|
TAGLINE ‘I’m not a chef, I’m Italian’ begitu signifikan buat selebriti chef, David Rocco yang popular dengan program masakan Dolce Vita. Terbaru, dia tampil dengan rancangan masakan bertajuk Amalfi Getaway sebanyak enam episod yang rancak ditayangkan menerusi saluran Nat Geo Adventure.
Dalam rancangan tersebut, David kembali ke Itali iaitu ke pesisir pantai Amalfi, Itali yang diiktiraf sebagai salah satu lokasi pelancongan paling cantik dan memberi inspirasi di dunia.
Di sana, destinasi gastronomi David membawa penonton menyaksikan telatahnya di dapur rumah, restoran dan ladang lemon yang menghijau untuk memasak bersama individu pilihannya.
Menariknya hidangan yang disediakan bersifat ringkas, jujur dan menu rustik yang menjadi kegemaran rakyat negara tersebut.
Ironinya, David bukanlah berasal dari Itali, sebaliknya dia merupakan anak kelahiran Toronto, Kanada. Bagaimanapun, lingkaran kehidupan David yang berjiran dengan sebuah keluarga Itali menjadi permulaan sifat obsesnya kepada negara yang pernah bergelar juara bola sepak Piala Dunia sebanyak empat kali itu.
Ini kerana dia berpeluang belajar menyediakan masakan Itali daripada keluarga tersebut yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.
Menurut David, selain itu keghairahan ahli keluarga dan individu di sekelilingnya terhadap masakan menyebabkan dia juga memiliki perasaan serupa terhadap dunia kulinari. Bagi lelaki itu, memasak dan menikmati makanan yang telah dihasilkan satu perasaan yang sangat mengujakan.
“Saya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang begitu menghargai makanan. Ibu saya contohnya memang gemar memasak. Setiap hari Ahad, kami sekeluarga akan berkumpul dan ibu akan menyajikan dengan aneka hidangan yang lazat.
“Malah, dialah yang menjadi sumber inspirasi saya untuk menjadi seorang yang pakar dalam bidang masakan. Ibu merupakan chef terbaik di dunia ini,” ujar David dalam satu temu bual melalui telefon yang diaturkan oleh HyppTV, saluran televisyen internet milik Telekom Malaysia (TM) yang menyiarkan rancangan masakan terbaharu David, Amalfi Getaway baru-baru ini.

Pencinta makanan
Jelas David, ungkapan I’m not a chef, I’m Italian sering diungkap kerana mengaku dirinya bukan seorang chef kerana dia tidak pernah belajar memasak secara formal daripada mana-mana institusi. Sebaliknya, David gemar menganggap dirinya sebagai pencinta makanan.
“Saya nyatakan demikian kerana resipi yang dihasilkan biasanya ringkas dan mudah tetapi enak. Memasak sebenarnya merupakan salah satu daripada keseronokan dalam kehidupan ini.
“Ia bukan sains roket atau sesuatu yang rumit. Hanya libatkan diri dan nikmati proses tersebut. Jika anda masih baharu untuk berada di dapur, cuba masak mengikut resipi seperti yang disyorkan. Namun, nasihat terbaik saya, ikutlah naluri sendiri. Buat seperti apa yang anda suka dan jangan bimbang tentang sukatan yang tidak tepat,” tutur David yang tidak pernah lepas daripada menggunakan minyak zaitun dalam setiap masakannya.
Apabila ditanya mengapa dia memilih Amalfi sebagai lokasi penggambaran untuk rancangan masakan terbaharunya, David memberitahu, tempat itu mempunyai hubungan yang rapat antara manusia, makanan dan alam semula jadi.
“Itali memang sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, apatah lagi ia sebuah negara yang dikelilingi oleh beberapa buah lautan.
“Justeru, selain menikmati keenakan kuisin negara ini, saya mahu membawa penonton menyaksikan keindahan panorama yang terdapat di sekitarnya. Saya percaya melalui makanan, ia mampu menghubungkan antara satu sama lain,” terang bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Isteri hamil
Mengulas lebih lanjut, David menjelaskan sewaktu penggambaran siri Amalfi Getaway pada November tahun lalu, isterinya, Nina Rocco sedang sarat mengandung tujuh bulan.
“Ketika itu, Nina sering berkata ‘jauhkan diri awak daripada saya’. Jadi lama-kelamaan saya mendapat idea untuk memberi tajuk Amalfi Getaway bagi rancangan tersebut,” ungkap David sambil ketawa dan menyatakan ia satu gurauan.

Menyentuh tentang makanan kegemaran, David berkata dia amat menggemari pasta iaitu makanan ruji bagi rakyat Itali. Selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mudah untuk disediakan mengikut cita rasa sendiri.
Pernah berkunjung ke Singapura sekali, namun David mengakui belum berkesempatan menjejakkan kaki ke Malaysia. Lantaran itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk datang ke negara ini pada masa akan datang.
“Walaupun belum pernah sampai ke negara kamu, tetapi saya pernah merasai masakan Malaysia. Waktu saya berada di Singapura, saya berpeluang mencuba sejenis masakan. Saya tidak ingat namanya cuma ia agak pedas dan rasanya boleh tahan sedap.
“Bagaimanapun ada sejenis buah yang tidak boleh saya terima iaitu durian. Baunya begitu menyengat hidung dan saya langsung tidak boleh makan walau cuma seulas. Saya tidak tahu macam mana kamu boleh memakannya,” ungkap David.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: