SESAK...bandar Belgaum bukan pilihan biasa kepada pelancong asing kerana tarikan utamanya ialah perniagaan kain dan pakaian.
BELGAUM yang terletak dalam negeri Karnataka, 500 kilometer dari ibu kota Bangalore, India, bukan destinasi pilihan pelancong untuk berkunjung, namun ia masih mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri.
Masyarakat tempatan sedia maklum, Belgaum terkenal sebagai penghasil kain sari di India, termasuk buatan tangan. Di merata-rata gedung dan kedai dijual pelbagai kain sari sehingga mata rambang untuk memilih.
Sudahlah begitu, harganya pula murah. Sari buatan tangan yang ditempah mengikut cita rasa individu hanya berharga sekitar RM80 sepanjang enam meter dan boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari saja.
Seandainya tidak berpuas hati dengan ribuan corak sari yang dipamerkan di kedai, pelanggan boleh menempah corak yang diinginkan. Kain dengan kualiti halus sebegini jika dijual di tanah air boleh mencapai harga RM400 hingga RM600.
Ketika memilih sari, peniaga menyediakan hamparan tilam untuk pembeli duduk dengan selesa sambil memilih sari, malah membantu memakaikan sari bagi memuaskan hati pelanggan untuk memilihnya, daripada corak kontemporari hinggalah corak klasik India. Semuanya cantik!
Penulis teruja melihat kepelbagaian corak dan susunan sari yang cantik dan layanan pembantu kedai memakaikan sari. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk memakai sari, tetapi cara ditunjukkan pembantu kedai sangat mudah.
Susunan lipatan kain sama seperti mengikat kain baju kurung tradisional yang diikat dan dikemaskan dengan tali pinggang besar.
Bagaimanapun, tidak ramai tahu mengikat kain baju kurung kerana kini dipermudahkan dengan kain berzip. Kain sari ini juga boleh dijadikan baju kurung atau baju kebaya yang potongannya boleh digayakan mengikut latar sari.
Yang unik, penulis perhatikan ketika membeli-belah atau sekadar melihat-lihat di pusat perniagaan di Khade Bazar, setiap kedai menjual corak kain berbeza dan tidak ada persamaan. Begitu kreatif sekali masyarakat di sini menghasilkan sama ada kain ela atau kain sari.
Sari masih menjadi pakaian utama masyarakat di Belgaum dan dijadikan uniform di hospital bagi kakitangan wanita. Wanita tempatan pula memilih pakaian tradisional sebagai pakaian harian untuk bekerja berbanding era moden.
Bagi mereka di tanah air yang suka membeli kain dan pakaian, di sinilah tempatnya. Kain yang cantik dan berkualiti dengan pelbagai corak boleh dibeli dengan harga murah yang tidak dijangka di minda. Misalnya, untuk kain sepasang baju kurung hanya sekitar RM22.
Ini dapat difahamkan kerana India adalah negara pengeluar kapas terbesar di dunia, malah China yang kini menghadapi kekurangan bekalan kapas untuk dijadikan kain, mengimport kapas daripada India.
Selain terkenal dengan pelbagai aneka kain, Belgaum menjurus kepada satu daripada perbandaran pendidikan bagi negeri Karnataka.
Kebanyakan warga asing di sini adalah pelajar, terutama Malaysia yang menghantar ramai pelajar perubatannya melanjutkan pelajaran di universiti di sini.
Dalam kunjungan ke Belgaum baru-baru ini, penulis mendapati beberapa universiti mengkhusus dalam perubatan moden dan alternatif diuruskan sama ada yayasan atau badan kebajikan bukan kerajaan.
Dengan adanya yayasan sebegini, ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyatnya tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.
Yayasan juga memberi rawatan percuma di hospital yang dikendalikan mereka bagi golongan berpendapatan rendah seperti di Hospital Prabhakar Kore di Universiti KLE.
Ketika berkunjung, cuaca di Belgaum sejuk dan ini menimbulkan rasa nyaman berjalan di tengah bandar dan penulis mengambil kesempatan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke tasik, satu-satunya tempat orang tempatan beriadah.
Bukan tidak ada pengangkutan ke tasik, tetapi menjadi amalan biasa penulis di tanah air berjoging setiap pagi.
Pengangkutan di sini sungguh mudah kerana dengan bayaran 20 rupee anda mudah bergerak dengan menaiki auto yang boleh dinaiki tiga penumpang. Ini sungguh menjimatkan. Auto adalah motosikal beroda tiga yang hanya ditemui di India.
Apabila tiba waktu menjamu selera, penulis boleh memilih pelbagai restoran yang sentiasa menanti pengunjung. Makanan di sini juga murah dan penulis memilih restoran vegetarian di sebelah tempat penginapan yang kelihatan bersih dan menyediakan set hidangan makanan tengah hari.
Ia merangkumi dua capati, semangkuk nasi, satu mangkuk kari kacang kuda, satu mangkuk dal, semangkuk sambal, satu mangkuk dadih dan segelas susu segar serta sebiji pisang. Harganya cuma RM3. Murah dan berkhasiat.
Kos makan di restoran dengan hiasan dalaman moden dan cantik juga tidak mahal.
Penulis hanya membayar RM23 untuk hidangan nasi beriani, lauk tambahan dan pencuci mulut bagi dua orang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: