuman penjara atas ketagihan dadah yang dialaminya sebelum ini.


SELEPAS beberapa lama grup Padi menyepi dan tidak melahirkan sebarang produk, setiap anggota grup tersebut membawa haluan sendiri dalam karier.

Gitaris dan tunggak utama mereka, Piyu kini begitu sibuk dengan album solo sulungnya. Rindra dan Ari (gitaris kedua dan pemain bass) melakukan kerja belakang tabir selain menjalani karier sendiri.

Pemain drum mereka yang juga merupakan bekas suami penyanyi Rossa, Yoyo, baru dibebaskan daripada penjara selepas dihukum kerana ketagihan dadah dan alkohol beberapa bulan lepas, sementara vokalis mereka, Fadly mengisi kariernya dengan berlakon buat pertama kali.

Fadly yang ditemui bulan lalu memberitahu pembabitannya dalam drama bersiri Insya Allah, Ada Jalan bersama Maher Zain yang ditayangkan sepanjang Ramadan ini di saluran Astro Oasis, telah membuka jalan baharu buat karier seninya.

Mengaku tidak pernah percaya diri dan begitu malu berhadapan dengan kamera, dia bagaimanapun membuang jauh semua perasaan tersebut kerana tertarik dengan mesej positif yang mahu disebarkan kepada masyarakat.

"Ia (berlakon) merupakan satu pengalaman yang mengujakan. Saya tidak tahu bagaimana reaksi isteri dan anak-anak apabila menonton saya sebagai pelakon, namun apa yang pasti besar harapan saya agar setiap mesej yang cuba disampaikan dalam drama bersiri tersebut mampu memberi manfaat kepada semua," katanya yang juga seronok kerana dapat berganding dengan bintang antarabangsa, Maher Zain.

Bercakap mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Fadly memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah single sebagai penyanyi solo.

Diberi judul Senandung Cinta, ujar vokalis berusia 36 tahun tersebut, lagu itu dihasilkan bersama seorang guru di sekolah anaknya.

"Guru itu menciptakan lirik sementara saya membuat lagunya. Ia diberi nama Senandung Cinta dan berkisar tentang cinta terhadap keluarga serta hubungan sesama manusia.

"Saya fikir tema yang cukup baik ini begitu sesuai untuk diperdengarkan pada bulan Ramadan yang mulia ini," jelas Fadly.


FADLY muncul dengan single, Senandung Cinta yang cukup bersesuaian dengan bulan Ramadan yang baru menyingkap tabirnya.


Senandung Cinta merupakan lagu kedua yang dibikin Fadly selepas lagu Sahabat Selamanya (lagu tema Upin & Ipin) sepanjang grup Padi tidak aktif sejak lebih dua tahun lalu.

Selain Senandung Cinta dan penampilan perdana sebagai pelakon, Ramadan tahun ini juga diisi Fadly dengan aktiviti membuat persembahan berunsur kerohanian bersama Wali Band.

"Saya akan mengikut Wali Band ke lapan buah daerah di Indonesia untuk memberi hiburan kerohanian kepada masyarakat Islam yang sedang menjalani ibadat puasa," katanya yang akan mencuri masa untuk berbuka serta solat tarawih dengan isteri serta empat orang anaknya.

Ditanya tentang hala tuju Padi, Fadly menjelaskan bahawa grup yang telah ditubuhkan sekitar 15 tahun lalu itu masih belum berkubur.

Malah sebelum mereka mengambil keputusan untuk berehat, Padi telah merakamkan empat buah lagu, sementara mempunyai beberapa belas buah lagu yang tinggal dipilih untuk dimasukkan ke dalam album terkini mereka.

"Insya-Allah, doakan semoga Padi tidak bubar dan kembali bergabung untuk meneruskan perjuangan kami.

Buat masa kini, kami harus akur bahawa kesibukan setiap anggota kami telah membuat Padi harus berjalan sendiri-sendiri dulu," ujar Fadly lagi.

Bagaimanapun kata Fadly, untuk tidak membuat pecinta mereka hampa, dia sedang membantu Yoyo untuk menerbitkan sebuah album projek.

Ujarnya: "Selepas Yoyo keluar dari penjara, dia mahu membuat sebuah album projek. Jadi saya bersama Rindra dan Ari serta seorang lagi pemain gitar terlibat dalam projek ini.

"Ia telah pun berjalan dan jika tiada masalah, mungkin album tersebut bakal muncul sekitar tahun ini."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: